Ketika menjalani ibadah puasa, salah satu gangguan yang kerap dialami adalah kurang tidur atau insomnia. Mak mak menanti waktu sahur atau ayah ayah gusar tidak terbangun selepas bersahur membuatkan ramai yang memilih untuk berjaga sepanjang masa.
Kebiasaan ini boleh mendorong masalah gangguan tidur seperti insomnia. Antara tanda-tandanya adalah susah tidur walaupun penat, terbangun berkali-kali, tidak puas tidur, bangun terlalu cepat, mengantuk di siang hari dan susah menumpukan perhatian.
Memastikan tidur yang berkualiti pada bulan Ramadan ini adalah cara terbaik memastikan kesegaran tubuh saat berpuasa. Bersempena Hari Tidur Sedunia yang disambut pada 17 Mac 2023 lepas, Nona mengupas 7 cara mudah untuk mengatasi insomnia pada bulan puasa.
1. Jangan tidur berlebihan
Elakkan tidur siang secara berlebihan meskipun berpuasa. Amalkan ‘power nap’ sebagai ibadah sebelum masuknya waktu Zohor. Bagi mengatasi insomnia, tidur berlebihan akan membuatkan anda susah mengantuk dan mengganggu rutin-rutin ibadah lain pada malam hari.
2. Hindari kafein dan nikotin
Kedua-dua stimulan ini akan membuatkan anda terjaga jauh lebih lama daripada sepatutnya. Pastikan ia hanya diambil 5-6 jam sebelum tidur agar tidak mengganggu waktu istirahat normal.
3. Bersukan pada waktu petang
Ketika sedang berpuasa, pastikan anda memilih senaman yang ringan pada waktu petang kerana ia memberikan tubuh waktu yang cukup untuk berehat. Olahraga yang berat akan membuatkan tubuh stres.
4. Pengudaraan di dalam bilik tidur
Menjelang musim panas, udara pada waktu malam lazimnya tidak berangin. Tentu susah untuk tidur nyenyak jika bilik tidur tidak dilengkapi aircond. Cara terbaik, buka tingkap, bersihkan debu yang menempel pada permukaan bilik, gantikan cadar serta sarung bantal agar udara terasa lebih segar.
5. Pencahayaan yang nyaman
Tambahkan sumber pencahayaan yang semula jadi untuk bilik tidur pada waktu siang. Gunakan bidai atau langsir siang yang mudah dibuka dan ditutup pada bila-bila masa. Menjelang malam, tutup lampu atau redupkan cahaya agar minda terasa lebih relaks dan mata mudah terlelap.
6. Tidur di atas tilam yang padat
Orang Jepun tidur di atas lantai, orang Pakistan di atas tilam kayu. Kedua-duanya mungkin tidak terdengar selesa tapi ia adalah cara terbaik untuk mendapatkan pola tidur yang sihat. Permukaan tilam yang padat memberikan sokongan yang terbaik bagi otot-otot dan sendi yang keletihan.
7. Jauhkan gadget dari jangkauan tangan
Cara atasi insomnia pada bulan puasa adalah menjauhkan gadget anda daripada jangkauan tangan. Penggunaan teknologi ini boleh menurunkan kualiti tidur kita tanpa disedari. Apabila ia berdekatan, kita akan susah melelapkan mata kerana ingin kerap menatapnya.
This website uses cookies.