Raja Charles III secara rasmi ditabalkan menerusi istiadat pertabalan diraja dan detik bersejarah itu disaksikan di seluruh dunia, hari ini.
Raja Charles menjadi pemerintah ke-40 yang ditabalkan di Westminster Abbey sejak 1066, dan istiadat pertabalan itu disempurnakan oleh Uskup Agung Canterbury Justin Welby.
Istiadat pertabalan berkenaan menggabungkan tradisi lama dan moden selain mencerminkan peranan Raja Charles di masa hadapan. Istiadat tersebut turut disaksikan rakyat Britain baik di kaca televisyen atau secara langsung di pekarangan Westminster Abbey, lokasi penting keluarga diraja Britain selama beberapa abad.
Pada permulaan upacara Pertabalan, Paderi Besar Canterbury akan memasyhurkan Raja Charles III kepada orang ramai.
Seterusnya, Raja Charles III akan mengangkat sumpah untuk melindungi Gereja England dan undang-undang negara.
Kemudian, baginda akan duduk di kerusi kayu lama dinamakan Kerusi Pertabalan. Kerusi itu dibina pada tahun 1300. Selepas itu, baginda akan diberikan sfera emas besar dan cogan alam.
Akhirnya, Raja Charles III dinobatkan dengan memakai mahkota istimewa. Baginda akan naik takhta dan semua orang akan berlutut untuk menunjukkan rasa hormat mereka. Permaisuri Camilla akan melalui istiadat sama.
Raja Charles III akan dinobatkan menurut tradisi diraja selama berabad-abad iaitu dengan memakai Mahkota St Edward.
Ia dinamakan sempena Raja Inggeris yang digelar St Edward the Confessor dan telah digunakan untuk memahkotakan raja-raja Inggeris sejak tahun 1300-an.
Versi baharu mahkota ini dibuat pada tahun 1661, kerana mahkota lama telah dileburkan semasa Perang Saudara.
Mahkota semasa diperbuat daripada emas padu dan bertatahkan 244 batu permata.
Permaisuri Camilla akan memakai Mahkota Ratu Mary yang diperbuat daripada emas dan perak serta mempunyai 2,200 butir berlian padanya.
Laungan “God Save the King” kedengaran di sekitar biara selepas Mahkota St Edward yang diperbuat daripada emas padu dimahkotakan ke atas Charles oleh Welby.
Istiadat kali ini turut menghimpunkan kira-kira 100 ketua negara, raja dan permaisuri dari seluruh dunia, selebriti, wira dan keluarga serta rakan pasangan itu, dengan Duke of Sussex turut hadir.
Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkenan berangkat dan mengadakan lawatan khas ke London, bagi menghadiri Istiadat Pertabalan tersebut.
Tetamu jemputan termasuk David dan Victoria Beckham, pemuzik Lionel Richie, Presiden Perancis Emmanuel Macron, Raja Willem-Alexander dan Ratu Maxima dari Belanda, Perdana Menteri Britain Rishi Sunak, dan Wanita Pertama AS Jill Biden.
Antara kerabat diraja dari seluruh dunia yang turut sama menyaksikan upacara bersejarah ini termasuklah Raja dan Permaisuri Sepanyol, Denmark, Jordan dan sebagainya.
Upacara berkenaan turut menyaksikan operasi istiadat terbesar tentera sejak pertabalan Ratu Elizabeth pada 1953, yang disertai 9,000 anggota tentera manakala 7,000 daripadanya melaksanakan peranan istiadat dan sokongan.
Operasi keselamatan besar-besaran, digelar Golden Orb, sedang dijalankan yang akan menyaksikan 11,500 anggota polis bertugas pada Sabtu. – BERNAMA-dpa
Foto: Getty Images