Jadi Wanita TERKAYA Di Dunia Lepas Ditinggalkan Suami, Bekas Isteri CEO Amazon Derma Kekayaannya

Berita perceraian Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Amazon, Jeff Bezos dengan isterinya MacKenzie telah mendapat perhatian seluruh dunia. Usia perkahwinan menjangkau 25 tahun itu musnah di tengah jalan lantaran kecurangan suami. Jeff Bezos dikatakan bermain cinta dengan Lauren Sanchez yang pernah mengacarakan program “So You Think You Can Dance?”

Namun, MacKenzie tidak perlu meratapi nasib dan boleh move on serta tersenyum bangga dengan perceraian tersebut kerana menjadi wanita TERKAYA di dunia. MacKenzie menerima separuh daripada harta kekayaan mereka yang mencapai USD140 bilion (RM574 bilion).

Pembahagian harta sama rata ini terjadi kerana pasangan ini dikhabarkan tidak memiliki perjanjian pra perkahwinan. Mengikut undang-undang di Amerika Syarikat semua aset yang diperoleh sepanjang perkahwinan atau harta sepencarian ini perlu dibahagi sama rata jika berlaku perceraian kecuali jika mempunyai perjanjian pra perkahwinan.

Hasil pembahagian harta yang dimiliki oleh MacKenzie ini akan mengambil alih posisi wanita terkaya di dunia yang selama ini dipegang oleh Francoise Bettencourt Meyer, 65 tahun, yang merupakan pewaris perusahaan kecantikan global, L’oreal. Kekayaan Meyers mencapai sebanyak USD46.6 bilion (RM191 bilion).

Siapakah wanita yang bernama MacKenzie ini? MacKenzie S. Tuttle lahir pada 7 April 1970 di San Francisco, California, Amerika Syarikat. Ayah Mackenzie merupakan seorang Perancang Kewangan manakala ibunya seorang suri rumah tangga sepenuh masa.

MacKenzie merupakan graduan Universiti Princeton yang memiliki Sarjana dalam Bahasa Inggeris. Beliau merupakan pelajar yang pintar dan menjadi kesayangan pensyarah. Jeff Bezos juga merupakan graduan dari universiti yang sama tetapi mereka tidak pernah berjumpa sewaktu zaman belajar mereka.

Mereka berdua bertemu dan bercinta di tempat kerja, sebuah syarikat pelaburan. Setelah tiga bulan mengenali hati budi masing-masing pasangan ini sepakat untuk bertunang dan seterusnya berkahwin pada tahun 1993. Sebaik sahaja mengikat tali perkahwinan, Bezos meletakkan jawatannya di sebuah syarikat pelaburan di New York dan mendirikan perniagaan sendiri yang diberi nama Amazon dalam garaj rumah sewaan mereka. Kehebatan perniagaan atas talian Amazon ini telah meningkatkan harta mereka hanya dalam sekelip mata. Kini Amazon terkenal di seluruh dunia.

Pasangan ini mempunyai empat orang anak, termasuk tiga orang lelaki dan seorang anak angkat perempuan yang berasal dari China. Anak sulung pasangan ini berusia 18 tahun. Pasangan ini terdahulu banyak memberi sumbangan kepada mereka yang memerlukan seperti pernah menghulurkan USD2 bilion (RM8 bilion) kepada keluarga gelandangan untuk membantu anak-anak mereka memulakan persekolahan.

Januari tahun lalu pasangan ini juga telah menyerahkan USD3 juta (RM12 juta) untuk membiayai biasiswa untuk pelajar sekolah menengah Amerika Syarikat dengan status Deferred Action for Chilhood Arrival (DACA), sebuah program era Obama yang melindungi imigran muda yang dibawa ke Amerika Syarikat secara haram oleh ibu bapa mereka.

MacKenzie telah mengumumkan akan mendermakan separuh daripada harta kekayaannya untuk tujuan kebajikan. Kuat sungguh semangat wanita yang berusia 50 tahun ini.

Share
Published by
Hamizatul Maizan Binti Mohamed