IZARA AISHAH Makin Cantik, Anak Kini Sudah Berusia 6 Bulan!

Pasti ramai kalangan peminat seni tanah air merindui lakonan pelakon jelita, Izara Aishah. Sejak mendirikan rumah tangga bersama Muhammad Adib Khalid memang jarang dapat lihat wajah cantik Izara menghiasi kaca televisyen. Malah, aktiviti seninya juga makin perlahan apabila menerima kehadiran cahaya mata sulung pada 15 April lalu.

Sebagai ibu, pastinya Izara mahu memberikan yang terbaik buat anak tersayang. Apatah lagi dengan usia yang masih kecil membuatkan pelakon ini lebih selektif dengan tawaran yang bakal diterima kelak.

Meskipun tidak muncul di kaca TV namun Izara masih aktif mengemaskini media sosial miliknya. Turut berkongsi momen bersama yang tersayang buat tatapan peminat, puteri sulung Izara dan Adib yang diberi nama Irisa Alaia ini sudah pun berusia enam bulan. Alhamdulillah, tengok gambar-gambar Irisa di Instagram Izara memang terserlah kecomelan bayi ini.

Selain wajah comel Irisa yang menarik perhatian, penampilan Izara selepas bersalin turut menjadi bualan peminat. Rata-rata mereka menyifatkan aktres yang pernah membintangi filem Kau Yang Satu ini kelihatan lebih berseri-seri dan anggun sejak melahirkan anak.

Mengimbas kembali detik kelahiran Irisa, perkhabaran gembira ini mula disedari peminat dan rakan media apabila ibu Adib sendiri iaitu YM Tengku Datin Seri Zawyah mendedahkan perkara itu menerusi Instastory. Difahamkan Izara selamat melahirkan zuriat sulung yang ketika itu seberat 2.9 kilogram.

Genap pada hari ketujuh kelahiran, Adib menerusi media sosialnya mengumumkan nama dan berkongsi wajah anak perempuan mereka ini kepada peminat. Adib yang juga anak tiri kepada penyanyi terkenal, Datuk Seri Siti Nurhaliza sah bergelar suami kepada Izara pada tanggal 17 November 2017.

Beberapa hari sebelum majlis bersejarah mereka berlangsung, pasangan romantis ini telah sudi menerima pelawaan Nona untuk menjadi penghias kulit Nona edisi November 2017.

 

 

Kredit: Instagram Izara Aishah

Share
Published by
Suzi