
Syabas dan tahniah diucapkan kepada Datuk Seri Azalina Othman Said kerana dilantik Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat yang baharu! Di sebalik ‘bahang’ pembukaan persidangan Parlimen semalam, terukir sejarah membanggakan bagi seluruh wanita Malaysia atas pelantikan tersebut yang menyaksikan beliau wanita pertama negara menyandang jawatan berkenaan. Yang pasti, portfolio Datuk Seri Azalina bukan calang-calang kerana beliau sememangnya iron lady yang menjadi sumber inspirasi ramai.
Bakal meniti usia 57 tahun pada 31 Disember ini, minat Datuk Seri Azalina terhadap dunia perundangan sangat mendalam kerana beliau memiliki latar belakang pendidikan Sarjana
Undang-Undang, London School of Economics & Political Science, UK dan Sarjana Muda Undang-Undang dari Universiti Malaya. Bersandarkan pengetahuan luas berkenaan, tidak hairanlah Datuk Seri Azalina layak memegang tugas sebagai Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat.
https://www.instagram.com/p/CCmz9DKDMUF/
Menelusuri pembabitan awal kerjaya Datuk Seri Azalina, pada tahun 1989 beliau diterima masuk ke Badan Peguam Malaysia sebelum menjadi rakan kongsi firma guaman sejak tahun 1994. Penglibatan politik beliau pula dilaporkan bermula ketika menyertai UMNO pada awal tahun 90an. Selepas 10 tahun bergelar ahli UMNO, Datuk Seri Azalina dipilih sebagai Ketua Biro Tindakan Sivil UMNO dan menerima pelantikan Ketua Puteri UMNO sehingga tahun 2004.
Dalam kesibukan menggalas tanggungjawab Ketua Puteri, beliau turut dilantik menerajui Kementerian Belia dan Sukan selama empat tahun. Atas prestasi cemerlang selaku
Menteri, Datuk Seri Azalina kemudian dipilih menjadi Menteri Pelancongan pada tahun 2008 hingga 2009.
Enam tahun berikutnya, wanita berjiwa kental ini dilantik sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri dari tahun 2015 hingga 2018. Terbaharu, beliau diberi kepercayaan melaksanakan tugas Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat sekaligus menjadi wanita pertama mempengerusikan sidang Dewan Rakyat!
Pelantikan Datuk Seri Azalina dibuat selepas YB Nga Kor Ming yang meletak jawatan Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat. Terdahulu, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yasin membawa usul supaya Ahli Parlimen Pengerang itu menggantikan kekosongan jawatan Nga Kor Ming dan ia turut disokong Ahli Parlimen Gombak, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.
Selain prestasi akademik dan kerjaya yang cemerlang, Datuk Seri Azalina juga bergiat aktif dalam bidang sukan. Sebelum menjadi peguam di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, beliau ialah pemegang tali pinggang hitam kelas kedua seni mempertahankan diri, taekwondo dan pernah mewakili negara ke kejohanan dunia! Kagum!
Ada 500 Staf & 31 Tahun Jadi Pelopor Fesyen Mewah, Kejayaan DATO’ SERI DR FARAH KHAN Cetus Inspirasi!

Bukan 10 atau 20 tahun tetapi dah lebih tiga dekad Dato’ Seri Dr Farah Khan sukses sebagai usahawan! Mengikut pengalaman dan kejayaan yang diraih, beliau sememangnya sudah layak diangkat sebagai ‘sifu’ dalam industri fesyen tanah air. Mana tidaknya, wanita cekal inilah yang menjadi pencetus pembukaan jenama fesyen mewah antarabangsa ke dalam pasaran Malaysia. Bukan calang-calang!
Kepakaran Dato’ Seri Dr Farah Khan bukan hanya mencipta busana anggun serba eksklusif bahkan beliau juga kreatif mempelbagaikan cabang bisnes di bawah syarikat miliknya, The Melium Group. The Melium Group merupakan satu entiti perniagaan yang memfokuskan kepada lanskap fesyen mewah di Malaysia. Penubuhannya diasaskan Dato’ Seri Dr Farah sejak tahun 1989 yang dengan berani membawa masuk jenama fesyen bertaraf antarabangsa ke dalam pasaran negara.
Sepanjang 31 tahun menerajui syarikat, The Melium Group sudah pun mempunyai lebih 100 jenama antarabangsa dengan kejayaan pembukaan butik fizikal antaranya Tod’s, Aigner, Emilio Pucci, MCM, Max Mara, Roger Vivier dan Hacket London.
Di samping membawa jenama-jenama mewah masuk ke pasaran negara, Dato’ Seri Dr Farah Khan turut memartabatkan identitinya sebagai pereka fesyen. Pada tahun 2007, beliau melancarkan jenama fesyen sendiri iaitu Farah Khan yang kini menyambut ulang tahun ke-13.
Tidak cukup dengan itu, Dato’ Seri Dr Farah turut meluaskan portfolio empayar perniagaannya dengan mengembangkan sayap dalam bidang makanan menerusi pembukaan kafe Dome dan restoran eksklusif, Mamasan. Mengulas pembabitan awal Presiden The Melium Group ini, Dato’ Seri Dr Farah Khan menjelaskan penglibatannya dalam industri ini banyak dipengaruhi oleh minat dan kerjaya ibu tersayang.
“Jiwa fesyen sudah sebati dalam diri sejak zaman remaja lagi dan saya mewarisi bakat tersebut daripada ibu yang pernah terlibat dalam perniagaan busana fesyen wanita suatu ketika dahulu. Sepanjang mendalami bidang ini saya dapati kerjaya fesyen telah banyak membantu kehidupan saya terutamanya dari segi mental dan fizikal. Malah melalui fesyen juga ia memberi saya kepuasan!
Apa yang boleh saya katakan ialah saya sangat gembira kerana berjaya menjadikan minat sebagai kerjaya. Bukan hanya dapat memberi sumbangan kepada industri fesyen tetapi juga merealisasikan segala manifestasi dan impian yang saya diidam-idamkan selama ini menjadi satu kenyataan. Fesyen juga memberi peluang kepada saya untuk memperkasakan kaum wanita dan generasi muda. Selain itu, ia membuka jalan untuk saya terlibat dalam kerja amal kebajikan di samping menjadi insan lebih baik dan berguna kepada masyarakat.”
31 tahun bertapak dalam industri nyata bukan satu tempoh singkat. Biarpun kredibiliti Dato’ Seri Dr Farah Khan sebagai pereka fesyen dan usahawan diperakui ramai namun beliau percaya tanpa usaha gigih para pekerja, The Melium Group tidak akan mampu bertahan seperti hari ini. Apatah lagi dengan keadaan ekonomi yang tidak menentu ekoran pandemik Covid-19.
“Covid-19 telah banyak menjejaskan kehidupan ramai orang ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan. Walaupun pada awal PKP dulu saya masih berada dalam keadaan terkejut tapi sebagai usahawan dan juga majikan, saya perlu merangka strategi dengan cepat supaya perniagaan kami kekal bertahan dan memastikan kebajikan para pekerja terjaga. Setiap hari saya bersama barisan ahli lembaga, pihak pemasaran dan kakitangan akan berbincang mencari pembaharuan serta pendekatan terbaharu supaya pelanggan mudah mendapatkan khidmat kami.
Mujur usaha memperhebat platform dalam talian dan pelancaran aplikasi The Melium Group memberi impak berkesan dalam meniti keadaan sukar ketika ini. Seiring peralihan teknologi era digital, aplikasi berkenaan sangat relevan kerana pelanggan bukan hanya dapat mengetahui perkembangan bisnes kami menerusinya malah boleh merebut pelbagai tawaran dan diskaun menarik tanpa perlu mengunjungi butik fizikal. Paling penting adalah keupayaan kami untuk kekal kreatif memenuhi kehendak dan cita rasa pelanggan,” ujar Dato’ Seri Dr Farah Khan yang mempunyai 500 kakitangan di bawah pengurusannya.
Tidak hanya memfokuskan kepada dunia fesyen mewah dan perniagaan, Dato’ Seri Farah Khan turut prihatin dengan golongan memerlukan. Buktinya, beliau dan kakitangan The Melium Group berjaya menganjurkan pelbagai program dan kempen kebajikan. Salah satunya menerusi Support The Economy yang melibatkan para usahawan, pemain industri, selebriti dan peminat fesyen antaranya Cef Datuk Redzuawan Ismail atau lebih dikenali Cef Wan, Kavita Sidhu dan suami, Magie Abang Saufi serta sosialit Ezurin Khyra dalam usaha menyokong ekonomi negara.
“Rentetan wabak Covid-19 semua komuniti tidak kira dalam industri fesyen, seni, perusahaan restoran mahupun pelancongan perlu saling berganding bahu untuk merancakkan semula ekonomi. Support The Economy ini ialah inisiatif The Melium Group sebagai satu medium penyatuan dalam menyokong golongan usahawan, bisnes tempatan, industri seni dan sektor pelancongan untuk kembali pulih,” jelas usahawan ini yang turut tidak ketinggalan menyantuni dan memberi sumbangan berupa makanan kepada insan kurang bernasib baik seperti Orang Kurang Upaya dan ibu tunggal yang amat terkesan akibat pandemik Covid-19.
Tatkala ditanya bagaimana dia mampu kekal memberi suntikan inspirasi kepada wanita lain, dengan penuh merendah diri Dato’ Seri Dr Farah Khan berkata ia bukanlah satu perkara mudah memandangkan dirinya juga insan biasa yang turut mengalami pasang surut kehidupan. “Kunci utama ialah kekal positif dan terus maju ke hadapan kerana minda kitalah yang membawa hala tuju seterusnya. Sentiasa ingatkan diri sendiri untuk terus pandang ke matlamat hidup hari ini dan esok. Walau ada yang menjadikan saya sebagai sumber inspirasi tetapi sebenarnya saya turut terinspirasi dengan realiti kehidupan masyarakat.
Saya juga cukup bertuah kerana dikurniakan ramai sahabat dari pelbagai lapisan masyarakat. Mereka inilah yang menggalakkan saya untuk menjadi insan lebih baik setiap hari. Selain mahu berjaya dalam perniagaan, saya juga mahu menjadi individu yang boleh berbakti kepada keluarga, rakan-rakan, pekerja dan orang ramai kerana tujuan utama kita hidup di muka bumi ini juga adalah untuk saling membantu di antara satu sama lain,” akhirinya.
Inspirasi! Mualaf Korea Belajar Tarannum Dengan Johan Qariah, FARHATUL FAIRUZAH

Tumpang gembira dengan kejayaan Johan Qariah Majlis Tilawah dan Menghafaz Al-Quran Peringkat Antarabangsa, Nor Farhatul Fairuzah Panut baru-baru ini. Selepas bergelar usahawan muslimah dan menerbitkan single dakwah tahun lepas… tahun ini Farha kembali menyemarakkan semangat cintakan Al-Quran. Sampaikan mualaf yang juga personaliti Youtube terkenal negara itu, Daud Kim pun teruja hendak belajar tarannum dengan gadis kebanggaan Malaysia ini. Kagum!
Ketika menghubungi Farha, gadis berusia 20 tahun ini memberitahu dia dan ibunya berangkat ke Korea Selatan minggu lalu dan berada di sana selama enam hari bagi menjayakan sebuah travel log. Berkongsi momen menarik dengan masyarakat di laman media sosial, Farha turut tidak melepaskan peluang mengenali budaya Korea selain mengenakan persalinan tradisional. Dengan raut wajah Farha, ramai mengatakan gadis ini tidak ubah seperti wanita di sana.
Berkesempatan bertemu dengan Daud Kim, ada cerita menarik yang ingin dikongsikan anak kelahiran Selangor ini kepada pembaca Nona. “Bagi saya, dia seorang yang memiliki
peribadi yang sangat bagus. Ketekunan dia mempelajari Islam sangat menyentuh hati. Sepanjang pertemuan bahkan dalam kereta sekalipun dia rajin hafal surah Al-Fatihah. Katanya, dia nak tarik lebih ramai orang untuk minat Islam.”
Menerusi perkongsian di Instagram, Farha ada memuat naik video dia dan Daud Kim bertarannum surah Al-Asr. Ujar Farha lagi, selain surah tersebut ada beberapa lagi surah pendek yang dipelajari mualaf Korea berkenaan.
Ditanya perancangan Farha selepas berjaya berkongsi ilmu tarannum dengan personaliti Youtube Korea, anak perempuan Allahyarham Haji Panut dan Hajah Jaliah Haji Simin ini sudah pun merencana hala tujunya tahun ini. “Rancangan untuk tahun 2020 ini saya nak mendalami ilmu Quran dan berjumpa lebih ramai ulama. Selain mahu berkunjung ke beberapa negara lagi dengan harapan semoga lebih ramai lagi meminati Quran dan mengajak golongan anak-anak muda supaya bangkit demi Islam.”
View this post on InstagramA post shared by Farhatul Fairuzah (@farhatulfairuzah) on
Lebih sembilan bulan menyandang gelaran Johan Qariah termuda dalam sejarah MTHQA, Farha terus melangkah setapak ke hadapan dengan menceburi bidang perniagaan muslimah. Hujung Julai tahun lalu, anak bongsu daripada lima beradik ini telah melancarkan koleksi hijab miliknya di bawah label Farha Looks. Selaku pengasas, dia bertanggungjawab memastikan produk keluarannya berkualiti dan paling utama ialah menepati syariah.
Bangga dengan pencapaian Farha. Muda-muda lagi sudah ada wawasan dan menambah ‘bekalan’ dunia serta akhirat. Dengar khabar, tudung bawal shawl Farha Looks dah banyak
yang sold out! Di samping mengajak para muslimah menutup aurat dan berjinak-jinak dalam dunia keusahawanan, Farha turut mengambil pendekatan berdakwah melalui muzik.
Ogos tahun lalu juga, single dakwah pertama Farha bertajuk ‘Bukti’ diperdengarkan kepada umum. Sudahlah pandai mengaji, punya ilmu agama, berpekerti baik, dan sekarang… bijak berniaga pula.
Masih segar lagi kenangan bertemu Farha ketika sesi fotografi bersama Nona, Mac tahun lalu. Ditemani ibu tersayang, Hajah Jaliah Haji Simin, Farha mengakui dirinya cukup dekat dengan Al-Quran dan gemar bertarannum. Ada saja masa terluang dia pasti akan mengalunkan bacaan ayat-ayat suci sepuas-puasnya.

“Kalau saya rasa bosan, perkara pertama yang saya buat ialah bertarannum. Tarannum ni dah jadi minat saya sejak dulu. Kiranya macam menyanyilah… cuma saya ‘nyanyi’ dengan cara saya sendiri iaitu dengan bertarannum,” ujarnya sambil tersenyum.
Mengimbas semula detik kemenangan Farhatul yang telah berjaya mengharumkan nama negara dalam bidang hafaz Al-Quran, pelajar Sekolah Menengah Agama Persekutuan Labu ini menewaskan peserta dari Indonesia dan Thailand dengan catatan markah tertinggi iaitu 86.67 peratus. Hasil kemenangan itu, Farhatul membawa pulang hadiah kepingan emas bernilai RM70,000, piala iringan dan wang tunai RM40,000.
Kongsi Farha, “Sejak umur lima tahun lagi saya dah mula belajar tarannum. Bila masuk darjah satu pula, saya dah didedahkan menyertai pertandingan tilawah. Mak dan ayah
yang banyak mendidik saya sejak kecil lagi sebab mereka berdua bekas Qari dan Qariah. Ayah jadi Qari sekitar tahun 1990an dan kali terakhir mak bergelar Qariah pula
pada tahun 2004 di Perlis dan dapat tempat ketiga peringkat kebangsaan.
Kalau diikutkan, selain suka dengar lagu-lagu Arab, tilawah juga salah satu hobi saya. Tapi buat masa ini, tujuan saya masuk tilawah adalah untuk menilai sejauh mana kualiti bacaan. Belum terfikir lagi untuk jadikannya sebagai kerjaya. Semua adik-beradik saya pernah wakil negeri dan ke peringkat kebangsaan dalam pelbagai anjuran. Memang ini adalah impian arwah ayah dan mak. Lagipun, mak adalah guru mengajar Al-Quran.”
YAYASAN RI, DATO’ RIZALMAN Sebarkan JARIAH Hasil Jualan Untuk Rebut Pahala Akhirat

Busines semakin menjadi-jadi. Tidak cukup dengan itu, Dato’ Rizalman Ibrahim meluaskan lagi rezeki yang Allah beri dengan melancarkan sebuah pusat pengajian Al-Quran pertama dengan tajaan daripada Yayasan Rizalman Ibrahim. Hasil jualan produk Dato’ Rizalman, ada bahagiannya disalurkan ke pusat pengajian ini. MasyaAllah!
Dan, pada hari ini pusat pengajian al-Quran cawangan Johor telah dinaikkan papan tandanya. Banyak sungguh cabang rancangan Dato’ Rizalman dan setiap satunya mempunyai agenda tersendiri bagi membantu orang lain menjana pendapatan mahupun menerima ilmu agama Islam.
https://www.instagram.com/p/CGq8e_fJ38o/
https://www.instagram.com/p/CEEhghRpmDK/?utm_source=ig_web_copy_link
Mengambil keberkatan awal Muharram, usaha murni Dato’ Rizalman Ibrahim ini membuatkan ramai meremang bulu roma. Sesiapa yang sering mengikuti akaun Instagramnya pasti tahu bagaimana pembeli berebut-rebut mendapatkan apa sahaja produk jualan beliau.
https://www.instagram.com/p/CEExRDhpGcl/?utm_source=ig_web_copy_link
https://www.instagram.com/p/CEEyiseJfLt/?utm_source=ig_web_copy_link
Tetapi dalam perebutan tersebut mereka juga sebenarnya berlumba-lumba untuk mendapat saham akhirat. Selain wang ringgit, ada yang berjariah dalam bentuk wakaf Al-Quran, tentunya mushaf rekaan Dato’ Rizalman sendiri.
Terbaharu, mushaf keduanya yang dihasilkan dengan ‘penampilan’ lebih eksklusif sudah habis terjual. Menindakkan gelaran Raja Midas yang kami berikan, Dato’ Rizalman merasakan inilah laluan yang Allah berikan kepadanya, membantu umat Islam untuk lebih maju dan dapat meluaskan rezeki.
Hampir lima bulan meninggalkan dunia fesyen, kehidupan Dato Rizalman kini terisi dengan penjualan supplemen T’Neeq yang begitu mendapat tempat di hati peminat. Ramai yang memberikan maklum balas positif mengenai kebaikan T’Neeq.
“Sudah lama saya pendamkan niat mengundur diri tetapi saya takut. Setiap kali membuat pertunjukan fesyen, saya sering terfikir kalaulah aku mati saat ini, apa yang aku akan jawab pada Allah nanti. Doa saya terjawab apabila Allah perkenalkan saya dengan orang yang betul dalam penghasilan supplemen T’Neeq.
T’Neeq lahir untuk membantu orang ramai di luar sana yang hidup dalam kesusahan. Saya hidupkan konsep ejen supaya lebih ramai usahawan dapat dilahirkan. Bayangkan, saya pernah menerima banyak DM dari Instagram luahan perasaan dan kedaifan hidup mereka. Orang-orang media yang diberhentikan kerja ramai yang mengharapkan bantuan saya. Dah macam Menteri Kebajikan pula!
Saya murung membaca kisah-kisah mereka. Saya tidak senang duduk bila mereka mula meletakkan harapan pada saya. Bayangkan, kita duduk rumah dengan selesa, makan minum lebih dari cukup tiba-tiba kita tahu, ada orang yang terpaksa ikat perut untuk makan, meminjam duit untuk membeli susu malah hidup dalam rumah yang gelap dek kerana bil elektrik yang tak mampu dibayar. Inilah semangat saya untuk membantu lebih ramai orang, bercuti dari memikirkan tentang dunia fesyen!”tegas Dato Rizalman.
Dari T’Neeq, skop perniagaan Dato Rizalman semakin melebar. RILOYANG, RIBAG, RIFANNY dan banyak lagi jenama RI yang diketengahkan. Seperti direncanakan dalam perjalanan hidup Dato Rizalman, Allah mengurniakannya ilmu agar dapat digunakan dan dikongsi bersama masyarakat.
“Hidup saya diatur dengan strategi dan formula. Asalnya saya tak pandai menggunakan media sosial lebih-lebih lagi Instagram. Lepas ‘terbongkar’ fungsi ‘kapal terbang’ di Instagram, baru saya tahu ramai rupanya yang berkomunikasi dengan saya secara private. Di post biasa, saya akan baca setiap komen, dan berusaha juga membalasnya.
Saya sentiasa percaya pada rezeki Allah. Saya bukan Raja Midas, yang mengubah setiap benda menjadi emas. Saya hanyalah hamba yang cuba memperbaiki diri dari hari ke hari dan mensyukuri setiap nikmat yang Allah beri. Jangan bongkak dan percaya ia adalah Kun Faya Kun dari Allah,”katanya.
Kenapa agaknya rezeki Dato semakin menjadi-jadi? “Semua atas kehendakNya. Saya lalui hidup ini dengan percaturan yang telah ditulis secantik-cantiknya. Orang kata, nak murah rezeki kena banyak amalan. Tetapi untuk saya, memang abnyak doa yang diamalkan. Tak tahu yang mana satu berkesan. Tetapi saya sentiasa displinkan diri untuk menunaikan solat sunat Subuh setiap hari dan jadikan solat sunat Dhuha sebagai amalan wajib.
Selalulah bersedekah dan membayar zakat. Kedua-dua ini memberi kesan yang sangat hebat. Pastikan sedekah itu konsisten, kalau tidak rezeki pun tak datang dengan konsisten. Mungkin saya tidak mampu bersedekah kudrat tetapi saya gunakan kelebihan yang saya ada untuk mencari idea-idea dan peluang rezeki yang lumayan. Bila ada duit, lebih mudah untuk kita bersedekah. Itu pemikiran saya.
Cuma, apa yang boleh saya kongsikan adalah sedekah yang orang tidak tahu. Rezeki Allah beri ini saya gunakan untuk membawa orang yang susah mengerjakan umrah. Pada saya, untuk apa kita sibuk menjejak kaki ke Mekah untuk mengerjakan umrah berkali-kali sedangkan ramai lagi umat Islam yang teringin untuk melihat Kaabah di hadapan mata. Teringin bersujud di Masjidil Haram dan Masjid Nabawi namun tidak mampu.
Satu kebahagiaan untuk saya apabila saya diberi rezeki untuk membayar pakej umrah buat seorang tukang sapu yang begitu pandai mengaji Al-Quran. Bayangkan bagaimana dia berdoa unutk kita dihadapan Kaabah dan itulah doa yang paling mulia sekali. Istiqamahlah saat bersedekah,”pesan Dato Rizalman.
Kredit foto dan video: Instagram Dato Rizalman Ibrahim