Kecekalan wanita tabah ini dalam meniti kehidupan seharian nyata mencetus inspirasi. Dalam kesibukan menguruskan dua anak istimewanya namun Zarina Zainuddin tetap ligat merancang masa depan dengan segala kudrat yang ada. Betul-betul supermom!
Enggan bergantung pendapatan dengan kerjaya lakonan semata-mata, aktres ini bijak menggunakan bakat yang ada untuk menceburi bidang perniagaan makanan. Apatah lagi, dengan keadaan ekonomi tidak menentu disebabkan wabak Covid-19… masyarakat perlu kreatif menjana pendapatan demi kelangsungan hidup.
Perniagaan pulut kuning yang diusahakan Zarina Zainuddin bukan lagi rahsia. Saban tahun, dia ligat mencari pelbagai idea baharu untuk melariskan jualan. Yang pasti, bisnes pada mulanya sekadar ‘suka-suka’ kini berkembang maju dan meraih pulangan menguntungkan.
Sejujurnya ramai yang meluahkan rasa kagum dengan kegigihan personaliti berusia 50 tahun ini dalam mengusahakan perniagaan. Mana tidaknya, dalam masa sama Zarina turut sibuk dengan jadual seni lakonan. Meskipun aktiviti seni terpaksa ditunda kerana Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), dia enggan sekadar duduk diam di rumah. Sebaliknya menggunakan masa yang ada untuk menjual sajian pulut kuning dengan amalan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat.
Sibuk ‘berperang’ dengan tempahan pulut kuning, Zarina dilihat cekal melayan gelagat dua anak autism iaitu Azil dan Azal. Memang tabah orangnya! Mengikuti perkembangan Zarina, ibu kepada empat cahaya mata ini sering berkongsi video bersama anak istimewa tersebut dengan para peminat. Bagi selebriti jelita ini, tujuan dia memuat naik video berkenaan tidak lain dan tidak bukan adalah untuk memberi kesedaran kepada orang ramai mengenai anak-anak autism.
Salah satu perkongsian Zarina di media sosial miliknya, “Hari ni Azil mengamuk lama sangat. Tadi saya suruh dia makan dia marah dia nak pergi 7 eleven dulu. Saya tahu jika saya bawak dia ke 7 eleven dia akan beli jajan keropok kentang dan air ais lemon tea tu. Dah minum tu susah dia nak makan. Waktu PKP macam ni Azil lagi banyak kali ajak keluar. Tak bawa dia mengamuk pukul-pukul muka dia.
Saya rasa jiran kiri, kanan, depan, belakang semua dengar kalau dia mengamuk. Setiap kali dia balik dari 7 eleven dia akan terus mandi, tukar baju baru, towel baru, dia lap badan dia terus pijak towel tu. Lepas tu dia lari bawa masuk baju-baju dalam washing machine. Tang bab ni sabar lah memang baju-baju dia yang banyak dibasuh setiap hari.
Dia pandai sebenarnya cuma dia tak tahu bercakap. Bila keluar terus ambil mask baru, masuk kereta kadang dalam kereta dia pakai mask, saya suruh buka baru dia buka. Bila abah dia merungut tentang Azil, saya cakap ‘Abah bukan senang kita nak masuk syurga. Mungkin anak ini yang selamatkan kita nanti’. Sabarlah, kalau diikutkan hati yang marah kasihan kat dia. Dia tak tahu apa-apa. Cakap pun tak boleh, apa lagi dia boleh buat. Dia mengamuk minta kita beri perhatian.”
Bukan mudah untuk membesarkan anak-anak autism. Salah satu kunci utama yang perlu ada dalam diri ibu bapa ialah sifat kesabaran yang tinggi dan itulah yang diamalkan Zarina selama ini.
Biarpun negara sedang melalui fasa PKP 2.0 namun ia tidak mematahkan semangat Zarina untuk aktif menjual pulut kuning. Difahamkan sehingga hari ini, Pulut Kuning Zarina Zainuddin sudah pun mempunyai pelbagai pilihan iaitu Pulut Kuning Rendang Daging, Pulut Kuning Rendang Kerang, Pulut Kuning Rendang Ayam, Pulut Kuning Sambal Bilis Petai dan Pulut Pandan Sambal Bilis Petai. Malah tempahan Pulut Kuning Berhias turut disediakan. Kecur tengok semua menu pulut kuning ini!
Selain turun padang menjual pulut kuning di Padang Jawa, Selangor… penggemar hidangan ini boleh menikmati juadah popular Zarina Zainuddin di beberapa stesen minyak terpilih di Kuala Lumpur, Damansara, Bangsar, Shah Alam, Subang dan Klang.
Semoga Zarina Zainuddin terus kuat menempuh liku hidup dan terus menyuntik inspirasi kepada seluruh wanita untuk berusaha ke arah kebaikan.
Kredit: Instagram Zarina Zainuddin