Nama penerjun negara Leong Mun Yee meniti setiap bibir rakyat Malaysia kerana meraih kemenangan dalam sukan terjun yang disertainya baru-baru ini.
Susuk tubuh yang kecil dan memiliki raut wajah yang manis membuatkan peminat Sukan Sea Kuala Lumpur 2017 sentiasa memuji setiap gerak-gerinya selepas mempamerkan aksi cemerlang ketika membuat terjunan.
Lagaknya yang cukup tertib untuk menyumbangkan emas ke-12 skuad terjun negara menerusi acara 10 meter platform seirama wanita benar-benar mencipta momen terindah buat dirinya dan juga peminat sukan terjun.
Ini merupakan penampilan ke-11 Mun Yee sejak Sukan Sea 1997 apabila telah meraih 15 pingat emas sepanjang penyertaannya.
Leong Mun Yee pertama kali bertanding dalam Sukan Olimpik pada usia 15 tahun dan banyak menumpukan masanya dengan berlatih untuk menjadi yang terbaik dalam sukan yang diceburinya itu.
Bersama-sama dengan gandingan beliau, Pandelela Rinong, Leong berjaya menjadi jaguh bukan sahaja di Malaysia bahkan di seluruh dunia.
Walaupun sudah berusia 32 tahun, namun penerjun negara ini belum memikirkan untuk bersara dalam bidang yang dicintainya ini. Sebaliknya Mun Yee nekad untuk mempertahankan kejuaraan pada temasya Sukan Sea 2019 yang bakal berlangsung di Manila.
WIRAWATI
Demi menghargai pengorbanan yang telah dilakukan oleh Mun Yee, Shiseido melalui kempen Ultimune #FindYourStrength telah memilih dirinya sebagai tokoh yang boleh dicontohi.
Namanya turut terpilih dan tersenarai sebaris dengan wanita contoh negara luar seperti Koharu Sugawara, penari dan koreografer dari Jepun, atlet lompat jauh Rusia, Darya Klishina dan Esperanza Spalding penyanyi jazz Amerika oleh Shiseido.
Kempen ini adalah untuk memberi inspirasi kepada wanita lain apabila Mun Yee berkongsi tentang cabaran yang terpaksa dilaluinya dan cara untuk berhadapan dengan setiap rintangan yang datang.
Setiap wanita perlu berusaha keras dan konsisten ketika membuat apa sahaja mengikut bidang yang diceburi.
Mun Yee juga turut berkongsi pengalaman ketika beraksi di sukan Olimpik yang dianggap sasaran utama oleh setiap atlet yang bertanding dalam sukan. Walaupun tubuh kecilnya begitu kerdil apabila dibandingkan dengan atlet luar namun semangat juangnya mengatasi segala-galanya.
Perkara utama yang dipelajarinya ketika menyertai sukan Olimpik adalah cara menangani stres dengan betul. Semoga Leong Mun Yee terus sukses dan mengharungi nama negara dalam sukan ini. Hamizatul Maizan Mohamed