Jana Pendapatan RM400,000 Setahun, Patutlah Noraidah Baharuddin Diiktiraf TOP 30 Stokis Naelofar Hijab!

Kerja keras dan kesungguhan sepanjang menakhoda perniagaan stokis Naelofar Hijab (NH) selama ini nyata berbaloi buat Noraidah Baharuddin apabila namanya tersenarai sebagai TOP 30 daripada 700 stokis berdaftar di seluruh negara awal tahun ini.

Meskipun berdepan kekangan masa, tapi Pengurus Akaun & Pentadbiran di sebuah syarikat swasta di Kuala Lumpur serta ibu kepada dua orang cahaya mata ini enggan mengalah. Dia ingin terus berada di landasan perniagaan NH demi menggapai gelaran usahawan berjaya suatu hari nanti.

“Penglibatan saya dalam bisnes ini boleh dikatakan secara kebetulan. Saya mula menjadi pelanggan NH pada bulan Disember 2014 dan hanya membeli tudung ini daripada stokis sahaja. Sebab NH senang dan selesa dipakai, mampu milik dan kian digemari, saya dan seorang rakan baik tekad memohon menjadi stokis pada awal tahun 2015.

Hampir dua bulan menunggu keputusan pihak NH dengan sabar, kami akhirnya diterima sebagai pengedar rasmi. Biar pun belum dapat permit untuk jadi stokis, saya sudah mula mengambil tempahan dan menjual tudung Naelofar kepada kenalan terdekat tanpa sebarang untung kerana suka berniaga.

Sampaikan saya sanggup mencari 20 helai tudung hot seller daripada stokis-stokis yang ada semata-mata ingin memenuhi permintaan rakan,” terang pemegang Ijazah Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan, Universiti Malaya ini tatkala ditanya tentang pembabitan awalnya bersama Naelofar Hijab.

Memiliki dua pekerjaan berbeza di samping perlu menguruskan keluarga bukan tugas mudah melainkan individu berkenaan bijak membahagikan masa. Menjadikan suami tercinta, Mohamad Azizi Illias sebagai sumber inspirasi, Raidah bersyukur kerana dikurniakan suami yang memahami pekerjaan dan minatnya.

Ujarnya lagi, “Untuk berjaya kita harus kuat. Saya sendiri pernah mengalami kejatuhan dan ditipu tapi semua itu adalah asam garam dalam perniagaan. Buat masa sekarang, saya lebih banyak berniaga menerusi offline. Sebelum ini saya telah membuka tiga kiosk di Aeon Big Wangsa Maju, AU2 Setiawangsa dan Aeon Bukit Raja Klang.

Jumlah ketiga-tiga kiosk ini menelan belanja RM25,000 sebulan. Hampir setahun beroperasi, akhirnya saya terpaksa tutup kiosk tersebut kerana merasakan jualan online lebih menguntungkan tanpa perlu mengeluarkan belanja sewa. Strategi pemasaran saya masa ini ialah menyertai mana-mana aktiviti jualan di dalam atau luar KL.”

Tanpa membuat pinjaman bank sewaktu mula mengusahakan perniagaan, Raidah kini mampu menjana pendapatan tahunan mencecah hampir RM400,000. “Apabila sudah menjejakkan kaki dalam bisnes paling utama adalah sabar. Alam perniagaan banyak mengajar saya tentang kawalan emosi dan tidak mudah melatah terutamanya apabila berhadapan dengan pelbagai ragam pelanggan.

Persiapkan diri anda dengan sikap berani mencuba dan melangkah ke depan, bersaing secara sihat dan kreatif merancang strategi jualan. Saya bukanlah usahawan yang berjaya. Terlalu jauh dan masih banyak lagi yang harus dipelajari.

Bagi wanita yang ingin memulakan perniagaan, mulakan dengan menjual barangan yang ada jenama seperti Naelofar Hijab. Kerana situasi perniagaan masa kini perlu ada pengenalan dan semangat untuk menjual. Dengan produk yang kukuh seperti NH atau seumpamanya, anda berpeluang menimba pengetahuan perniagaan dan pengalaman.” Suziana Abu Daud

Share
Published by
Norzalina