Memilih jurusolek untuk merias wajah pada hari perkahwinan umpama love at first sight. Sentuhan mereka pada wajah buat kali pertama membuka pelbagai reaksi; baik yang positif atau negatif. Bagi jurusolek professional Kamaruddin On atau lebih dikenali dengan nama Emma Mustafa, 49, bakal pengantin perlu tahu siapa dan jenis solekan yang akan menambahkan ‘wow factor’ pada wajahnya.
Begitu lama memahat nama sebagai jurusolek professional, nama Emma Mustafa sering meniti di bibir barisan selebriti dan menjadi pilihan bakal raja sehari untuk diberi kepercayaan menyolek wajah mereka. Keperibadian yang mudah didekati dan kreativiti yang menjadi taruhan anak jati Teluk Intan, Perak ini cukup disenangi.
Permulaan kerjaya anda dan berapa tahun berada dalam dunia solekan?
Di awal dunia pekerjaan, saya mula bekerja di butik milik pereka fesyen terkenal, The House of Bill Keith sebagai pembantu jurujual dan kemuadian sebagai tukang jahit. Tidak lama selepas itu, saya diberikan kepercayaan untuk berada bahagian pengeluaran dan mengendalikan pertunjukkan fesyen dan sesi fotografi.
Pada masa sama, saya mengambil kursus solekan dan penggayaan rambut jangka pendek di SML College yang terletak di Low Yat. Selepas waktu kerja, saya terus ke kolej dan sebaik berhenti kerja di The House of Bill Keith, saya terus buat freelance untuk makeup.
Bagaimana minat bermula sebagai jurusolek?
Saya mula berminat bidang solekan sejak kali pertama ikut kakak angkat mengandam pengantin. Melihat cara-cara solekan, bagaimana seseorang itu kelihatan berbeza selepas dirias membuatkan saya rasa teruja untuk belajar solekan dengan lebih serius lagi. Dan orang yang dirias pula tersenyum bahagia melihat diri yang sudah cantik.
Ads
Bagaimana penerimaan keluarga apabila anda memilih untuk menjadi jurusolek?
Mereka sangat menyokong apa yang saya lakukan. Mungkin melihat kepada kesungguhan saya menceburi dalam bidang ini, jadi mereka menunjukkan sokongan positif kepada saya. Bagi saya, dorongan dan restu keluarga yang membawa saya sehingga ke hari ini.
Pengalaman pertama menyolek bakal pengantin?
Yang pertama selalunya yang paling terpahat dalam memori. Apabila bercerita pengalaman pertama, tentulah saya gugup tetapi saya perlu tunjukkan keyakinan agar bakal pengantin tidak boleh ‘hidu’ kegugupan itu dan mereka akan selesa dengan kita. Keyakinan dan kemahiran yang ada digabungkan untuk memastikan solekan pada wajah mereka tampak berseri dan cantik.
Apakah cabaran pernah anda hadapi ketika menyolek bakal pengantin?
Persediaan rapi bukan sahaja kepada jurusolek pengantin tetapi bakal pengantin itu sendiri perlu bersedia dari segi mental dan fizikal. Saya pernah menyolek pengantin yang lambat bersiap. Ketika tiba di rumahnya, dia masih belum bersedia. Bukan itu sahaja, saya juga pernah berhadapan dengan pengantin yang tidak duduk diam. Sukar untuk menyerlahkan kreativiti jika mereka asyik ke sana ke mari dan sibuk untuk melihat wajah yang belum sempurna dirias.
Dan cabaran paling besar adalah apabila ada campur tangan dari saudara-mara. Bukan menolak pandangan mereka tetapi tidak adil sekiranya solekan kami di nilai pada pertengahan jalan. Belum apa-apa sudah mula mengomel sedangkan pengantin selesa dengan apa yangkita lakukan.
Ads
Nama anda begitu dikenali dan sering menjadi pilihan bakal pengantin. Bagaimana anda mampu terus kekal menjadi jurusolek pilihan bakal pengantin?
Kita perlu sentiasa positif dan percaya pada rezeki yang Allah berikan. Jangan mudah mengalah dan menanam sifat dengki dalam diri. Paling penting, lihat diri sendiri. Kita perlu kekalkan hasil kerja kita dengan baik. Terlalu banyak perubahan solekan dari semasa ke semasa dan sebagai jurusolek yang baik, ikut arus perubahan itu dan jangan ketinggalan zaman.
Siapakah idola anda dalam kehidupan?
Tentulah ibu saya. Sebagai seorang wanita, kekuatan ibu luar biasa. Saya melihat ibu dari pelbagai sudut dan ambil setiap satu sebagai kekuatan saya juga. Malah, ibu saya juga pandai menjaga kesihatan dan sudah tentu cara pemakananya menjadi pilihan saya. Di samping itu, sifat-sifat ibu yang tegas saya gunakan untuk kehidupan saya seharian. Ini mungkin antara sebab mengapa kerjaya saya bertahan sehingga kini.
Ads
Bagaimana anda mengekalkan kedudukan anda sebagai jurusolek kini?
Jangan biarkan diri kita terkebelakang. Belajar dan ambil tahu perkembangan dunia solekan ini kerana terlalu banyak teknik-teknik solekan yang digunakan jurusolek di dalam dan di luar negara. Jangan malu bertanya biarpun daripada jurusolek muda kerana setiap individu mempunyai kelebihan masing-masing.
Pada pendapat anda, apakah kelebihan anda dalam solekan?
Mungkin saya suka mencuba sesuatu yang baru dan melalui pengalaman dalam bidang ini, saya tahu bagaimana untuk ‘tackle’ pelanggan dan memilih solekan yang bersesuaian dengan personaliti mereka. Saya juga melihat kelebihan saya membuat rambut dapat digunakan sekaligus untuk pelanggan yang disolek. Pada pendapat saya, setiap jurusolek perlu tahu penggayaan rambut kerana memudahkan kerja sendiri dan pelanggan.
Bagaimana anda melihat kemunculan jurusolek ‘instant’ kini dan adakah anda melihat itu sebagai satu cabaran atau persaingan?
Saya sentiasa terbuka menerima kehadiran jurusolek baru dalam dunia solekan. Banyak yang boleh kita pelajari dari mereka dan begitu juga sebaliknya. Percayalah pada rezeki kerana setiap individu itu mempunyai kelebihan tersendiri.
Nasihat anda kepada bakal jurusolek yang ingin menceburi bidang ini?
Pastikan ilmu cukup di dada. Jangan hanya sekadar solek untuk suka-suka. Belajar dahulu teknik-teknik solekan dan carilah guru yang terbaik untuk anda.
Nasihat kepada bakal pengantin bagaimana ingin memilih jurusolek untuk hari perkahwinan.
Pilih jurusolek yang betul. Pastikan mereka boleh menyiapkan anda dari A hingga Z kerana penampilan anda perlu sentiasa on-point. Mereka juga perlu tahu bagaimana untuk mempersiapkan bakal pengantin lelaki.
Saya lebih suka jika bakal raja sehari mempunyai reference sendiri kerana ia memberi idea kepada jurusolek yang bakal menyolek anda. Tetapi jangan pula pilih reference yang jauh dari keperibadian anda. Kenali personaliti diri dan dari situ barulah anda tahu apa yang terbaik untuk anda.
Kredit foto: Instagram Emma Mustafa
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Nama Rina Nose, tersenarai di antara barisan artis komedi dan penghibur serba boleh di Indonesia. Berusia 39 tahun, wanita asal Bandung ini rupa-rupanya cukup disegani kerana bakat meniru gaya artis lain sekaligus menghiburkan peminatnya yang meniti jutaan orang!
Melangkaui batasan bahasa Malaysia-Indonesia, penyampaian Rina Nose sebagai pengacara program realiti Big Stage musim kelima bersama Elly Mazlein selayaknya dipuji.
Gandingan dua selebriti senior yang sama-sama hebat menyanyi dan berjenaka itu menggamatkan suasana, sekaligus ‘memancing’ tumpuan penonton dari awal hingga ke akhir konsert.
Terkejut mekap artis, Rina Nose punyalah humble dan pandai mekap sendiri, tak sangka senang sangat bekerja sama-sama macam ni…
Selain aktif berlakon filem, Rina juga pernah merakamkan beberapa lagu popular antaranya Maju Mundur Cantik, Ayank Mbeb, Cinta Kita, I Swear I Love You dan Move On.
Mula menceburi bidang seni hiburan sejak tahun 2005, wanita berketinggian 1.65m itu rupanya pernah meraih trofi kategori Komedian Wanita Terpilih di Anugerah Komedi Indonesia dan Komedian Wanita Terfavorit di anugerah sama.
Kini Rina membina rumah tangga kali kedua dengan jejaka pilihan hatinya, Josscy Aartsen dari Belanda.
Pertemuan memberikan manusia dua hal… Pelajaran hidup atau teman hidup.
Allah mempertemukan manusia untuk satu alasan. Entah untuk belajar atau mengajarkan. Entah hanya untuk sesaat atau selamanya. Tapi tidak pernah ada yang sia-sia.
Garis kehidupan dua bintang filem era 80-an dan 90-an ini, kembali merebut perhatian generasi 2017. Dato’ Ziela Jalil dengan kisah kejayaan anak perempuannya, Dr. Puteri Julia Nabilah serta Edika Yusof, tentang pengorbanannya sebagai seorang suami yang menjaga isteri lumpuh.
Satu perkara yang mirip tentang mereka, kedua-duanya disanjung kerana nilai kasih sayang dan setia yang TERTINGGI. Bernafas pada zaman dimana sifat kasih sayang memudar dan manusia semakin selfish, Dato’ Ziela Jalil dan Edika Yusof melangkau ekspektasi itu biarpun dalam serba kekurangan.
Dato’ Ziela Jalil
Isteri kepada Allahyarham Tan Sri Megat Junid Megat Ayob ini sendirian membesarkan tiga orang cahaya mata (seorang anak angkat) selepas suami tercinta pulang ke rahmatullah pada tahun 2008.
Namun kudrat ibu tunggal jangan diperkecilkan. Berkat kesabaran dan rasa cintanya yang agung, Dato’ Ziela buktikan dia mampu memberikan pendidikan terbaik kepada mereka hingga menjadi insan yang berguna.
Puteri sulungnya, Puteri Julia Nabilah, 24, baru sahaja tamat pengajian dari Royal College of Surgeons (RCSI) di Ireland. Bukan saja bijak intelektual, malah Nona bangga melihat hasil didikan Dato’ Ziela terhadap puterinya itu… cantik berhijab dan berbudi bahasa orangnya.
Edika Yusof
Kini tampil dengan identiti botak, aktor dan model terkenal era 90-an ini kelihatan masih segak dan mempunyai aura bintang yang cukup kuat, meskipun setelah 20 tahun menyepikan diri.
Biarpun pernah terpalit pelbagai kisah negatif, kaki disko… playboy… dan paling mengerikan, pernah dipukul sekumpulan gengster di Bukit Bintang, Edika bangkit membuktikan harga dirinya tidak semurah itu.
Paling menguji, tentu sekali ketika isterinya yang tiba-tiba diserang demam selepas kelahiran anak kedua mereka dan seterusnya mengakibatkan dia lumpuh dari paras dada ke bawah.
Sejak itu Edika tekad mengabadikan dirinya, untuk isterinya. Tiada wanita kedua, kerana isteri tercinta sudah cukup sempurna di mata.
Semua ini, dan banyak lagi kupasan kisah terkini Dato’ Ziela Jalil dan Edika Yusof dalam satu naskhah, Nona September 2017. Bakal berada di pasaran berhampiran anda. Norzalina Mohd Alias
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Berstatus ibu tunggal tak bermakna kehidupan seorang wanita itu akan gagal selamanya. Sesungguhnya Allah SWT Maha Mengetahui kerana setiap ujian yang diturunkan sebagai tanda sayang terhadap hamba-hamba Nya. Pasti ada hikmah yang tersirat. Menyedari hakikat itulah menjadikan siapa Tengku Khairul Adena Tengku Abdullah sekarang. Biarpun statusnya kini berubah namun wanita berusia 47 tahun ini yang mesra dengan panggilan Tengku Adena tidak akan menoleh ke belakang lagi.
Sejak bercerai dengan bekas suaminya dua tahun lalu, Tengku Adena cekal meneruskan hidup bersama anak perempuannya berusia awal 20-an. Selayaknya, Tengku Adena digelar superwoman kerana berjaya mengatur kehidupannya dengan baik walau tanpa seorang lelaki bergelar suami.
Tengku Adena kini komited melebarkan empayar niaganya, Royal Adena ke tahap tertinggi. April 2018 Tengku Adena membuka ibu pejabat Royal Adena dan kilang menjahit yang mengambil tempahan baju korporat. Tengku Adena turut mengeluarkan produk Royal Cardigan.
PERNAH MUFLIS
“Sebelum ini, ketika berlaku pergolakan rumahtangga saya sentiasa sibukkan diri kerana tak mahu fikirkan masalah. Saya mula mencari sesuatu sebagai persediaan. Saya dah dapat rasa perkahwinan kami tak dapat diselamatkan lagi. Saya juga banyak membaca tentang kisah-kisah ibu tunggal.
Sehinggalah sampai satu tahap akhirnya saya surrender kerana dah tak sanggup lagi nak tanggung semua masalahnya. Saya juga pernah jatuh muflis kerana dia. Semua wang saya dalam akaun bank dibekukan. Waktu itu saya sangat terkejut dan rasa down.
Nama saya disalahguna sebagai penjamin dan sayalah yang terpaksa menanggung akibatnya. Itulah titik tolak kepada keputusan nekad saya untuk berpisah. Alhamdulillah saya dapat banyak sokongan daripada keluarga, adik beradik dan teman-teman rapat. Kami berpisah secara baik.
MUHASABAH DIRI
“Selepas apa yang berlaku saya banyak muhasabah diri. Saya betulkan semula hubungan dengan Allah SWT. Saya kerap mengadu dan menangis di sejadah, yakin Dia Maha Mendengar. Saya yakin Dia bagi dugaan ini kerana ada sebab. Selain banyakkan solat sunat, saya banyakkan sedekah setiap hari. Ia umpama back up untuk mendapatkan ketenangan hidup.
Alhamdulillah kini saya pun dah boleh move on. Sekarang saya nak kekalkan momentum bisnes dan kehidupan. Saya berusaha dan tawakal kepada Allah SWT. Sejak menjadi ibu tunggal saya lebih faham masalah-masalah golongan ini. Saya banyak mendengar tazkirah, belajar tentang kerohanian.
Bagi saya kena belajar redha baru hati tenang. Sangka baik, Allah SWT akan bagi yang baik-baik,” kongsi Presiden Srikandi dan AJK Tertinggi Majlis Tindakan Ekonomi Wanita ini. Baru-baru ini Tengku Adena menerima Anugerah Ikon Usahawanita Selangor dari Dewan Ekonomi Usahawan Malaysia yang disampaikan oleh Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan Malaysia, Dr Mohd Hatta Ramli.
Tengku Adena turut memiliki produk makanan, Royal Rendang yang dikomersilkan secara frozen dan pes bagi keluaran dalam negeri.
HARAPAN
“Anak juga ada menunjukkan minat terhadap bisnes. Dialah yang menjaga bisnes Royal Rendang bahagian pemasaran, sosial media, menjaga outlet dan sebagainya. Alhamdulillah saya dikurniakan staf yang bagus walaupun semuanya perempuan. Saya harap Royal Adena semakin berkembang. Sekarang belum masanya untuk bersenang lenang kerana saya mahu berusaha gigih untuk membawa jenama ini ke tahap lebih tinggi.
Tip sukses saya, jangan berhenti bersedekah. Saya didik diri sendiri, setiap hari sebelum tiba ke pejabat saya akan singgah surau atau masjid berhampiran untuk bersedekah. Bermula dengan nilai yang kecil, kemudian naikkan sedikit demi sedikit. Yang penting ikhlas.
Antara hikmah yang saya belajar atas apa yang berlaku ialah yakin dengan aturan Allah SWT, redha dan tenang,” akhiri Tengku Adena yang kini aktif sebagai motivator.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Buat pertama kalinya Datin Paduka Seri Afzaa Fadini Dato’ Abdul Aziz hadir ke majlis ulang tahun Hari Keputeraan Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj.