JAMBANGAN WANG Hadiah Harijadi, MUABELLAZ HARGAI Kesusahan SUAMI

Bertuahnya suami Muabellaz. Kejutan di hari jadi membuatkan ramai yang kecur liur. Masakan tidak, jambangan wang menjadi hadiah sempena hari lahirnya. Menurut Bellaz, rezeki yang ada hari ini adalah hasil kesusahan suami yang bersama-samanya sejak awal dahulu.

 

“Saya belajar makeup hanya dari Youtube dan Instagram. Masa mula-mula dulu memang saya tak mampu untuk menghadiri kelas solekan kerana yurannya terlalu mahal. Saya bukan dari keluarga yang kaya jadi duit yang ada digunakan untuk perbelanjaan keluarga dan untuk up-grade barang solekan.

Solekan ini umpama satu kelebihan dalam skil. Untuk jadi pandai, kita perlu selalu praktikkan solekan dan itulah yang saya lakukan. Setiap kali saya terima bayaran dari klien, saya gunakan untuk beli barang-barang yang lebih baik. Sampai di rumah, saya akan berulang kali solek diri sendiri supaya skil itu semakin baik.

Saya memang minat sangat makeup. Mungkin itulah kelebihan yang Allah berikan. Selepas itu saya mula buat video live di Facebook dan tutorial makeup dan dari situ orang mula mengenali saya. Lama-kelamaan, saya mengambil cabaran membuka kelas solekan agar lebih ramai lagi yang boleh belajar ilmu solekan dan pada masa sama, saya sendiri boleh belajar dari mereka dan mengasah skil sendiri,” ujarnya.

Mengimbau kembali setiap kesukaran hidup yang pernah dilalui, Bellaz hampir mengaku kalah dengan airmata. Hidupnya sukar dan tidak pernah langsung dia terfikir dapat keluar dari kemiskinan. Jiwa yang kental dan tanggungjawab yang dipikul membuatkan Bellaz sentiasa mencari ruang untuk cuba memperbaiki nasib keluarga.

“Ayah saya seorang nelayan, manakala ibu pula hanya seorang surirumah. Apabila ayah ‘masuk pulau’, hampir dua hingga tiga minggu juga kami ditinggalkan. Sebagai anak ketiga, saya rasa sudah menjadi tanggungjawab saya untuk mencari rezeki untuk kami anak-beranak makan, biarpun hanya kais pagi makan pagi.

Kesenangan yang dikecapi Bellaz kini bukanlah hasil sebulan dua. Dia bekerja keras demi kelangsungan hidup dan untuk terus kekal relevan dalam industri demi untuk memberi kesenangan kepada keluarga. Macam tidak percaya apabila Bellaz akui adik-adiknya tidak tahu membuka pintu kereta kerana tak pernah naik kereta seumur hidup mereka.

“Sewaktu saya dan suami belum berkahwin, suami bercadang membawa saya dan adik-adik makan dengan menaiki kereta. Adik-adik saya tak tahu macam mana nak buka pintu kereta kerana kami tak pernah naik kereta! Bagi saya, makan sayur kailan dan minum Milo ais pun sudah cukup mewah.

Kalau tak cukup duit untuk makan, memang saya sendiri akan ke rumah jiran untuk pinjam duit. Kadang-kadang duit upah dari kelas ikan saya berikan kepada ibu kerana ibu dan adik-adik tak makan. Saya berlapar kerana kasihankan mereka. Saya sedar ramai lagi orang yang lebih susah dari saya tapi ini kisah hidup saya yang ingin kongsikan kepada semua,” cerita Bellaz.

“Saya tak pernah terfikir untuk mendapat rezeki besar macam ni dari Allah. Saya fikir, cukuplah kalau ada duit untuk makan, tak perlu kaya-raya. Tetapi ini pemberian Allah, jadi saya perlu buat sesuatu agar ia boleh dikongsi bersama orang lain.

Di kampung, memang ramai sangat orang yang susah, malah lebih susah dari saya dulu. Kalau saya dengar ada yang perlukan bantuan, saya akan ke rumah mereka dan lihat apa yang boleh dibantu. Begitu juga sekiranya mereka perlukan bantuan dari segi kemudahan infrastruktur.

Ada dua perkara yang saya pegang dalam diri iaitu sejahat mana sekalipun kita, jaga hubungan kita dengan Allah kerana Allah akan sentiasa bersama kita. Jangan pernah putus doa dan niat perlu betul. Dan bersedekah dengan ikhlas tanpa mengharapkan balasan. Dengan rezeki yang Allah beri, kita cuba bantu adik-beradik kita dan tolong orang yang memerlukan.” Katanya mengakhiri perbualan.

 

Kredit foto dan video: Instagram Muabellaz

Share
Published by
Anis Nor Tajul Arus