Nampaknya usahawan dan juga selebriti Neelofa menambah satu lagi portfolio tersendiri dalam resume dirinya apabila terpilih menjadi selebriti pertama tempatan pilihan syarikat antarabangsa Airbnb bagi mempromosikan perkhidmatan itu di seluruh dunia.
Neelofa, 34, atau nama sebenarnya Noor Neelofa Mohd Noor berkata, pemilihannya sebagai ‘co host’ Airbnb itu dimulakan dengan kempen Rumah Terbuka Raya Airbnb yang bakal berlangsung di Sekebun Bunga, Batang Kali, Selangor pada 20 hingga 22 Mei ini.
Terletak kurang dari satu jam dari Kuala Lumpur, Sekebun Bunga menawarkan percutian bertemakan alam semula jadi yang indah untuk tetamu beristirahat dan mengeratkan silaturahim dengan orang tersayang.
Vila ini dilengkapi dengan tiga bilik tidur yang selesa dan satu dapur yang serba lengkap, dikelilingi hutan yang subur dan aliran sungai yang mendamaikan. Para tetamu boleh menikmati waktu petang yang tenang sambil menerokai kawasan itu, atau berehat bersama orang yang tersayang di gazebo taman bunga vila tersebut.
“Alhamdulillah, saya bersyukur dan teruja apabila dipilih menjadi ‘co host’ pada kempen yang dibuat Airbnb di sini. Insya-Allah, jika sambutan bagus akan diteruskan di tempat pula.
“Seperti kita tahu, Airbnd ini ada di seluruh dunia. Jadi, ini peluang terbaik apabila dipilih bekerjasama dengan mereka. Kebetulan saya pun suka ‘travel’.
“Bagi kempen Rumah Terbuka Raya ini, saya amat berbesar hati untuk menjadi host bersama Airbnb di sebuah lokasi yang cukup cantik dan selesa. Saya tidak sabar untuk berjumpa dan beramah mesra dengan tetamu,” katanya.
Sementara itu, suami Neelofa, Ustaz Muhammad Haris Mohd Ismail atau PU Riz berkata, dia bersyukur kerana isterinya masih diterima baik biarpun sudah tampil berniqab.
“Sebagai suami tentu saja saya gembira dan bersyukur, walaupun dia sudah berniqab dan tutup aurat tapi masih diterima ramai. Bukan saja dalam negara, tapi juga di peringkat antarabangsa.
“Sesuatu yang membanggakan juga apabila syarikat antabangsa memandang wanita Muslimah sebagai ikon untuk mewakili jenama mereka. Macam sebelum ini pun, ada beberapa juga jenama antabangsa lain yang masih sudi bekerjasama dengannya,” katanya.
Rumah Terbuka Raya sulung Airbnb di Sekebun Bunga itu boleh memuatkan hingga tujuh orang. Penginapan untuk dua malam itu menawarkan harga istimewa.