Syabas dan tahniah diucapkan kepada Datuk Seri Azalina Othman Said kerana dilantik Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat yang baharu! Di sebalik ‘bahang’ pembukaan persidangan Parlimen semalam, terukir sejarah membanggakan bagi seluruh wanita Malaysia atas pelantikan tersebut yang menyaksikan beliau wanita pertama negara menyandang jawatan berkenaan. Yang pasti, portfolio Datuk Seri Azalina bukan calang-calang kerana beliau sememangnya iron lady yang menjadi sumber inspirasi ramai.
Bakal meniti usia 57 tahun pada 31 Disember ini, minat Datuk Seri Azalina terhadap dunia perundangan sangat mendalam kerana beliau memiliki latar belakang pendidikan Sarjana
Undang-Undang, London School of Economics & Political Science, UK dan Sarjana Muda Undang-Undang dari Universiti Malaya. Bersandarkan pengetahuan luas berkenaan, tidak hairanlah Datuk Seri Azalina layak memegang tugas sebagai Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat.
Menelusuri pembabitan awal kerjaya Datuk Seri Azalina, pada tahun 1989 beliau diterima masuk ke Badan Peguam Malaysia sebelum menjadi rakan kongsi firma guaman sejak tahun 1994. Penglibatan politik beliau pula dilaporkan bermula ketika menyertai UMNO pada awal tahun 90an. Selepas 10 tahun bergelar ahli UMNO, Datuk Seri Azalina dipilih sebagai Ketua Biro Tindakan Sivil UMNO dan menerima pelantikan Ketua Puteri UMNO sehingga tahun 2004.
Dalam kesibukan menggalas tanggungjawab Ketua Puteri, beliau turut dilantik menerajui Kementerian Belia dan Sukan selama empat tahun. Atas prestasi cemerlang selaku
Menteri, Datuk Seri Azalina kemudian dipilih menjadi Menteri Pelancongan pada tahun 2008 hingga 2009.
Enam tahun berikutnya, wanita berjiwa kental ini dilantik sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri dari tahun 2015 hingga 2018. Terbaharu, beliau diberi kepercayaan melaksanakan tugas Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat sekaligus menjadi wanita pertama mempengerusikan sidang Dewan Rakyat!
Pelantikan Datuk Seri Azalina dibuat selepas YB Nga Kor Ming yang meletak jawatan Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat. Terdahulu, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yasin membawa usul supaya Ahli Parlimen Pengerang itu menggantikan kekosongan jawatan Nga Kor Ming dan ia turut disokong Ahli Parlimen Gombak, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.
Selain prestasi akademik dan kerjaya yang cemerlang, Datuk Seri Azalina juga bergiat aktif dalam bidang sukan. Sebelum menjadi peguam di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, beliau ialah pemegang tali pinggang hitam kelas kedua seni mempertahankan diri, taekwondo dan pernah mewakili negara ke kejohanan dunia! Kagum!
This website uses cookies.