Jadikan Rumah DESTINASI BULAN MADU Paling Romantik Dengan Mempraktikkan 6 Cara Ini

Berbicara tentang bulan madu, ramai pasangan suami isteri terutamanya yang baru mendirikan rumahtangga membayangkan suasana indah, duduk di tepian pantai sambil menikmati tiupan angin sepoi-sepoi bahasa yang menenangkan.

Ada juga yang menggambarkan bulan madu di luar negara seperti di Switzerland ataupun Paris. Begitulah impian suasana bulan madu. Namun anda perlu tahu, bulan madu boleh juga dicipta walau hanya di rumah.

Ia sebenarnya mampu menjadi tempat paling romantik untuk anda dan pasangan. 6 cara ini boleh dilakukan bagi menjayakan bulan madu di rumah. Sesuai juga buat pasangan yang sudah lama mendirikan rumahtangga.

CIPTA SUASANA ROMANTIK

Ubah suasana bilik tidur seperti pasang lampu yang malap dan tukar cadar yang baru. Untuk lebih romantik lagi, beli bunga mawar segar. Letakkan di bilik tidur atau meja makan. Bunga mawar memang terkenal sebagai lambang kasih sayang dan cinta.

BEBAS DARIPADA URUSAN KERJA

Sampaikan pesanan cinta lebih awal kepada pasangan bahawa anda berdua akan menikmati malam yang romantik. Pastikan malam yang anda pilih itu bebas daripada urusan kerja. Kalau boleh matikan telefon bimbit pada malam romantik itu. Ingat, jangan sesekali fikirkan tentang kerja yang belum selesai di pejabat.

HIDANGAN ISTIMEWA

Suasana romantik pasti tidak akan lengkap tanpa makan malam istimewa. Sediakan menu kegemaran pasangan. Lengkapi makan malam romantik anda dengan nyalaan lilin bersama kuntuman mawar merah di atas meja.

PENAMPILAN MENARIK

Pilihlah pakaian yang dapat memberikan kesan romantik selain cantik, baru dan ‘seksi’ untuk tatapan pasangan. Ingat, pakaian yang berbeza akan menambahkan kelainan suasana. Begitu juga suami, pilihlah pakaian yang menyenangkan di mata isteri.

IRAMA DAN LAGU

Tidak lengkap makan malam tanpa iringan muzik romantik. Tidak salah juga jika anda mengajak pasangan untuk menari. Apa hendak dimalukan, bukankah di rumah hanya anda berdua saja? Tetapi jika anda tidak sukakan muzik, carilah filem romantik untuk ditonton bersama.

PELUKAN ERAT

Selesai makan malam dan menonton filem romantik, berikanlah pelukan dan ciuman penuh bermakna buat pasangan. Secara tidak langsung, ia membuatkan anda terasa semakin dekat dan intim dengan pasangan.

Share
Published by
Amy Mohd