
Ketika baru berusia 18 tahun Emma Raducanu sudah pun bergelar jutawan. Tahun lepas menyaksikan kemuncak kerjaya pemain tenis muda ini apabila dia bukan saja berjaya menamatkan pengajian peringkat A Levels dengan keputusan cemerlang. Bahkan meraih kejayaan mengagumkan apabila dinobat sebagai juara Kejohanan Tenis US Open 2021!
Emma yang sebelum ini menduduki tangga ke-338 dunia kini melonjak ke ranking 10 dunia. Hasil kemenangan US Open tersebut, dia membawa pulang wang kemenangan bernilai USD2.5 juta atau kira-kira RM10.2 juta.
Rentetan kejayaan luar biasa pada usia muda, Emma menjadi pemain tenis wanita termuda menggantikan rekod Maria Sharapova yang memegang gelaran itu pada tahun 2015.




Pada April 2021, Emma berjaya menamatkan pengajian di Newstead Wood School dan meraih keputusan cemerlang di peringkat A Levels. Kejayaan Emma menjulang piala US Open 2021 membawanya terus ke kedudukan pertama selaku pemain tenis wanita Britain.
Atlet cantik ini dilahirkan pada 13 November 2002 di Toronto, Canada. Memetik laporan Express UK, bapa Emma iaitu Ian Raducanu berasal dari Bucharest, Romania.
Sementara ibunya, Meizhai Dong atau dikenali sebagai Renee ialah wanita keturunan Shenyang, China. Kedua-dua ibu bapa Emma bekerja dalam bidang kewangan.
Difahamkan Emma berhijrah ke United Kingdom ketika berusia dua tahun. Dia juga merupakan anak tunggal kepada pasangan tersebut. Portal Tatler mendedahkan sejak kecil Emma sudah menunjukkan minat dalam pelbagai bidang sukan termasuklah menunggang kuda, berenang, luncur ski, go-kart, motor cross dan ping pong.




Tidak cukup itu, Emma juga pernah mengikuti kelas tarian balet. Bagaimana pun minat Emma dalam sukan tenis mula bercambah selepas ibu bapanya memperkenal sukan tersebut seawal umur Emma lima tahun.
Meskipun menyokong penuh kerjaya sukan anak tersayang, namun ibu bapa Emma tidak pernah memberi tekanan kepada anak tunggal mereka ini untuk menyertai pelbagai kejohanan terutamanya ketika musim Covid-19.




Berjiwa aktif dan lasak, Emma merupakan peminat sukan Formula One. Dia mempunyai dua kerakyatan iaitu British dan Kanada. Selain itu, Emma juga boleh berbahasa Mandarin, menonton rancangan TV Taiwan dan menggemari sajian Romania.
Pada 22 Oktober 2021, jenama fesyen mewah Dior mengumumkan Emma Raducanu sebagai duta mereka.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Tolak Tepi Populariti, DATO’ SRI EIZLAN YUSOF & Isteri Bantu Frontliners Covid-19!

Sejak lebih seminggu lalu, Dato’ Sri Eizlan Yusof aktif memerah keringat dan menabur bakti kepada para petugas barisan hadapan yang terlibat menangani pandemik Covid-19. Meskipun beliau boleh sahaja duduk di rumah, memantau situasi semasa dan memberi sokongan moral kepada frontliners menerusi media sosial atau sebagainya, namun ia belum cukup membuatkan aktor ini berpuas hati. Sebagai rakyat berjiwa prihatin dan public figure yang telah diberi kepercayaan untuk sentiasa menyokong serta membantu anggota Angkatan Pertahanan Awam (APM), Dato’ Sri Eizlan tampil membantu.
Menariknya, beliau yang segak mengenakan uniform rasmi pegawai APM turut membawa isteri tercinta bersama untuk menjayakan usaha murni ini yang juga merupakan anggota APM. Daripada perkongsian Dato’ Sri Eizlan di Instagram miliknya jelas kelihatan beliau sangat selesa bertugas di lapangan bersama beberapa rakan artis lain yang turut menyertai APM.





Katanya, “Masa untuk kita semua rakyat Malaysia berganding bahu bersama bagi memutuskan rangkaian Covid-19 daripada terus merebak. Bantulah apa yang termampu untuk kita.”
Selain mengagihkan sumbangan berupa makanan kepada kakitangan hospital, anggota polis dan tentera dalam memastikan mereka tidak kelaparan sepanjang bertugas melancarkan operasi, Dato’ Sri Eizlan termasuk pegawai dari kalangan artis dan penggiat seni (Briged Kesenian) turut menghadiri mesyuarat pengurusan bersama para pegawai tertinggi setiap pagi.





Antara rakan artis yang terlibat termasuk pelakon Adam Shahz, penerbit terkenal Dato’ A. Aida dan Maznah Zolkifli. Hujung minggu lalu, Dato’ A. Aida dilihat komited menyediakan masakan untuk para frontliners sambil dibantu cef popular, Chef Zam.
Alhamdulillah, ramai selebriti yang turun padang membantu.


Sementara itu, ratu hati Dato’ Sri Eizlan iaitu Datin Sri Natasha Rosa Boudville yang setia berkhidmat untuk masyarakat sepanjang Covid-19 ini turut menzahirkan penghargaan kepada frontliners terlibat.
Ujarnya, “Terima kasih KKM dan PDRM atas dedikasi dan pengorbanan anda semua supaya kami dijaga dan selamat. Tidak dilupakan juga kepada Angkatan Pertahanan Awam Putrajaya yang tidak putus semangat dan tenaga bersama Eizlan Yusof, Adam Shahz dan Dato’ A. Aida. ”
Mengimbas kembali pembabitan Dato’ Sri Eizlan bersama APM, bapa kepada tiga anak ini telah menerima pentauliahan Leftenan Kolonel (Bersekutu) Angkatan Pertahanan Awam pada April 2018. Sejak pengurniaan lantikan tersebut, beliau aktif berkhidmat bersama APM dan tahun lalu Dato’ Sri Eizlan bersama Adam Shahz serta pasukan APM telah berjaya mencipta rekod dalam Malaysia Book of Records selepas mengharungi laluan laut sepanjang 718.57 kilometer. Ia merupakan pelayaran Ekspedisi Amphibious Craft dari Melaka ke Langkawi selama enam hari membabitkan 133 peserta.



Dato’ Sri Eizlan Yusof menamatkan zaman dudanya bersama Datin Natasha Rosa Boudville dalam majlis pernikahan serba indah di Bora Ombak Marina, Putrajaya pada tanggal 12 Disember 2019. Datin Natasha merupakan wanita cantik berketurunan Serani yang bekerja sebagai kakitangan pengurusan sebuah hotel bertaraf lima bintang di ibu negara. Beliau memeluk Islam pada Ogos 2018 sebelum dilamar pelakon kacak tersebut pada September 2019.
Moga perkahwinan selebriti romantis ini berkekalan hingga ke syurga dan terus menjadi inspirasi dalam usaha mengajak masyarakat melibatkan diri dalam aktiviti sukarelawan serta kebajikan.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Bina Keluarga Bahagia ‘Tiru’ Acuan Datuk Ustazah Siti Nor Bahyah Dan Ustaz Wan Akashah

Datuk Ustazah Siti Nor Bahyah Mahamood, ikon pendakwah wanita yang amat dikagumi. Datuk Ustazah Siti Nor Bahyah masih terus ‘menyengat’ dalam dunia dakwah sama ada melalui dunia maya dan juga pentas ceramah. Datuk Ustazah Siti Nor Bahyah aktif di Facebook beliau yang mempunyai pengikut lebih daripada 2 juta.
Datuk Ustazah Siti Nor Bahyah yang sering membahasakan dirinya dengan panggilan Ustazah mengakui bahawa beliau memang kurang melibatkan diri dalam program-program di layar kaca dan juga radio. Beliau kini lebih selesa bersama cucu-cucu berumur antara 1 hingga 9 tahun.

Dicungkil tentang cabaran sepanjang berkecimpung dalam dunia kerjaya sebagai seorang penceramah, jelas Datuk Ustazah Nor Bahyah, cabaran datang dalam dua bentuk iaitu luaran dan dalaman.
“Antara cabaran biasa ialah tempat ceramah yang agak jauh sehingga terpaksa memandu antara dua hingga empat jam. Begitu juga cabaran yang agak berat bagi saya iaitu apabila terpaksa meninggalkan anak-anak serta cucu-cucu tiga hingga empat hari dalam sebulan.

“Namun begitu cabaran paling utama ialah Iblis dan syaitan serta manusia yang bersifat mazmumah. Ia merupakan penghalang utama seorang pendakwah selain cabaran daripada fahaman sekularisme yang telah tersebar. Fahaman ini yang dibawa oleh barat sedang melanda umat Islam dan menjadi wabak yang menghakis komitmen kepada nilai-nilai agama,”tutur Datuk Ustazah Nor Bahyah.
Fitrah seorang wanita bergelar isteri dan ibu, amat penting mengagihkan masa antara kerjaya dan juga keluarga. Bagi diri Ustazah Nor Bahyah jika sekiranya tiada aktiviti di luar, waktu pagi sehingga tengahari beliau akan memperuntukkan masa menguruskan rumah seperti menyediakan sarapan untuk keluarga, mengemas rumah dan memasak.

“Di sebelah petang saya akan memberi tumpuan dalam kerjaya seperti menjawab persoalan daripada facebook dan e-mel, persediaan untuk ceramah dan juga menulis untuk majalah dan buku. Pada sebelah malam akan bersama keluarga tercinta.
“Hobi saya sejak dari kecil sampai sekarang ialah membaca. Masa kecil-kecil dahulu saya sanggup berada berjam-jam di perpustakaan awam semata-mata untuk membaca. Alhamdulillah setakat ini tidak ada hari yang berlalu tanpa saya membaca. Saya tidak dapat tidur tanpa membaca terlebih dahulu. Pada masa lapang saya akan menggubah bunga, bercuti, memasak dan membawa keluarga membeli belah,”jelas Ustazah Nor Bahyah yang gemar memasak tomyam, nasi daging, daging masak kicap, kari ikan merah dan sambal belacan kegemaran keluarganya.

RAHSIA KELUARGA BAHAGIA
Keakraban dan kemesraan beliau bersama keluarga agak dicemburui. Sebenarnya banyak aktiviti yang dilakukan oleh Datuk Ustazah Nor Bahyah bersama keluarga bagi merapatkan hubungan kekeluargaan.
“Sekiranya saya tidak berceramah di luar kawasan, kami akan solat berjemaah setiap hari terutama sekali waktu maghrib. Selain itu aktiviti membaca Al-Quran terutama membaca surah Yaasin pada hari Khamis malam Jumaat turut diamalkan. Ia dilanjutkan dengan mengadakan usrah keluarga yang mana saya dan Ustaz akan memberikan nasihat dan panduan kepada anak-anak, menantu-menantu dan cucu-cucu.
“Kami juga akan luangkan masa untuk bercuti bersama. Dalam setahun antara dua hingga empat kali. Di samping itu juga sentiasa makan bersama lebih-lebih lagi pada hujung minggu. Resipi keluarga bahagia bagi saya ialah suami isteri dan anak anak mestilah menjadi seorang yang beriman dan bertakwa dan mempunyai sifat kasih sayang sesama ahli keluarga.

“Sifat kasih sayang itu terbentuk melalui lima perkara iaitu sentiasa mengeluarkan perkataan yang baik-baik dan positif, sentiasa memberi hadiah terutama pada tarikh hari kelahiran, melalui sentuhan seperti bersalam salaman, ciuman dan pelukan, sentiasa mengadakan aktiviti bersama seperti solat berjemaah, makan berjemaah dan bercuti berjemaah dan sedia berkhidmat seperti tolong-menolong antara suami isteri, ibu bapa dan anak anak,”kongsi Datuk Ustazah Nor Bahyah yang amat menekankan solat lima waktu dalam mendidik anak-anak dan cucu-cucunya.
Melihatkan kesibukan jadual harian beliau nescaya pasti terdetik dibenak fikiran, bagaimana pendakwah wanita yang wajahnya sentiasa dibungai dengan senyuman ini mengekalkan stamina. Tidak lokek berkongsi rahsia, antara elemen penting ialah mendapatkan tidur yang mencukupi enam hingga lapan jam sehari.
“Saya juga menjaga makan dan minum supaya berat badan tidak bertambah. Di samping itu juga saya sentiasa melakukan aktiviti yang dapat mengeluarkan peluh seperti menyapu sampah, berjalan-jalan dan bersenam,”jelas Datuk Ustazah Nor Bahyah.
Sebelum menutup kalam, sempat ditanya pendapat beliau tentang peranan wanita sebagai nadi pembangunan dalam sesebuah institusi kekeluargaan. Jelas Datuk Ustazah Nor Bahyah, wanita perlu sentiasa menjadikan dirinya teladan yang boleh dicontohi anak-anak dalam segala hal yang dilakukan di dalam urusan rumah tangga.
“Wanita juga berperanan sebagai penolong dan teman hidup pasangannya di kala suka dan duka. Melayani suami merupakan kewajipan sebagai seorang isteri. Isteri juga adalah teman untuk berbincang sebelum sesuatu keputusan diambil oleh suami sebagai ketua rumahtangga. Sebagai isteri mungkin pendapat kadang-kala berbeza tetapi apabila keputusan sudah dibuat oleh suami, isteri harus menyokong keputusan tersebut. Ini kerana di dalam sebuah kapal hanya ada seorang nakhoda dan begitu juga di dalam sebuah rumahtangga hanya ada satu ketua keluarga.
“Pujangga Arab ada mengatakan wanita itu adalah tiang negara. Seandainya wanita itu baik, majulah negara, seandainya wanita itu rosak akhlak maka mundurlah negara. Demikian juga kata penyair Arab, Ahmad Syauqi, ibu itu adalah umpama sebuah sekolah. Jika anda memberikan peluang kepadanya nescaya ia akan memberikan kepada anda satu bangsa yang berakar umbi baik. Jadilah wanita yang hebat dan bijaksana. Cantikkan diri dengan akhlak, bijak menambat hati suami serta mendidik anak-anak dengan iman dan takwa kepada Allah,”ujar Datuk Ustazah Nor Bahyah mengakhiri bicara.
TIP KEKALKAN KEMESRAAN DENGAN SUAMI AGAR RUMAH TANGGA BAHAGIA
1. Curahkan kasih sayang dengan sepenuh hati.
2. Patuhlah kepada suami dengan apa adanya
3. Mendengar kata-kata suami dengan baik disertai ketaatan.
4. Sentiasalah isteri mempertahankan pandangan mata suami dengan memakai pakaian yang baik-baik
5. Sentiasa menjaga ‘hidung’ suami dengan memakai bau-bauan yang wangi.
6. Sentiasa memperhatikan waktu tidur suami
7. Sentiasa menjaga makan minum suami.
8. Jagalah harta benda suami dengan sebaik-baiknya
9. Isteri perlulah menjaga keluarga dan anak anak dengan baik.
10. Jangan sesekali menyebarkan rahsia suami.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
“Ilmu Macam Peluru” Caprice Makin Matang Lepas Kahwin, Mahu Bangkit Semula Demi Keluarga

Misi baru Caprice dari bumi Mesir ke tanah air, jihad selebriti rap itu dilihat kembali rancak di media sosial. Merencanakan semula masa depannya dengan penuh teliti, kini beliau memilih untuk lebih dikenali sebagai Ariz Ramli, fokus pada bisnes dan diri sendiri, serta terus melangkah yakin tanpa menoleh ke belakang lagi.
Tepat jam 2.30 petang, Ariz muncul di studio dengan wajah berseri-seri. Sut biru slim fit terletak kemas, secocok benar disarung Ariz yang baru beberapa bulan bergelar suami kepada Farra Inalis.
Cuba membaca senyum bahagia di bibirnya, dalam masa singkat penulis tahu dia kini lebih lega dan yakin dengan keputusan mendirikan rumah tangga pada usia 33.

Dengan jumlah pengikut mencecah 1.6 juta, nama Ariz pada ketika ini cukup kukuh di kalangan generasi muda. Intro rasmi @daddycapofficial (dulu @capriceofficial) – What is on the news today? – antara yang cukup sebati dengan namanya, yang suka mengulas pelbagai topik semasa di Internet.
Pelat Inggeris sedikit pun tidak menjejaskan isu yang dibawa, malah fikir penulis, padanlah dahulu banyak topik yang dikupas, diangkat sampai ke pengetahuan pihak atasan!
“Ia selalunya impromptu, isu-isu ad hoc bila orang DM saya untuk minta pendapat. Bila banyak yang DM, saya terus set kamera, rekod dan muat naik.
Tiada proses yang rumit cuma kalau melibatkan isu yang sensitif, seperti agama, saya akan WhatsApp dulu sahabat Ustaz yang lebih arif tentang Islam. Tapi saya cuba tidak mengulas ‘terlalu dalam’ tentang sesuatu di luar bidang upaya saya.” Ariz Ramli

Sekilas pandang, adakah peranan social media influencer hari ini memberi manfaat kepada generasi muda? Tanya penulis.
“Sudah tentu! Kalau media sosial tak penting, mungkin sekarang tiada sesiapa akan gunakan untuk meluah perasaan, buat jualan dan pembelian atau kongsi kerja kebajikan. Maknanya media sosial tu sendiri adalah platform terbaik untuk generasi masa kini.
Saya rasa generasi digital sekarang bergerak ke arah contents yang bergerak cepat dan pantas, seperti TikTok. If you look at the numbers now, TikTok is a new frontier. Selain tu, Facebook pula kembali membawa gelombang META yang saya jangkakan akan lebih hebat tak lama lagi.”
Lelaki sebagai pengguna TikTok, pandangan anda? “Kalau kita nak jadi relevan tak kira dalam arena perniagaan, seni atau politik, kita kena gunakan TikTok.
Peraturan paling penting dalam media adalah berapa banyak mata yang melihat contents anda. Views is king. Kalau tak ada views, nak jual apa pun tak boleh. Kita akan ketinggalan kalau tak manfaatkan platform media sosial.”
Sambung Ariz, minatnya terhadap teknologi membuatkan dia percaya bahawa media sosial itu sifatnya disruptive.
“Kalau kita tengok sejak tiga tahun kebelakangan ni, pengaruh media sosial yang kuat mampu ‘menggoyangkan’ sesuatu institusi, termasuk kerajaan. 10 tahun dari sekarang, 5G will be nothing.
The rate of ilmu tu, terlalu laju. Mungkin ia boleh mengganggu atau memperkasakan, terpulang kepada cara kita menggunakannya.”
Tidak ingin mensia-siakan pengaruh yang dimiliki, Ariz juga berjihad dalam dunia pendidikan. Lelaki berkulit putih ini tekad mahu mengubah mindset generasi agar menjadi ‘critical thinkers and problem solvers’ sebagai pemimpin masyarakat. Malah bermula lima tahun lepas, dia sudah pun memperjuangkan e-learning melalui platform classruum.com.

“Dulu mungkin terlalu awal tapi selepas dunia dilanda COVID-19, semua orang beralih kepada online learning, sesuatu yang sudah saya bangunkan lima tahun sebelum tu,” cerita Ariz yang sudah pun menjual sistem tersebut kepada Johor Corp pada nilai RM2.5 juta.
Diikuti dengan mengaji.com, Ariz terus menginovasikan ilmu membaca jawi seperti karaoke. Kongsi usahawan muda itu lagi, beliau ingin terus memantapkan ilmu ibadah harian ke bentuk teknologi.
“Walaupun baru-baru ni ramai pertikaikan niat jihad saya, I will still go on. Bahkan saya tekad untuk memulakan semula syarikat IT atau apps kami antaranya melancarkan semula mengaji.com, Umrahloka, JustSolat dan Salam Jodoh pada tahun 2022.
Kami tetap akan usaha untuk bina teknologi yang membantu dan membangkitkan ummah.” Ariz Ramli
KELUARGA
Membesar di negara asing dan menuntut di sekolah antarabangsa, begitulah yang dilalui anak Negeri Sembilan ini sejak zaman kecilnya. Merupakan anak seorang Diplomat, mereka sekeluarga juga pernah tinggal di Perancis, Jordan dan Algeria sebelum kembali ke tanah air.
“Sebenarnya saya jarang bercakap tentang bapa saya. Dia sangat low profile, very strict Muslim and he never show love. Walaupun jarang bagi pujian, tapi saya tahu kalau dia bangga dengan saya, tiba-tiba pasti ada potongan buah mangga – cara halus bapa tunjukkan kasih sayangnya.
Mak saya cakap, perangai kami berdua serupa. Jenis yang buat je, contoh kalau tahu orang ada masalah, terus bagi pertolongan tanpa berfikir panjang. Sama. Hidup saya pun macam tu.
Saya yakin dapat sikap ini daripadanya dan mungkin itulah yang membuat saya mampu survive seorang diri di Kuala Lumpur pada usia 16 tahun.” Ariz Ramli

Tergolong di kalangan pelajar pintar dan pernah ditawarkan biasiswa penuh, namun Ariz memilih jalan hidup yang berbeza dengan menceburi bidang muzik.
“Dulu ibu bapa saya tak ‘merestui’ keputusan saya untuk jadi artis. Bagi mereka, lebih baik saya lanjutkan pelajaran dan berkhidmat di sektor kerajaan.
Sebenarnya memang ramai famili saya bekerja dengan kerajaan pun sampai sekarang. Reaksi bapa masa tu, dia punya mengamuk dari Venezuela sampai Jelebu, marah sampai ke Lenggeng!”
Namun tambah Ariz, kedua ibu bapanya cukup penyayang malah mereka berdua juga cukup bimbangkan keselamatan dirinya sewaktu di Mesir tempoh hari.
“My mom was worried and we communicate almost everyday. Bapa pula jenis suka membaca dan dia sangat tertekan dengan keadaan saya di sana.
Banyak kali mereka menyuruh saya balik Malaysia dan paling susah dilupakan, mak suruh saya kahwin! So I took my mom advice and got married!” Ariz Ramli

FOKUS
Minat terhadap muzik dan teknologi juga membuatkan lelaki ini begitu memahami jiwa anak muda. Sebagai usahawan minyak wangi Rindu Raudah, Ariz bukan saja mencipta nama sebagai artis rap popular, malah kerap memberi ceramah dan dijemput sebagai motivator di pelbagai IPT seluruh Malaysia melalui program Jihad in Education.
Bercerita tentang kenangan paling bermakna sepanjang menjadi social media influencer, Ariz dengan segera teringatkan satu peristiwa yang amat dekat dengan dirinya.
“Salah seorang ejen Rindu Raudah merupakan pesakit kanser. Dia sanggup menyertai bisnes minyak wangi Rindu Raudah kerana percayakan jihad saya. Malah suatu hari, dia datang jauh dari Johor semata-mata untuk berjumpa saya.


Kemunculan individu ini sangat menyedarkan kita semua bahawa don’t take things for granted. Apa yang kita buat atau katakan di media sosial, boleh menyentuh hati seseorang, tak kira secara positif atau negatif. Jadi saya mula ‘beringat’ supaya berhati-hati bila bercakap.”
Mengakhiri perbualan, Ariz berkongsi rasa syukur kerana masyarakat mula berhenti memperkatakan isu lama dan fokus terhadap masa depan, termasuk kehidupannya yang kini sudah berkahwin.
“Selain mengukuhkan bisnes IT saya, saya juga bina jenama baru untuk isteri dan anak perempuan saya. Saya ingin kami menjadi keluarga entrepreneurs yang berjaya.
Untuk menjadi generasi yang bijak dan berfikiran terbuka, saya fikir kita semua mesti terus mengejar ilmu. Saya sendiri suka membaca dan ikuti berita dari seluruh dunia. Ilmu tu macam peluru. Lagi banyak ilmu kita, lagi banyak peluru yang kita ada.
Itulah rahsia kejayaan dan bangkit semula. Sebagai belia Malaysia, bangkitlah dengan ilmu. Usah rasa terlalu selesa dengan kemudahan yang ada.” Ariz Ramli
Penulis & Penyelaras: Norzalina Mohd Alias
Arahan Seni: Kiffy Razak
Foto: Sharinizam Othman
Solekan: Ayang Kamell
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!


