“Jadi Wanita Yang Bukan Je Cantik, Berbakat & Bijak Malah Penuh Santun & Teguh Iman,” PUAN SRI NORMALA SAMSUDIN

Meskipun sudah lama meninggalkan dunia pengacaraan namun bakat dan nama Puan Sri Normala Samsudin masih diperkatakan hingga ke hari ini. Bersandarkan pengalaman yang luas dalam industri penyiaran, tidak hairanlah beliau sering dijadikan rujukan generasi muda yang berhasrat menceburkan diri dalam pentas dunia glamor tersebut. Beliau yang dilantik selaku panel juri bagi program Ratu Hijabista mengakui cukup teruja dapat menilai prestasi para peserta, sekaligus menggilap bakat mereka.

Sambil menyifatkan program pencarian bakat wanita berhijab ini mampu membuka ruang pekerjaan kepada peserta, jelitawan berusia 56 tahun berkenaan turut melihat program Ratu Hijabista platform terbaik untuk menceburkan diri dalam cabang penyiaran, peragaan, media dan hiburan.

“Ramai mereka yang berbakat tetapi perlu diketengahkan dengan saluran yang betul seperti Ratu Hijabista ini. Kita memang sentiasa memerlukan pelapis baru, lantaran itu program berprestij seperti ini patut dijadikan contoh untuk anak muda yang boleh menyerlahkan bakat mereka mengikut kesesuaian ‘muslim kontemporari’, dan dalam syariah compliance

walaupun berhijab boleh berfesyen, bersukan, berlakon, modeling, membaca berita, dan dalam pentas hiburan yang sesuai.

Ia juga ada sedikit unsur dakwah ringan mengajak dan melentur anak-anak gadis kita kepada sesuatu yang baik dan bersesuaian dengan peringkat umur yang masih muda. Ratu yang dinobatkan ini juga akan menggalas tanggungjawab, dan menjaga nama baik gadis berhijab di mata dunia.”

Tatkala diaju pertanyaan mengenai kriteria yang dicari Puan Sri Normala selaku pengacara ‘senior’ dalam penganjuran Ratu Hijabista, ini jawapan telus beliau. “Bijak dan berpendidikan tinggi, kukuh berhijab walau apa sekali pun kekangan dan rintangan, jati diri yang disegani dan sentiasa peka dengan keluarga dan masyarakat, natural dalam tugasan yang diberi dan bukan terpaksa buat. Selain itu, mereka juga tidak mudah berputus asa walaupun tersilap atau kalah.”

Mengulas trend dan situasi dunia penyiaran hari ini yang lebih mementingkan rupa paras berbanding bakat, dalam nada tegas bekas personaliti TV ini melontar bicara. “Ini adat dunia, wajah dan pesona cantik sejak zaman dahulu lagi sejak lahirnya Adam AS lagi memang begitu. Sememangnya, cantik itu menjadi pilihan utama tapi, di zaman ini cantik dan bijak itu adalah yang utama.

Setiap wanita itu dilahirkan berbakat cuma ia berbeza-beza. Kalau cantik dan bijak serta berbakat namun kurang budi bahasanya, dia tidak dikenang sebagai manis dan santunnya. Jadi, jadilah wanita yang bukan saja cantik, berbakat dan bijak, malah wanita yang penuh santun susila dan teguh imannya.

Benar, setiap wanita itu perlu diberikan pendidikan yang tinggi walaupun akhirnya sebagai suri rumah. Wanita berpendidikan adalah pengurus yang sangat baik. Mengurus anak dan rumah tangga bukan sesuatu yang senang, ia perlu sentiasa ada instinct dan mengurus setiap masalah dengan baik, bijak dan tepat.

Wanita bijak tidak akan sentiasa serabut, kerana dia takda masa memikirkan sesuatu masalah terlalu lama dan jadi berkarat. Jika dia tidak ada pendapatan dan terpaksa jadi ibu tunggal, dengan pendidikan walaupun tidak tinggi dia boleh menyara keluarga. Bayangkan kalau pendidikan tinggi, wanita itu akan hebat walau apa pun situasi yang menyusahkan dan menjengkelkan,” ujar isteri Tan Sri Azmi Khalid ini.

Sementara itu, ditanya sama ada beliau sudah ‘nampak’ bakal calon juara Ratu Hijabista… beliau bagaimana pun selesa untuk tidak mendedahkan perkara tersebut kepada umum buat masa ini. “Saya rasa semua 12 Ratu yang bertanding itu layak namun bertanding sesama yang terbaik di antara yang terbaik amat memerlukan ‘on the spot’ menilai secara terperinci, seperti menjawab soalan tepat dengan spontan, tidak gugup, isi yang padat dan logik.

Dalam top 4 finale ini, sudah tentu ada pilihan yang paling tinggi markahnya, paling bersahaja dan paling baik di antara yang terbaik. Saya rahsiakan pilihan saya dan tunggulah malam esok. Klunya, raut wajahnya seperti dari dunia peragaan antarabangsa. Mixture of global faces.”

Biar siapa pun yang diangkat sebagai juara Ratu Hijabista esok, Puan Sri Normala berharap agar para peserta dapat memanfaatkan ilmu yang diperoleh sepanjang menyertai program ini di samping menjadi sumber inspirasi kepada lebih ramai wanita. “Teguhkan diri dengan ilmu dunia dan akhirat, cekal dan bulatkan tiap cita-cita dan hasrat, pasang niat yang baik kerana setiap yang baik Allah akan balas baik.

Jangan putus asa dan bertawakkal hanya kepada yang mencipta impian kita dan utamakan Yang Mencipta Allah dalam segala hal yang kita mahukan, impikan, fokuskan dan kerjakan dengan penuh sabar dan dedikasi. Doalah supaya kita jadi orang yang tetap fikiran bukan seperti pohon yang sentiasa bergoyang bila di tiup angin. Berfikiran positif dan sentiasa ikhlas merendah diri di mana jua kita berada.”

Share
Published by
Suzi