Jadi Lagenda & Bergelar Datuk, LEONG MUN YEE Atlet Wanita Pertama Ke Olimpik 5 Kali!

Memang layak! Tahniah buat bekas atlet terjun negara, Leong Mun Yee yang menerima Pingat Mahkota Wilayah (PMW) sekaligus membawa gelaran Datuk dalam Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Wilayah Persekutuan baru-baru ini.

Dalam istiadat berkenaan, atlet paralimpik negara Abdul Latif Romly turut menerima gelaran sama. Awal tahun ini, Datuk Mun Yee dikhabarkan bersara daripada arena terjun selepas 27 tahun menabur bakti dan Sukan Olimpik Tokyo 2020 menjadi pentas terakhir buat dirinya.

Datuk Mun Yee pernah menyumbangkan 17 pingat emas, lima perak dan lima gangsa di temasya dwi tahunan, Sukan SEA. Malah beliau berjaya merangkul satu pingat perak dan dua pingat gangsa di pentas Sukan Komanwel termasuk dua pingat perak dan lima pingat gangsa sepanjang menyertai Sukan Asia.

Menerusi laman web peribadinya, Datuk Mun Yee mendedahkan dia mula aktif dalam sukan tersebut seawal usia 10 tahun lagi. Sejak itu, dia diberi kepercayaan mewakili Malaysia. Jelas beliau, penampilan pertamanya dalam Sukan Olimpik adalah ketika menyertai temasya sukan terbesar berkenaan di Sydney, Australia pada tahun 2000.

Waktu itu beliau baru berusia 15 tahun. Bertitik tolak daripada pencapaian membanggakan, Datuk Mun Yee berjaya meletakkan standard yang tinggi dalam kerjaya sukannya sehingga melayakkan diri dalam lima penyertaan Sukan Olimpik iaitu di Sydney pada tahun 2000, Athens 2004, Beijing 2008, London 2012 dan Tokyo 2020.

Rentetan pembabitan aktif dan dedikasi serta minat mendalam dalam sukan akuatik, Datuk Mun Yee mendapat pengiktirafan yang menyaksikan namanya tersenarai dalam Malaysia Book of Records apabila menjadi atlet wanita pertama melayakkan diri ke Sukan Olimpik sebanyak lima kali.

Tidak hanya berbakat dan cantik, Mun Yee merupakan graduan Sarjana Komunikasi Korporat di Universiti Putra Malaysia (UPM). Jelas atlet berusia 37 tahun ini, “Pendidikan adalah sangat penting. Ia ibarat perjalanan sepanjang hayat yang membantu mengasah kemahiran dan pengetahuan seseorang secara peribadi mahupun profesional.”

Bersandarkan kejayaan, bakat dan kecantikan yang dimiliki, Datuk Mun Yee turut menjadi buruan syarikat iklan yang mahukan wajahnya menghiasi kempen produk keluaran mereka.

Syabas dan tahniah buat Datuk Mun Yee. Moga terus mengangkat martabat kaum wanita di mata dunia dan menjadi inspirasi ramai.

 

Kredit foto: Instagram Leong Mun Yee

Share
Published by
Suzi