Terlalu banyak kejadian yang telah berlaku dalam kehidupan peribadi dan jendela dunia kita hari ini. Satu persatu menjadi sebuah pengalaman dan pengajaran untuk kita memahami erti kehidupan. Bertafakur seketika menginsafi setiap kejadian itu dan mengambil ikhtibar atas apa yang telah berlaku. Kita pasti tertanya apa yang akan berlaku pada hari esok? Mungkin esok belum menjanjikan keindahan, mahupun yang duka. Dan siapalah kita untuk meramalkan sesuatu yang bakal berlaku, hanya Tuhan Yang Maha Mengetahui.
Kisah Ustazah Hamidah ini menjadi tauladan yang baik buat kita yang masih hidup. Ustazah berkhidmat sebagai pengurus jenazah, beliau sentiasa berdoa agar setiap kali menguruskan jenazah segala-galanya berjalan dengan lancar Pelbagai tragedi yang pernah dilaluinya setiap kali dipanggil untuk mengurus jenazah, pelbagai rasa akan timbul dalam hati. Biasanya, jika ada rasa tak sedap hati dan badan, pasti ada sesuatu yang tidak kena pada mayat tersebut.
InsyaAllah, jika jenazah itu masa hidupnya baik, banyak amal ibadat, tidak buat perkara-perkara mungkar, Ustazah akan menguruskan jenazah itu dengan senyuman dan rasa gembira. Sebaik-baiknya Ustazah cuba untuk meletakkan jenazah itu sebagai mati dalam beriman dan sebaliknya.
Suatu hari selepas selesai menunaikan solat Dhuha, Ustazah menerima panggilan daripada AJK Masjid untuk menguruskan jenazah yang meninggal dunia pada waktu subuh tadi. Dikatakan jenazah itu meninggal secara tiba-tiba tetapi bukan disebabkan wabak COVID-19.
Keluarlah Ustazah bersama anak perempuannya yang memang telah diajar untuk membantunya menguruskan jenazah. Dengan membawa segala kelengkapan, 15 minit perjalanannya sampailah di hadapan rumah tersebut. Sebuah rumah banglo yang agak lama usianya. Dari luar rumah lagi sudah berkumandang bacaan surah Yasin menemani langkah Ustazah ke dalam. Sejuk hati Ustazah Hamidah mendengarnya walaupun yang ada hanyalah anak-beranak keluarga arwah sahaja.
Melangkah masuk, Ustazah dapat mencium bau yang sangat wangi. Mungkin bau minyak wangi, itulah yang terfikir dalam otak kepalanya. Jenazah telah diletakkan dalam bilik. Dengan bantuan lima orang anak lelaki dan seorang anak perempuan, jenazah pun dibawa ke bilik air. Nasib baik bilik air itu luas saiznya, mudah bagi Ustazah untuk menguruskan pemandian jenazah.
Sewaktu jenazah mahu dimandikan, timbul rasa seronok melihat wajah tenang arwah begitu indah dan bahagia. Tubuhnya mengeluarkan haruman yang wangi seperti bunga yang baru dipetik di taman. Alhamdulillah, selesai urusan memandikan jenazah, urusan mengkafankan jenazah juga dilakukan dengan mudah. Dalam hati Ustazah, pastinya arwah seorang yang sentiasa melakukan kebaikan dalam hidupnya.
Tidak ada langsung kesukaran dalam menguruskan jenazah, waris pula banyak membantu. Bahagia Ustazah melihat waris jenazah, satu persatu anaknya mencium jenazah buat kali terakhir dengan tenang. Selesai semuanya, sempatlah ustazah bertanya kepada waris tentang jenazah.
Semasa hidup, dia seorang ibu yang sangat baik pada keluarga. Bekas seorang guru yang tegas tetapi baik membantu mengajar anak-anak murid di sekolah. Selepas suaminya menerima pingat Dato’, arwah disuruh berhenti kerja dan jadi suri rumah sepenuh masa membesarkan enam orang anak. Dalam membesarkan anak-anaknya dengan mengikut ajaran Islam sepatutnya, anak-anak membesar dengan sempurna.
Arwah tidak pernah sombong atau berlagak dengan status atau kemewahan perniagaan yang dimiliki oleh suaminya. Rezeki yang ada sentiasa dikongsikan bersama mereka yang memerlukan. Amalan sedekah menjadi aktiviti wajib setiap bulan, selain mengaji, menjaga solat dan belajar agama. Sayangnya, arwah dikatakan selalu dipukul dan dimaki hamun oleh suami. Ada sahaja yang tidak kena di mata Dato’. Anak-anak yang kecil ketika itu juga tidak mampu berbuat apa-apa. Kalau dilawan atau cuba mempertahankan ibu mereka, sekali naik akan dipukul oleh si bapa. Masuk hospital sudah beberapa kali, namun arwah tidak pernah membuat aduan dan sebagainya.
Arwah juga tidak pernah mengangkat suara tinggi pada suami, jauh sekali melawan cakap Dato’. Tetapi sayangnya setelah 20 tahun berkahwin, Dato’ menceraikan arwah untuk berbini muda. Alhamdulillah, arwah sangat sabar dalam menghadapi pelbagai dugaan dalam sisa hidupnya. Kesabaran itu banyak memberi ketenangan dalam menempuhi hidup membesarkan anak-anaknya dengan baik. Seperti kata anak sulungnya kepada Ustazah, “Allah lebih sayangkan mama. Mungkin Allah ingin mama berehat setelah melalui pelbagai dugaan dalam hidupnya.”
Bertuah sungguh Ustazah Hamidah kerana berpeluang menguruskan jenazah ibu mithali ini.
This website uses cookies.