‘Its About Time!’ Nama MICHELLE YEOH Bakal Dipahat Di Hollywood Walk Of Fame

Bintang Hollywood kelahiran Malaysia, Tan Sri Michelle Yeoh, 60, antara 31 selebriti dipilih untuk menerima bintang di Hollywood Walk of Fame bagi Kelas 2024 sekaligus menjadi pelakon wanita pertama kelahiran tanahair yang namanya dipahat di laluan ternama lagi popular tersebut.

Untuk pengetahuan anda, Laluan Kemasyhuran Hollywood (bahasa Inggeris: Hollywood Walk of Fame) adalah monument laluan jalan kaki di sepanjang Hollywood Boulevard dan Jalan Vine di Hollywood, Los Angeles, California, Amerika Syarikat, yang berfungsi sebagai muzium hiburan.

Laluan ini dipahat dengan lebih daripada 2,000 bintang berbucu lima yang memaparkan nama-nama selebriti dan watak rekaan yang diberikan penghargaan oleh Dewan Perdagangan Hollywood atas sumbangan mereka kepada industri hiburan.

Pengumuman itu dibuat Hollywood Chamber of Commerce hari ini di mana senarai pendek terbabit dinilai daripada ratusan pencalonan diterima pada 16 Jun lalu.

Antara nama lain yang turut tersenarai termasuk pelakon Black Phanter, mendiang Chadwick Boseman; penyanyi rap Dr Dre; dan pelakon, Gal Gadot. Turut dicalonkan ialah Presiden Marvel Studios, Kevin Feige; pelakon Maggie Gyllenhaal, Chris Pine, Ken Jeong; penyanyi, Gwen Stefani dan lain-lain.

Michelle melakar sejarah pada Mac lalu apabila menjadi pelakon Asia pertama memenangi trofi Pelakon Wanita Terbaik di Academy Awards atau Oscar. Pelakon kelahiran Ipoh, Perak itu menang menerusi lakonan cemerlangnya dalam filem Everything Everywhere All at Once.

***

Majalah Nona juga ada di Telegram. Mudah nak akses artikel menarik dan video-video terkini di sini. Jemput sertai sekarang –> https://t.me/majalahnona

***

 

Share
Published by
Wan Firdaus