Alhamdulillah, pelakon cantik Nelydia Senrose dan suami dikurniakan rezeki menjadi tetamu Allah untuk melaksanakan ibadah haji tahun ini. Difahamkan pasangan suami isteri tersebut telah pun selamat berangkat ke Tanah Suci Mekah baru-baru ini.
Berkongsi foto kenangan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Nelydia dilihat mengenakan persalinan jubah rona hitam. Sementara suaminya lengkap dengan persalinan T-Shirt serba putih. Kedua-duanya kelihatan cukup mesra dan ceria menerima jemputan panggilan sebagai Jemaah Haji.
Nelydia dalam pada itu sempat memohon maaf sebelum berangkat ke sana di samping memohon agar peminat mendoakan kesejahteraan mereka sepanjang berada di Mekah.
“Saya Nik Zaris Nelydia dan suami tersayang, Mohd Hafez Halimi dengan rasa penuh kesyukuran, gembira dan tawadhu’ di atas kebesaran Sang Pencipta yang Maha pengasih dan mengasihani yang mengizinkan kami untuk menjadi Duyufurrahman (tetamu Allah) bagi menunaikan ibadah haji.
Ini adalah anugerah Allah yang Maha Agung buat kami berdua. Saya dengan penuh rasa kerdil dan rendah diri ingin memohon seribu kemaafan kepada semua yang mengenali saya. Segala salah dan silap, terkasar bahasa yang saya sedari mahupun yang tanpa sengaja terlepas pandang selama ini. Halalkan makan minum kami.
Saya mohon agar dapat dititipkan doa buat saya dan suami agar selamat pergi dan balik. Dipermudahkan esegala urusan dan dengan izin-Nya mendapat haji mabrur.
Segala yang saya hajatkan, semua yang saya impikan, apa yang saya bayangkan, tidak akan terlawan dengan anugerah dariNya ini, yang tidak akan mungkin saya dustakan, sehingga ke akhir hayat. Assalamualaikum.”
Pada hujung Disember lalu, Nelydia dan suami telah mengerjakan ibadah umrah bersama-sama. Sepanjang pemergian ke sana, aktres ini dikatakan mula berhijrah dengan penampilan lebih sopan dan berhijab penuh.
Nelydia yang bakal berusia 28 tahun pada 30 Julai nanti menjadi isteri kepada ahli perniagaan, Mohd Hafez Halimi Abdul Hamid pada 6 April 2019.
Semoga segala urusan pasangan ini dalam mengerjakan haji dipermudah dan kekal istiqamah dalam mengejar kebaikan.
This website uses cookies.