Sekalung tahniah Nona ucapkan buat Datin Anne Ngasri atas pelantikannya sebagai Timbalan Pengerusi GiatMara! Pastinya penglibatan dan kejayaan wanita ini dalam bidang seni serta politik menjadi inspirasi buat ramai wanita.
Sekaligus mendapat perhatian pihak institusi latihan kemahiran teknikal dan vokasional kepada golongan belia berkenaan.
Pencapaian terbaharu ini dikongsikan Datin Anne atau nama sebenarnya Datin Naszriah Ngasri di media sosial miliknya.
Menerusi video yang dimuat naik, pelakon dan penerbit filem tersebut tampil ceria dan anggun dalam persalinan jubah biru ketika menghadiri Majlis Graduasi GiatMara Malaysia ke-36 Zon Timur.
Difahamkan istiadat konvokesyen itu berlangsung pada 20 September lepas bertempat di Duyong Marina & Resort, Terengganu.
Ibu berusia 39 tahun ini yang manis bertudung bawal rona pastel memberitahu, “Alhamdulillah menjadi sebahagian keluarga besar GIATMARA Malaysia. Kenangan indah bersama melakar sejarah di Majlis Konvensyen Graduasi GIATMARA Ke-36 Zon Pantai Timur 2023.
Syukur Ya Allah dan terima kasih pada yang selalu mendoakan saya, saya juga doakan semua dilindungi dan diberi yang terbaik sepanjang perjalanan yang mendatang.”
Isteri Datuk Mohd Sumali ini pernah menyandang jawatan Exco Pergerakan Puteri UMNO Malaysia dan kini menjadi Exco Wanita UMNO Malaysia bagi 2023-2026.
Penglibatannya dalam bidang politik kian aktif selepas berkahwin dengan suami tercinta pada 2012.
Hasil perkongsian hidup, mereka dikurniakan dua cahaya mata iaitu Suri Harraz dan Nefa Naura.
Menerusi perkahwinan terdahulu, Datin Anne turut mempunyai tiga anak iaitu Abdul Warits, Abdul Wafri dan Nazharah Afroza.
Sementara suami pula memiliki seorang anak iaitu Suffian Akim dalam perkahwinan pertama.
Artikel berkaitan https://www.nona.my/datuk-2-cucu-usia-49-tahun-wajah-awet-muda-abang-datin-anne-ngasri-jadi-tumpuan/