Perkongsian pengalaman bersama pemilik The Wedding Heritage, Idayu Ideris mencetuskan inspirasi khususnya buat para usahawan muda. Berusia 27 tahun namun Idayu sudah pun memiliki empayar perniagaan dalam bidang pengurusan perkahwinan berkonsepkan banglo mewah.
The Wedding Heritage dimiliki dan diusahakan bersama suaminya, Muhammad Azim Ishuddin yang menjadi tulang belakang buat Idayu. Menjadikan kesilapan lalu sebagai pencetus semangat untuk menjadi yang terbaik, Idayu terus melangkah tanpa menoleh ke belakang lagi.
PERMULAAN
“Saya memiliki kelulusan peringkat Ijazah Sarjana dalam bidang Biokimia dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). Semasa dalam pengajian lagi saya sudah belajar tentang solekan dan buat secara suka-suka sejak lapan tahun lalu. Ketika itu masih belum tercetus lagi idea untuk saya buat konsep bungalow wedding. Saya cuma buat makeup sahaja.
Itulah juga kerjaya pertama saya sambil fokus kepada pengajian. Ia sangat mencabar, komitmen pula semakin besar. Waktu itu saya dalam dilema sama ada mahu meneruskan pengajian atau tidak walaupun pendapatan sebagai jurusolek sambilan mampu untuk menampung kos pengajian.
Akhirnya, saya mengambil keputusan untuk meneruskan juga pengajian kerana telah membawa impian ibu dan ayah untuk melihat saya memperoleh Master. Saya mengenali suami pun semasa di universiti tetapi tidaklah bercinta.
Kami bermula sebagai kawan dan berniaga sama-sama. Lima tahun berkawan rapat akhirnya kami membuat keputusan untuk berkahwin pada usia 24 tahun. Setakat ini kami memiliki tiga cawangan iaitu di Jalan Semarak, Putrajaya dan Kota Damansara. Ketiga-tiganya berkonsepkan banglo tetapi berlainan tema,” kongsi Idayu.
KEBANGKITAN WANITA
“Kini dengan adanya sosial media, sedikit sebanyak dapat menyebarkan kisah-kisah kebangkitan wanita pada masa ini yang boleh dijadikan inspirasi. Dahulu pun memang sudah ramai wanita yang sukses tetapi kurang mendapat hebahan. Lagi pula, wanita dahulu kurang tertekan seperti wanita zaman sekarang yang terpaksa menjaga anak, keluar mencari rezeki dan sebagainya.
Bagi saya wanita zaman sekarang sangat berdikari. Seorang superwoman ialah wanita yang cintakan dirinya sendiri. Seorang superwoman juga mahukan sesuatu untuk dirinya, dia sayang dirinya lebih daripada apa yang dia ada,”ungkap Idayu yang berhasrat untuk menjadi pelopor dalam industri perkahwinan berkonsepkan banglo mewah namun pada harga mampu milik.
This website uses cookies.