Seperti yang kita tahu kakak kepada usahawan, pelakon serta pengacara terkenal Neelofa ini seorang yang sangat menjaga privasi. Terutama tentang kehidupannya dengan suami tercinta, Engku Emran Engku Zainal Abidin.
Tidak seperti pasangan yang lain, Noor Nabila Mohd Noor atau Nabila jarang berkongsi gambar suami mahupun gambar mereka berdua di laman sosial.
Sebaliknya, Nabila lebih selesa berkongsi gambar serta video bersama anak tersayang, Jebat Jayden yang kini berusia empat tahun. Setiap hari ada saja aktiviti ibu dan anak ini yang mencuit hati. Jelaslah, Nabila kini tenang menjalani kehidupan sebagai seorang isteri dan ibu.
Berkongsi serba sedikit mengenai perkembangan terkininya selepas berkahwin, Pengarah Urusan NH Prima International Sdn Bhd ini pernah berkongsi dengan Majalah Nona bahawa dia kini bahagia menjalani kehidupan sebagai isteri dan ibu. Dia juga kini lebih matang dalam perhubungan.
“Saya dan Emran saling menjaga perhubungan. Saya pun dah 38 tahun, dah tahu asam garam rumahtangga.
“Kalau bercakap tentang sabar tu semua orang sabar, kan. Sebagai suami isteri harus sedar, pasangan kita itu seorang manusia yang lain dari segala-galanya.
“Itu tak mengapa sebab kalau kita dapat terima maka kita boleh terima kekurangannya dan cuba betul kekurangan itu bersama. Kami sendiri pun masih belajar. Kadang-kadang tu cakap je tapi nak buat tu susah juga. Tapi setiap hari kena ingatkan diri sendirilah.”
SABAR MENANTI ZURIAT
Bagi pasangan yang berkahwin pastinya mengimpikan untuk memiliki zuriat sebagai pewaris keluarga. Begitu juga Nabila dan Engku Emran.
Semestinya Nabila ingin memberikan adik buat Jayden dan Aleesya. Namun semuanya ketentuan Allah SWT.
Kata Nabila, dia dan suami tak pernah merancang namun sepanjang penantian zuriat itu ada kisah di sebaliknya.
“Sebenarnya saya dah pernah hamil 3 kali tapi belum ada rezeki disebabkan keguguran. Tapi insha-Allah kalau nak mencuba lagi saya kena jagalah.
“Bila dah tahu mengandung tu saya kena cepat-cepat pergi jumpa doktor, makan ubat dan sebagainya lah.
“Doakan saya dan suami diberikan rezeki untuk menimang cahaya mata.”
PETUA CANTIK MAMA
Seperti yang kita tahu, adik beradik perempuan Nabila semuanya mewarisi kecantikan ibu mereka. Kelebihan buat mereka kerana dilahirkan dalam keluarga berketurunan Pakistan-Arab.
Ini yang diamalkan Nabila termasuklah petua yang diamalkan Mama kesayangannya, Datin Noor Kartini atau Datin Tini.
Berusia 50an, Datin Tini yang merupakan ibu 9 anak masih nampak awet muda sampai sekarang. Patutlah anak-anak perempuannya cantik manis semuanya!
“Salah satu petua yang selalu diamalkan oleh Mama ialah suka makan madu. Kalau rutin kecantikan pula, Mama paling pantang kalau kami tak cuci muka bersih-bersih.
“Bagi Mama kulit kena jaga betul-betul terutamanya muka. Bersih luar dan dalam. Itulah antara petua yang dikongsi oleh Mama dengan kami adik beradik.”
Untuk info, Nabila pernah mendirikan rumahtangga dengan pelakon Sharnaaz Ahmad pada tahun 2017 namun bercerai pada Julai 2020. Mereka dikurniakan seorang anak lelaki, Jebat Jayden Ahmad. Nabila kemudiannya bernikah dengan Engku Emran pada Mac 2021 dalam satu majlis tertutup.
Kredit Foto: Instagram Noor Nabila
Majalah Nona ada juga di Telegram. Mudah nak akses artikel menarik dan video-video terkini di sini. Follow kamii sekarang di https://t.me/majalahnona
This website uses cookies.