Penyanyi yang sohor dengan imej ‘Miss Diva’, Ifa Raziah yang sering tampil memperagakan barangan kemas seperti loket hati gergasi, serta pengasas Serifa Beauty & Health mengakui bahawa cabaran wanita masa kini bukan hanya perlu tampil cantik semata-mata.
Malah, jelas Ifa yang kini merupakan Pengarah Urusan dan Pengasas jenama StarVendors, wanita kini perlu berpendirian teguh, berdiri di atas kaki sendiri tanpa perlu terlalu bergantung sepenuhnya pada pasangan.
Sering membawa watak antagonis, hingga jelmaan wanita yang bermasalah itu sedikit sebanyak terpalit dalam kehidupan Ifa Raziah. Siapa sangka Ifa kini bergelar usahawan yang sangat menginspirasikan.
Kini Ifa mengadaptasi seluruh pengalamannya sebagai anak seni selama lebih dua dekad untuk memajukan bisnes pengurusan acara, StarVendors Event Sdn Bhd.
“Saya sebenarnya seorang individu yang bersemangat dan suka memberikan komitmen dalam setiap pekerjaan. Termasuklah dalam arena bisnes.
“Harapan saya agar suatu hari nanti semua kerja keras ini dapat meninggalkan legasi kepada anak-anak. Mungkin bila dah berusia nanti, saya dapat abadikan diri beribadah sepenuh masa sambil monitor saja bisnes yang mereka uruskan.” ujarnya.
Terkenal sebagai seorang wanita yang ekspresif, serta mempunyai sifat disiplin yang tinggi, rezeki Ifa Raziah dalam bidang seni terus mengalir tanpa henti.
Ifa kini terus mencatat satu demi satu kejayaan berskala besar ekoran strategi hidupnya, ingin sentiasa relevan dengan trend semasa.
Selain itu, Ifa turut memberikan satu kata semangat buat para wanita diluar sana agar “Jadilah wanita yang berduit kerana wanita yang cantik dah banyak!” dan kenyataan ini sedikit sebanyak berjaya mencuit perhatian NONA.
Seterusnya, bakat beliau berkembang sebagai pelakon, pelawak dan pengacara sebelum kini sebagai Pengasas serta Pengarah Urusan StarVendors Event Sdn Bhd.
“Selagi masih larat dan kudrat mengizinkan, saya mahu terus aktif dalam bidang seni.
“Sebenarnya saya banyak menerima job daripada stesen TV, kehadiran saya sedikit sebanyak menaikkan rating program,” tambahnya.
Majalah Nona ada juga di Telegram. Mudah nak akses artikel menarik dan video-video terkini di sini. Follow kami sekarang di https://t.me/majalahnona
This website uses cookies.