Kalau tanya pada mak-mak nak tak dapat baby kembar, mesti tak ada yang menolak. Hanya sekali mengandung dah boleh dapat dua anak sekali gus, siapa yang tak nak, kan. Lebih-lebih lagi kalau dapat kembar secomel dan secantik pasangan kembar dari Los Angeles, Amerika Syarikat ini.
Pasangan kembar, Leah Rose dan Ava Marie yang kini berusia 9 tahun telah dikenali sebagai ‘Kembar Paling Cantik Di Dunia’. Keunikan sebagai pasangan kembar dan dikurniakan wajah yang cantik membuatkan Leah Rose dan Ava Marie telah ‘disunting’ menjadi model seawal usia 6 bulan lagi.
Menurut ibu kepada pasangan kembar ini, Jaqi Clements anak kembarnya tetap meneruskan persekolahan seperti biasa walaupun sudah bekerja sebagai peragawati. Ibu kepada Leah Rose dan Ava Marie ini memastikan anak-anaknya tidak ponteng sekolah dan menguruskan jadual kerja hanya di waktu petang atau hujung minggu sahaja.
Selepas paparan mengenai kejelitaan pasangan kembar ini di DailyMail.com jumlah pengikut mereka di laman Instagram telah naik mendadak. Sehingga artikel ini ditulis jumlah pengikut mereka sudah mencecah sehingga 1.7 juta pengikut.
Walaupun populariti sudah memuncak tetapi Jaqi Clements tetap menitik beratkan pendidikan terhadap anak-anaknya. Menurutnya, seorang guru akan ditempatkan di set lokasi seandainya anak-anak kembar ini terpaksa ponteng sekolah.
Kanak-kanak kembar ini tetap membesar seperti kanak-kanak lain. Jika tidak bekerja, mereka melakukan aktiviti harian seperti biasa seperti latihan renang, kelas tarian atau bermain dengan rakan dalam kawasan kejiranan.
Perjalanan karier Leah Rose dan Ava Marie ini diaturkan oleh agensi model mereka, antaranya LA Models, Eris Talent Agency dan God & Beauty. Setakat ini Leah Rose dan Ava Marie pernah beraksi untuk La Petite Magazine, pakaian Petite Adele, V…G-A-PORT…R dan Airfish.
Stigma memerah keringat anak-anak bekerja untuk kepentingan ibu bapa tetap dialami oleh ibu kepada pasangan kembar ini. “Seperkara yang tidak menarik mengenai kehidupan kami adalah apabila ramai menganggap kami sebagai ibu bapa mengambil kesempatan memerah wang anak yang bekerja sebegini.
Perkara ini turut terpalit kepada kami dan mungkin dalam kebanyakan kes, ibu bapa mengeluarkan lebih banyak wang untuk (menyokong minat dan keperluan) anak-anak mereka.
Namun jika kita sebagai ibu bapa menyokong minat anak sekali gus membolehkan mereka menjana wang sendiri digunakan untuk ke kolej, membeli kenderaan atau rumah pada masa hadapan, apa salahnya. Jika anda berfikir sebegitu, ia tidaklah seburuk mana,” katanya.
Abang adik-beradik kembar ini, Chase Robert, turut melibatkan diri dalam dunia peragaan melalui agensi yang sama.