“Isu Wanita Dalam Politik Tarik Perhatian Menjelang Pilihan Raya Akan Datang” -TAN SRI SHAHRIZAT

Sejak menceburi dunia politik pada 1990-an, bekas Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil menjadikan hak serta kebajikan wanita, keluarga dan masyarakat sebagai perjuangan utamanya.

Baru-baru ini beliau menyuarakan kekecewaannya terhadap kurangnya galakan terhadap penyertaan wanita dalam politik termasuk dalam membuat keputusan.

Sedangkan, bagi Tan Sri Shahrizat wanita telah menjadi tulang belakang politik negara sejak era kemerdekaan.

“Kita tidak mampu untuk bercakap perkara dan matlamat sama untuk lebih 20 tahun kemudiannya.

“Wanita telah menjadi tulang belakang politik Malaysia sejak merdeka dan sudah tiba masanya apabila kita melihat sekeliling Dewan Rakyat dan Dewan Negara, kita melihat sama banyak wanita dalam dewan kuasa itu seperti yang terdapat dalam masyarakat sekarang, dan bukannya (hanya) 14 peratus ahli Parlimen wanita,” katanya menerusi hantaran di Instagram baru-baru ini.

Beliau yang juga bekas Ketua Wanita UMNO menegaskan, pelbagai halangan yang dihadapi wanita dalam politik, seperti perlu membuktikan nilai kepada rakan politik lelaki dan mengharungi pelbagai serangan jantina.

Oleh itu katanya, sudah tiba masa pemimpin negara mengiktiraf kemampuan wanita untuk mengemudi Malaysia ke arah yang lebih baik.

“Saya gembira kerana isu wanita dalam politik menarik perhatian menjelang pilihan raya akan datang.

“Apabila kita bangkit daripada COVID-19, sudah tiba masanya untuk berimpian besar. Wanita adalah separuh daripada penduduk, pengundi dan turut terjejas sepenuhnya dengan isu-isu yang mempengaruhi negara.

“Sudah tiba masanya untuk membawa penyertaan wanita dalam politik ke peringkat seterusnya,” ujar Tan Sri Shahrizat.

Semoga selepas ini lebih banyak pembabitan kaum wanita di arena politik agar hak serta kebajikan kaum Haum sentiasa terbela dan diperjuangkan.

Sumber: Sinar Harian

Share
Published by
Ermi Shuzila Mohammad