Jadi Inspirasi Ramai, DHABITAH SABRI Atlet Kebanggaan Negara Kini Sambung Belajar Di UKM!

Wah, tahniah Dhabitah yang kini bergelar mahasiswa! Selepas menunjukkan prestasi cemerlang sebagai atlet bertaraf dunia di pentas Olimpik Tokyo 2020 yang lalu, nama Nur Dhabitah Sabri sekali lagi menarik tumpuan peminat apabila khabar gembira mengenai keputusannya untuk sambung belajar bertebaran di Internet.

Difahamkan, ratu terjun negara tersebut memilih institusi pengajian tinggi awam Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) sebagai destinasi pengajiannya.

Menerusi posting di laman media sosial rasmi UKM, atlet berusia 22 tahun itu bakal mengikuti pengajian di peringkat Ijazah Sarjana Muda Komunikasi Media di Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan (FSSK).

Memetik kapsyen di laman sosial UKM, “Tahniah buat Nur Dhabitah Sabri, atlet Olimpik negara atas kemasukan ke UKM Program Ijazah Sarjana Muda Komunikasi Media, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan.”

Ternyata, berita berkenaan mengundang reaksi positif peminat sukan tanah air yang bangga dengan pencapaian Dhabitah. Iyalah, bukan hanya berjaya sebagai atlet tetapi dia juga mementingkan akademik. Memang patut dijadikan sebagai sumber inspirasi!

Berasal dari Kuala Lumpur, dalam temasya sukan Olimpik Tokyo 2020 Dhabitah hampir menghadiahkan pingat buat negara dalam acara tiga meter papan anjal individu wanita di peringkat final.

Dhabitah menamatkan saingan di tangga keempat dengan mengutip 326.15 mata. Hanya dipisahkan 17.6 mata daripada atlet USA, Krysta Palmer yang mengutip 343.75 mata.

Walau tidak kesampaian membawa pingat Olimpik untuk negara namun Dhabitah berbangga dengan pencapaian yang ditunjukkan. “Saya tak rasa pulang dengan tangan kosong, saya balik dengan something

iaitu experience.”

Semoga kejayaan yang telah berjaya dilakar Dhabitah menjadi pencetus semangat dan inspirasi buat generasi muda hari ini untuk turut mencipta kejayaan tidak kira dalam apa juga bidang yang diceburi.

Share
Published by
Suzi