Berbicara tentang bulan madu, ramai pasangan suami isteri terutamanya yang baru mendirikan rumahtangga membayangkan suasana indah, duduk di tepian pantai sambil menikmati tiupan angin sepoi-sepoi bahasa yang menenangkan.
Ada juga yang menggambarkan bulan madu di luar negara seperti di Switzerland ataupun Paris. Begitulah impian suasana bulan madu. Namun anda perlu tahu, bulan madu boleh juga dicipta walau hanya di rumah.
Ia sebenarnya mampu menjadi tempat paling romantik untuk anda dan pasangan. 6 cara ini boleh dilakukan bagi menjayakan bulan madu di rumah. Sesuai juga buat pasangan yang sudah lama mendirikan rumahtangga.
CIPTA SUASANA ROMANTIK
Ubah suasana bilik tidur seperti pasang lampu yang malap dan tukar cadar yang baru. Untuk lebih romantik lagi, beli bunga mawar segar. Letakkan di bilik tidur atau meja makan. Bunga mawar memang terkenal sebagai lambang kasih sayang dan cinta.
BEBAS DARIPADA URUSAN KERJA
Sampaikan pesanan cinta lebih awal kepada pasangan bahawa anda berdua akan menikmati malam yang romantik. Pastikan malam yang anda pilih itu bebas daripada urusan kerja. Kalau boleh matikan telefon bimbit pada malam romantik itu. Ingat, jangan sesekali fikirkan tentang kerja yang belum selesai di pejabat.
HIDANGAN ISTIMEWA
Suasana romantik pasti tidak akan lengkap tanpa makan malam istimewa. Sediakan menu kegemaran pasangan. Lengkapi makan malam romantik anda dengan nyalaan lilin bersama kuntuman mawar merah di atas meja.
PENAMPILAN MENARIK
Pilihlah pakaian yang dapat memberikan kesan romantik selain cantik, baru dan ‘seksi’ untuk tatapan pasangan. Ingat, pakaian yang berbeza akan menambahkan kelainan suasana. Begitu juga suami, pilihlah pakaian yang menyenangkan di mata isteri.
IRAMA DAN LAGU
Tidak lengkap makan malam tanpa iringan muzik romantik. Tidak salah juga jika anda mengajak pasangan untuk menari. Apa hendak dimalukan, bukankah di rumah hanya anda berdua saja? Tetapi jika anda tidak sukakan muzik, carilah filem romantik untuk ditonton bersama.
PELUKAN ERAT
Selesai makan malam dan menonton filem romantik, berikanlah pelukan dan ciuman penuh bermakna buat pasangan. Secara tidak langsung, ia membuatkan anda terasa semakin dekat dan intim dengan pasangan.
Makin Cerdik & Comel, AINUL MARDHIAH Bakal Jadi Kakak Tak Lama Lagi! Ibunya Kini Hamil 7 Bulan
“Hari ini bergema nama kakak di bumi Malaysia. Nama kakak banyak naik ke langit sebab orang tidak henti-henti menyebut nama kakak dan doakan kakak. Kakak, keep fighting! Ramai yang nak tengok kakak bangun dan berlari sayang!”
Itu antara cebisan kata-kata menyentuh jiwa yang dikongsi di Facebook Ahmad Safiuddin Ahmad Razak bapa kepada Ainul Mardhiah, bayi perempuan penghidap kanser mulut ‘Germ Cell Tumor’ yang kisahnya tular sekitar April 2019 dan ramai yang prihatin dengan penderitaan anak kecil ini.
Dilahirkan sebagai bayi pramatang pada 13 Ogos 2018, Ainul merupakan anak kepada pasangan muda yang sangat tabah iaitu Nurul Erwani Zaidi dan Ahmad Safiuddin Ahmad Razak. Kedua-duanya kini berusia 25 tahun. Bapanya seorang peniaga manakala ibunya suri rumahtangga dan pelajar di salah sebuah universiti swasta tempatan.
Diam tak diam kini Ainul sudah pun berusia dua tahun. Seronok melihat perkembangan Ainul yang kini bukan saja semakin sihat bahkan comel serta bijak! Keletahnya sering mencuit hati. Baca perkongsian ekslusif ibunya bersama Nona tentang perkembangan terkini Ainul.
SYUKUR DIBERI UJIAN
“Saya sangat bersyukur kepada Allah SWT dengan ujian yang telah diberikan kepada kami sekeluarga. Saya juga gembira serta terharu atas keperihatinan rakyat Malaysia yang tidak pernah jemu memberikan sokongan dan titipan doa buat Ainul.
Sejak Ainul dilahirkan sampailah sekarang saya dan suami tak pernah putus mengucapkan syukur kepada Allah SWT atas ujian yang diberi. Ujian ini mungkin ‘sangat sedikit’ kalau hendak dibandingkan dengan ujian lebih berat yang terpaksa ditanggung oleh orang lain. Maka kami sentiasa bersyukur walau diberikan ujian berat ini kerana percaya dengan hikmah yang ada di sebaliknya.
Ainul menjadi sumber kekuatan kami berdua. Kerana Ainul jugalah kami menjadi lebih matang dalam membuat keputusan. Banyak sangat hikmah yang Allah SWT tunjuk kepada kami melalui ujian ini.
Kami pun tak minta untuk dikenali namun apa yang berlaku semuanya telah ditentukan oleh Allah SWT kepada kami. “Siapa yang bersabar dan solat, Allah SWT pasti akan bantu orang itu”. Ayat Al-Quran ini sentiasa menjadi amalan saya dan suami dalam mencari ketenangan jiwa.
Pastinya yang paling kuat menghadapi ujian ini ialah suami. Saya pula yang paling tidak kuat. Ketika Ainul lahir ke dunia sayalah yang tak henti-henti menangis dan sering menyalahkan diri sendiri kerana menyebabkan Ainul jadi begitu. Saya hampir putus harap. Suamilah yang sering memberi kata-kata semangat dan sentiasa berada di sisi saya. Suami seorang yang sangat positif walaupun saya tahu dia sebenarnya juga sedang menangis, cuma tak pernah tunjuk kepada saya.
TANGISAN
Detik atau perkara yang paling menyentuh hati saya sepanjang bergelar ibu ialah ketika Ainul mula dikenali ramai orang. Waktu itu saya berasa sangat malu kerana takut orang akan memandang serong atau rasa tak selesa tatkala melihat Ainul dalam keadaan begitu. Namun ternyata saya salah.
Rupa-rupanya ramai yang mula prihatin dan sanggup menjual barang-barang kesayangan mereka semata-mata untuk membantu dalam memberi sumbangan kepada Ainul. Orang ramai tak kira bangsa dan agama turut menghubungi saya dan suami sambil diiringi dengan tangisan mereka. Ini benar-benar menyentuh jiwa kami.
Saya seorang yang suka tersenyum dan sebolehnya tidak akan menangis di hadapan orang. Bohonglah kalau kata tak sedih namun bagi saya menangis bukanlah jalan penyelesaiannya. Seingat saya, tangisan paling teruk yang pernah saya alami ialah setelah Ainul selamat menjalani pembedahan di London. Tangisan saya waktu itu sebenarnya tangisan kegembiraan. Ianya berlaku secara spontan dan tanpa diduga.
HAMIL ANAK KEDUA
Rezeki anak adalah rezeki yang tak terhitung nilainya. Anak adalah anugerah Allah SWT untuk kita menyambung dan meramaikan lagi umat Nabi Muhammad SAW. Alhamdulillah, sejak Ainul bertambah sihat dan cerdik saya dan suami mengambil keputusan untuk ‘menghadiahkan’ Ainul adik. Adalah kawan untuk bermain nanti.
Alhamdulillah kandungan saya sekarang sudah masuk 7 bulan. Ketika mengetahui saya hamil kali kedua kami bersyukur sangat. Nak kata merancang tak sebenarnya. Kami juga tak rancang berapa orang anak yang kami mahu. Kalau dapat ramai alhamdulillah rezeki kami. Allah lagi Maha Mengetahui.
Mungkin sekarang waktu yang sesuai untuk Dia beri rezeki. Lagi pun Ainul ramai yang jaga di rumah. Tak salah rasanya kalau tambah lagi anak. Tak sabar rasanya nak lihat Ainul main dengan adik nanti!
Alhamdulillah sepanjang kehamilan ini dipermudahkan. Cuma kali ini penat sedikit berbanding hamilkan Ainul dulu. Alahan teruk tiada. Mengidam pun makanan yang mudah dicari. Kalau diberi rezeki oleh Allah SWT, anak kedua ini InshaAllah lelaki. Saya dah buat scan empat kali, memang semuanya nampak lelaki.
Mungkin saya akan terimbas kembali momen-momen sewaktu melahirkan Ainul. Akan tetapi ianya akan menjadi salah satu penguat semangat saya dalam kehidupan ini. Allah SWT memberi ujian tanda Dia sayangkan kita.
AINUL MAKIN CERDIK
Alhamdulillah, Ainul juga sama seperti kanak-kanak lain. Walaupun perkembangan Ainul lambat sedikit berbanding umurnya sekarang tetapi setiap momen atau keletah Ainul sama seperti bayi normal yang lain antaranya celik mata sahaja terus hendak bermain. Antara rancangan kartun kegemaran Ainul ialah Omar & Hana.
Selain itu, Ainul sekarang sangat cepat belajar. Macam-macam perangai yang Ainul sedang belajar sekarang. Tetapi yang paling mencuit hati saya dan suami ialah Ainul sedang berusaha untuk belajar bercakap. Kadang-kadang dah pandai mengamuk sebab tak bawa dia pergi berjalan-jalan.
TERUJA SAMBUT SYAWAL
Tahun lalu (2019) kami menyambut Hari Raya Aidilfitri di perantauan. First time jugalah saya dan suami berjauhan beribu-ribu kilometer dari keluarga. Alhamdulillah walaupun jauh daripada keluarga, kami dapat berkenalan dengan keluarga baru di London. Semuanya baik-baik dan sangat ramah.
Tahun ini sambutan Syawal lebih bermakna kerana kami dapat menyambutnya bersama Ainul yang semakin cerdik dan banyak ‘akal’. Ia memberi satu kelegaan buat saya dan suami kerana Allah SWT sentiasa memberi peluang dan mengkabulkan doa-doa yang pernah kami pohon sebelum-sebelum ini.
Banyak sebenarnya plan nak buat dengan Ainul sepanjang Syawal nanti. Salah satunya ialah mahu membawa Ainul ke rumah saudara mara. Namum atas faktor-faktor yang sedang berlaku pada negara Malaysia ketika ini kami terpaksa patuh dengan arahan dan menyambutnya di rumah sahaja. Tahun lalu tema raya kami bertiga adalah warna ungu, tahun ini kami akan memakai warna biru pula pada Hari Raya pertama.
RINDU DR AMALINA BAKRI
InshaAllah kalau ada rezeki suatu hari nanti kami sekeluarga pasti akan ke London semula untuk berjumpa dengan keluarga baru dan para doktor yang pernah merawat serta menjaga Ainul di sana. Paling kami rindu semestinya Dr Amalina Bakri yang gigih berusaha memastikan Ainul selamat tiba di London dahulu.
Dr Amalina sangat prihatin terhadap Ainul. Kami ingin mengucapkan terima kasih yang tak terhingga kepada beliau kerana sanggup membantu kami demi memberikan yang terbaik buat Ainul. Dr Amalina adalah insan yang berhati mulia. Saya dan suami tidak mampu membalas jasanya. Pun begitu, beliau sentiasa ada dalam doa kami.
HARAPAN
Terima kasih juga untuk setiap bait-bait doa yang telah diselitkan buat kami sekeluarga. Saya dan suami tidak mampu membalas segala pertolongan dari segi wang ringgit, pengorbanan, dan tenaga. Kami hanya mampu mendoakan buat seluruh rakyat Malaysia. Semoga doa-doa yang diselitkan buat kami akan dikembalikan kepada kalian semula.
Setiap manusia pasti akan diuji, cuma ujian kita mungkin berbeza-beza mengikut tahap kemampuan. Yang penting lalui ujian dengan banyak bersabar dan solat, pasti akan datang sinarnya kelak. Mungkin saat ini doa-doa belum dimakbulkan oleh Allah SWT. Namun yakinlah bahawa doa itu pasti akan dimakbulkan tepat pada waktunya.
Kekuatan saya semuanya datang daripada Allah SWT. Sejak Ainul lahir sampailah sekarang keluarga kami sentiasa memberi kata-kata semangat. Di samping itu, saya juga banyak mendengar kuliah-kuliah agama agar dapat mengubah diri menjadi seorang isteri dan ibu yang lebih baik serta sentiasa positif.
Menyentuh tentang masa depan Ainul, saya dan suami akan sentiasa membimbing dan memberi didikan terbaik buat dirinya. Dari segi kerjaya, minat dan lain-lain saya serahkan kepada Ainul untuk tentukan hala tuju kehidupannya sendiri namun atas nasihat serta dorongan kami sebagai ibu bapa.
Seterusnya, saya mengharapkan agar Ainul sentiasa bersyukur dengan segala nikmat yang Allah SWT berikan kepadanya dan sentiasa bersikap baik kepada semua orang. Hakikatnya, jalan hidup yang Ainul lalui ini bukan mudah.
Buat Ainul, Mama tak pernah anggap anak Mama satu beban atau halangan untuk Mama teruskan kehidupan. Ainul Mardhiah penguat semangat Mama. Dari Ainul lahir sampailah sekarang rezeki yang tak disangka-sangka dari Allah SWT sentiasa mengalir. Alhamdulillah..
Seterusnya nasihat daripada ibu kandung dan ibu mertua yang masih segar dalam ingatan ialah mereka sering mengingatkan saya agar tidak meninggalkan solat, mengaji dan taat kepada suami. Mereka juga sentiasa berada di sisi saya dalam keadaan susah mahupun senang.”
Semoga Nurul Erwani dan suami terus kuat demi Ainul yang menjadi permata kesayangan seluruh rakyat Malaysia. Buat bidadari syurga, Ainul Mardhiah semoga menjadi anak yang solehah buat ibu dan ayah. Jadilah sekuat Sumayyah r.a, secantik Aisyah r.a, dan semulia Siti Khadijah r.a
Kredit Foto: Instagram Nurul Erwani Zaidi, Intagram Dr Amalina Bakri & Facebook Ahmad Safiuddin
“Paksa Diri Berubah..” – NEELOFA Kongsi Kunci Kejayaan, Agar Wanita Gapai Istiqamah
Terdahulu, ketika mengambil keputusan untuk tampil berniqab dan berpurdah, penghijrahan bekas pengacara Meletop, Hajah Noor Neelofa Mohd Noor menjadi bualan, sekaligus mengejutkan orang ramai!
Namun, siapa sangka penghijrahan yang sudah menjangkau tahun keempat ini telah membuatkan ramai wanita menjadikan Neelofa sebagai sumber inspirasi dan role-model untuk menutup aurat dan yakin untuk berubah ke arah lebih baik.
Bagaimanapun, berat mata memandang berat lagi bahu yang memikul, Neelofa akui untuk konsisten dan istiqamah dalam penghijrahan bukanlah satu perkara mudah baginya.
Cara Nak Kekal Istiqamah, Kena Paksa Diri
Sumber Gambar: Instagram Neelofa
Justeru, sewaktu menghadiri program Festival Sunnah yang diadakan di Stadium Abdul Halim, Alor Setar, Kedah, Neelofa telah berkongsi tip kekal istiqamah kepada para peminatnya yang mahu berubah kearah lebih baik.
Antara pendekatan yang dilakukan ibu kepada Muhamad Bilal, untuk kekal istiqamah adalah dengan ‘berubah secara paksaan’. Menurut Neelofa, teknik ini adalah yang termudah untuk diamalkan.
“Orang ramai tanya saya, macam mana cara nak istiqamah? Mulakan dengan paksaan, tiada cara lain. Kena paksa, contoh kena dengar ceramah di YouTube, itu benda paling senang, tak perlu keluar rumah.
“Kena paksa buka al-Quran, kena paksa baca tafsir. Malasnya nak baca al-Quran, boleh baca tafsir dalam hati. Al-Quran ini satu benda yang sangat istimewa di mana kadang-kadang baca tafsir pun boleh mengubah hati orang. Jadi, paksa!
“Nak berzikir pun kalau dulu boleh berzikir 100, 1000 kali tu sekejap saja. Sekarang satu pun tak ada. Jadi, kena cari tasbih, kena ada usaha itu.
“Istiqamah inilah benda yang paling susah sekali, sebenarnya kalau nak tanya. Nak pakai tudung senang, kita decide kita nak pakai tudung. Kita minta doa-doa untuk kita pakai tudung,” katanya.
Sokongan Dari Keluarga dan ‘Circle’ Terdekat Penting!
Sumber Gambar: Instagram Neelofa
Selain itu, Neelofa menegaskan, sokongan keluarga dan orang sekeliling yang rapat dengan kita juga memainkan peranan yang penting baginya untuk kekal istiqamah.
“Nak istiqamah untuk menghayati menutup aurat dengan sempurna itu is another story. Saya bukan la orang yang tepat nak bagitahu, tapi kalau sekadar pengalaman itulah.
“Maksudnya banyak paksaan dalam usaha atas iman saya itu tapi yang banyak membantu juga adalah teman-teman dan pasangan,” katanya.
Sekadar info, artikel ini merupakan artikel olahan semula dari HIJABISTA
Majalah Nona ada juga di Telegram. Mudah nak akses artikel menarik dan video-video terkini. Follow kami sekarang di SINI!
Sumber Gambar: Instagram Neelofa
Comelnya Baby Boy MUABELLAZ, LAHIR Pada Malam HARI ARAFAH Pula.
Mengambil berkat malam hari Arafah, MUABELLAZ bersyukur anak ketiganya dilahirkan dengan selamat. Muhamad Ean Yusuf Bin Mohd Anuar mendapat perhatian daripada followers Muabellaz dan ramai yang memuji baby comel yang bertuah itu.
https://www.instagram.com/p/CDPVfyup9Pm/?utm_source=ig_web_copy_link
Kegembiraan menyambut orang baru dalam keluarga semestinya dinanti-nantikan oleh suami tersayang, Anuar Ahmad dan dua lagi anak-anaknya, Alisya dan Aidil.
Mengenali Muabellaz atau nama sebenarnya Nur Nabila Zulyadaini yang mempunyai 1.7 juta followers di Instagram, dia cukup rendah diri. Celotehnya ketika tutorial live di media sosial dalam loghat utara sangat menarik dan lucu.
“Saya belajar makeup hanya dari Youtube dan Instagram. Masa mula-mula dulu memang saya tak mampu untuk menghadiri kelas solekan kerana yurannya terlalu mahal. Saya bukan dari keluarga yang kaya jadi duit yang ada digunakan untuk perbelanjaan keluarga dan untuk up-grade barang solekan.
Solekan ini umpama satu kelebihan dalam skil. Untuk jadi pandai, kita perlu selalu praktikkan solekan dan itulah yang saya lakukan. Setiap kali saya terima bayaran dari klien, saya gunakan untuk beli barang-barang yang lebih baik. Sampai di rumah, saya akan berulang kali solek diri sendiri supaya skil itu semakin baik.
Saya memang minat sangat makeup. Mungkin itulah kelebihan yang Allah berikan. Selepas itu saya mula buat video live di Facebook dan tutorial makeup dan dari situ orang mula mengenali saya. Lama-kelamaan, saya mengambil cabaran membuka kelas solekan agar lebih ramai lagi yang boleh belajar ilmu solekan dan pada masa sama, saya sendiri boleh belajar dari mereka dan mengasah skil sendiri,” ujarnya.
Mengimbau kembali setiap kesukaran hidup yang pernah dilalui, Bellaz hampir mengaku kalah dengan airmata. Hidupnya sukar dan tidak pernah langsung dia terfikir dapat keluar dari kemiskinan. Jiwa yang kental dan tanggungjawab yang dipikul membuatkan Bellaz sentiasa mencari ruang untuk cuba memperbaiki nasib keluarga.
“Ayah saya seorang nelayan, manakala ibu pula hanya seorang surirumah. Apabila ayah ‘masuk pulau’, hampir dua hingga tiga minggu juga kami ditinggalkan. Sebagai anak ketiga, saya rasa sudah menjadi tanggungjawab saya untuk mencari rezeki untuk kami anak-beranak makan, biarpun hanya kais pagi makan pagi.
Kesenangan yang dikecapi Bellaz kini bukanlah hasil sebulan dua. Dia bekerja keras demi kelangsungan hidup dan untuk terus kekal relevan dalam industri demi untuk memberi kesenangan kepada keluarga. Macam tidak percaya apabila Bellaz akui adik-adiknya tidak tahu membuka pintu kereta kerana tak pernah naik kereta seumur hidup mereka.
“Sewaktu saya dan suami belum berkahwin, suami bercadang membawa saya dan adik-adik makan dengan menaiki kereta. Adik-adik saya tak tahu macam mana nak buka pintu kereta kerana kami tak pernah naik kereta! Bagi saya, makan sayur kailan dan minum Milo ais pun sudah cukup mewah.
Kalau tak cukup duit untuk makan, memang saya sendiri akan ke rumah jiran untuk pinjam duit. Kadang-kadang duit upah dari kelas ikan saya berikan kepada ibu kerana ibu dan adik-adik tak makan. Saya berlapar kerana kasihankan mereka. Saya sedar ramai lagi orang yang lebih susah dari saya tapi ini kisah hidup saya yang ingin kongsikan kepada semua,” cerita Bellaz.
“Saya tak pernah terfikir untuk mendapat rezeki besar macam ni dari Allah. Saya fikir, cukuplah kalau ada duit untuk makan, tak perlu kaya-raya. Tetapi ini pemberian Allah, jadi saya perlu buat sesuatu agar ia boleh dikongsi bersama orang lain.
Di kampung, memang ramai sangat orang yang susah, malah lebih susah dari saya dulu. Kalau saya dengar ada yang perlukan bantuan, saya akan ke rumah mereka dan lihat apa yang boleh dibantu. Begitu juga sekiranya mereka perlukan bantuan dari segi kemudahan infrastruktur.
Ada dua perkara yang saya pegang dalam diri iaitu sejahat mana sekalipun kita, jaga hubungan kita dengan Allah kerana Allah akan sentiasa bersama kita. Jangan pernah putus doa dan niat perlu betul. Dan bersedekah dengan ikhlas tanpa mengharapkan balasan. Dengan rezeki yang Allah beri, kita cuba bantu adik-beradik kita dan tolong orang yang memerlukan.” Katanya mengakhiri perbualan.
Kredit foto: Instagram Muabellaz