Ketika baru berusia 18 tahun Emma Raducanu sudah pun bergelar jutawan. Tahun lepas menyaksikan kemuncak kerjaya pemain tenis muda ini apabila dia bukan saja berjaya menamatkan pengajian peringkat A Levels dengan keputusan cemerlang. Bahkan meraih kejayaan mengagumkan apabila dinobat sebagai juara Kejohanan Tenis US Open 2021!
Dia yang sebelum ini menduduki tangga ke-338 dunia kini melonjak ke ranking 10 dunia. Hasil kemenangan US Open tersebut, dia membawa pulang wang kemenangan bernilai USD2.5 juta atau kira-kira RM10.2 juta.
Rentetan kejayaan luar biasa pada usia muda, dia menjadi pemain tenis wanita termuda menggantikan rekod Maria Sharapova yang memegang gelaran itu pada tahun 2015.
Pada April 2021, Emma berjaya menamatkan pengajian di Newstead Wood School dan meraih keputusan cemerlang di peringkat A Levels. Kejayaannya menjulang piala US Open 2021 membawanya terus ke kedudukan pertama selaku pemain tenis wanita Britain.
Atlet cantik ini dilahirkan pada 13 November 2002 di Toronto, Canada. Memetik laporan Express UK, bapa Emma iaitu Ian Raducanu berasal dari Bucharest, Romania.
Sementara ibunya, Meizhai Dong atau dikenali sebagai Renee ialah wanita keturunan Shenyang, China. Kedua-dua ibu bapa atlet ini bekerja dalam bidang kewangan.
Difahamkan wanita muda tersebut berhijrah ke United Kingdom ketika berusia dua tahun. Dia juga merupakan anak tunggal kepada pasangan tersebut.
Portal Tatler mendedahkan sejak kecil Emma sudah menunjukkan minat dalam pelbagai bidang sukan termasuklah menunggang kuda, berenang, luncur ski, go-kart, motor cross dan ping pong.
Tidak cukup itu, Emma juga pernah mengikuti kelas tarian balet. Bagaimana pun minat Emma dalam sukan tenis mula bercambah selepas ibu bapanya memperkenal sukan tersebut seawal umur Emma lima tahun.
Meskipun menyokong penuh kerjaya sukan anak tersayang, namun ibu bapa Emma tidak pernah memberi tekanan kepada anak tunggal mereka ini untuk menyertai pelbagai kejohanan terutamanya ketika musim Covid-19.
Berjiwa aktif dan lasak, dia merupakan peminat sukan Formula One. Selain mempunyai dua kerakyatan iaitu British dan Kanada. Selain itu, Emma juga boleh berbahasa Mandarin, menonton rancangan TV Taiwan dan menggemari sajian Romania.
Pada 22 Oktober 2021, jenama fesyen mewah Dior mengumumkan Emma Raducanu sebagai duta mereka.
This website uses cookies.