Menurut pakar perbuatan menengking, membentak atau menggunakan kata-kata kasar bukanlah sesuatu yang bijak dalam mendidik anak-anak. Salah satu sebab mengapa ibu bapa tidak dapat menahan emosi terhadap anak-anak ketika mereka berbuat salah ialah rasa takut. Ia membuatkan ibu bapa menengking atau memukul anak secara spontan.
Ditambah dengan beban stres dan bebanan di tempat kerja juga menjadi salah satu sebab ibu bapa tidak dapat menahan emosi pada anak. Berikut cara bagaimana menahan emosi saat anak berbuat salah:
ADAKAH ANDA BENAR-BENAR PERLU MARAH?
Ingat, tidak semua kenakalan anak perlu direspon dengan cara memarahi atau menghukum. Maka, anda akan lebih tenang ketika berhadapan dengan karenah anak.
KETIKA HENDAK MARAH SEGERA TENANGKAN DIRI
Pertama sekali, cara paling mudah ialah dengan menarik nafas sedalam dalamnya. Kemudian hembus dan ulang cara ini beberapa kali sehingga emosi anda lebih stabil. Kedua, jauhkan diri anda dari anak contohnya ke bilik tidur. Jika sudah merasa lebih tenang barulah anda mengajak anak berbual dan menasihatinya secara tegas agar tidak mengulangi perbuatannya lagi.
CUBA MENGIRA
Contohnya, “Kemaskan barang mainan sekarang. Ibu kira sampai sepuluh. Kalau sampai sepuluh masih belum kemas kamu tidak boleh main mainan ini lagi. Satu, dua…” Kalau si anak masih belum mematuhi arahan anda cubalah untuk memberi peringatan lagi dengan sikap yang tegas tanpa menengking atau membentak anak.
ELAKKAN MEMUKUL
Perbuatan memukul akan mengajar anak-anak bahawa menyakiti orang lain itu diperbolehkan. Ini menyebabkan mereka percaya bahawa cara menyelesaikan masalah dengan menggunakan kekerasan. Kekerasan menjadikan anak hilangnya kepercayaan terhadap ibu bapa seterusnya menjadikan anak lebih nakal.
KENDALI CARA BERBUAL ANDA
Semakin tenang anda berkomunikasi dengan anak, semakin mudah untuk anda menahan emosi. Sebaliknya jika anda menggunakan kata-kata kesat atau makian, semakin naik amarah anda. Kendali cara komunikasi anda sebaik mungkin. Secara tidak langsung anak kian mengerti perilaku kesalahannya.
Rai ‘Anniversary’ ke-25, ASTRO Radio & SYOK Lancar 60 Stesen Radio Dalam Talian Serentak
Tanpa sedar rupanya sudah 25 tahun ASTRO Radio menabur budi menceriakan pendengar radio dengan celoteh juruhebah terkemuka serta pilihan lagu terkini dan mengimbau memori buat menghiburkan pendengar.
Jika sebelum ini pendengar radio menggunakan gelombang frequency modulation (FM) sebagai medium untuk mendengar kini radio boleh didengar di mana-mana sahaja dengan lahirnya aplikasi SYOK.
Bermula HARI INI, pendengar setia radio mempunyai alternatif menikmati hiburan radio di dalam talian pula. Aplikasi SYOK menawarkan lebih 60 stesen baharu dalam talian, menawarkan pelbagai jenis dan kompilasi muzik dan saluran berita untuk berita terkini serta hal ehwal semasa. Malah turut menerbitkan saluran berita Bahasa Cina baharu, ‘YOU-NEIRONG’.
Stesen baharu di SYOK membolehkan pengguna untuk strim genre dan kategori muzik kegemaran mereka merentasi bahasa termasuk balada, klasik, muzik akustik, muzik tarian, muzik senaman, K-pop, hip-hop, kegemaran di tahun 70an, 80an dan 90an, rock, Jiwang, Cintan, Nasyid, Arab, lagu-lagu Bollywood, Irama Malaysia, Dangdut dan banyak lagi.
60 stesen baharu dalam talian ini akan tersedia tambahan kepada semua jenama Astro Radio di udara dan di TV termasuk ERA, MY, HITZ, RAAGA, SINAR, GEGAR, ZAYAN, MELODY, GOXUAN, MIX, LITE dan banyak lagi; menjadikan Astro Radio dan SYOK pertama di Malaysia untuk melancarkan stesen radio baharu dalam talian dengan jumlah yang tinggi secara serentak.
Di samping itu, aplikasi ini juga membantu memudahkan pengguna dengan ciri penggera (alarm) yang membolehkan pengguna menjadualkan stesen radio pilihan mereka untuk distrim secara automatik.
Selain itu, pengguna juga boleh menikmati banyak ciri baharu yang menarik dan dinaik taraf seperti ‘mod gelap’ (dark mode) dan saluran ‘video langsung’ (live video), memberikan pengguna kelebihan untuk berinteraksi dengan orang lain semasa sesi video langsung.
Bukan itu sahaja, pengguna juga boleh mendengar podcast – carian podcast yang dipertingkatkan berdasarkan kategori, membolehkan pengguna meneruskan penstriman di tempat mereka berhenti, mengatur podcast yang dimuat turun ke dalam simpanan, berkongsi di media sosial; dan banyak lagi.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif, Astro Radio, Kenny Ong, “Semasa kami memulakan perjalanan transformasi kami untuk berkembang sebagai rangkaian hiburan audio dan infotainmen terbesar serta paling berpengaruh di Malaysia, Astro Radio teruja untuk memperkenalkan pilihan penstriman audio yang lebih relevan dengan kandungan yang disusun mengikut permintaan pendengar kami.
Kepesatan perubahan dalam ruang digital terus memacu evolusi kami untuk menawarkan lebih banyak aliran muzik dalam talian yang memastikan jenama-jenama Astro Radio sentiasa relevan.
Aplikasi baharu SYOK menawarkan pengalaman yang lebih khusus dengan 60 stesen radio baharu dalam talian baharu kami yang disesuaikan dengan lebih banyak gaya hidup dan pilihan.
Kami berharap rakyat Malaysia menikmati pengalaman hiburan baharu ini di SYOK melalui aplikasi dan laman web,” katanya yang menyatakan Astro Radio turut bekerjasama dengan TikTok untuk melancarkan tiga rancangan hujung minggu baharu ke udara dan di aplikasi SYOK.
Selain boleh menikmati artikel semasa, pendengar juga boleh menikmati berita dan info trafik serta menyertai peraduan untuk peluang membawa pulang hadiah menarik termasuk peraduan SYOK 101 yang tersedia di aplikasi serta ke udara mulai 8 November bagi merebut hadiah wang tunai.
SYOK telah bekerjasama dengan ACO Tech, syarikat peneraju mobiliti pintar terkemuka di Asia Tenggara, untuk menyepadukan aplikasi SYOK dalam sistem infotainmen kenderaan.
Malah turut berkerjasama dengan HUAWEI untuk menyepadukan aplikasi SYOK pada HUAWEI WATCH 3 Series yang menawarkan pengalaman jam pintar yang lebih tinggi kepada pengguna.
SYOK bakal mengumumkan lebih banyak kerjasama dari semasa ke semasa agar terus berinovasi dan meningkatkan industri radio dan audio Malaysia.
Muat turun aplikasi SYOK di Google Play, Apple App Store atau Huawei App Gallery, juga layari lawan web
SYOK.
Lepas Beli Banglo Jutaan Ringgit, Kini Usahawan LIANA ROSLI Beli Kereta Mewah Hasil Penat Lelah Niaga!
Tahniah buat usahawan kosmetik, Liana Rosli atau lebih dikenali sebagai Kak KM atas kejayaannya membeli sebuah kereta mewah baru-baru ini. Hasil penat lelah berniaga produk Sweet Dara, Kak KM akhirnya mampu memiliki kereta Range Rover yang selama ini menjadi idaman wanita berjiwa besar berkenaan.
Ditemui dalam majlis pelancaran SUKE GO, Kak KM memberitahu impian untuk membeli kereta itu akhirnya dapat direalisasikan setelah dia mampu berkongsi kesenangan dengan keluarga tercinta.
Sebelum ini anak kepada pelakon Normah Damanhuri tersebut dilaporkan membeli sebuah rumah banglo bernilai RM5 juta demi keselesaan anak-anak.
Katanya, selepas membeli kediaman selesa untuk seisi keluarga barulah dia menunaikan niat hati selama ini untuk memiliki kereta idaman.
“Memang impian saya untuk beli kereta tersebut Cuma sebelum ini saya lebih kepada anak-anak. Saya beli rumah dahulu untuk beri mereka keselesaan. Kiranya sebelum ini semua untuk anak, sekarang masanya untuk diri saya pula.
Perniagaan saya sudah semakin besar. Barang-barang saya sudah dijual satu Malaysia malah sudah masuk pasaran luar negara.”
Tidak pernah ‘sunyi’ daripada dilanda kontroversi dan persepsi masyarakat terhadap strategi pemasaran perniagaan yang diusahakan, Kak KM berkata dia enggan ambil peduli kata-kata negatif segelintir pihak yang kurang selesa dengan caranya berniaga.
“Saya tak peduli apa orang nak cakap. Kita tahu diri kita macam mana. Asalkan saya tak sibuk hal orang. Tapi bila orang bercakap tentang kit aitu bagus, saya suka. Bila perniagaan kita maju dan sukses, orang mula nak bercakap. Baguslah.”
Semoga kejayaan Kak KM dalam bidang perniagaan menjadi pencetus semangat buat lebih ramai usahawan wanita meraih pencapaian membanggakan.
Terpaksa Tinggalkan Anak Baru Dibedah Demi Panggilan Haji, Allah Duga FOUZIAH GOUS!
Dalam keadaan anak yang masih tidak sedarkan diri selepas dibedah, Datin Hajjah Fouziah Gous dan suami, Dato’ Haji Md Zhafran Md Yusof terpaksa meninggalkan cahaya mata kedua mereka di Unit Rawatan Rapi (ICU). Bukan kerana tidak sayangkan anak… sebaliknya pasangan suami isteri ini yakin urusan ‘jemputan ke rumah Allah’ waktu itu lebih penting daripada segala-galanya dan percaya ia adalah keputusan terbaik mereka. Menyerahkan hidup dan mati serta nasib keluarganya kepada Allah Yang Maha Esa.. Hajjah Fouziah dan suami selamat tiba di Tanah Suci pada saat-saat akhir selepas berdepan pelbagai halangan.
Mengakui lebih selesa disapa Hajjah kerana mahu menghargai kesukaran yang dilalui untuk mendapatkan ‘gelaran’ tersebut, penampilan aktres berusia 35 tahun ini tampak lebih manis sejak dia memutuskan untuk berhijab. Menyimpan kemas semua pengalaman pahit dan manis sepanjang mengerjakan rukun Islam kelima itu Ogos lalu.. Hajjah Fouziah secara terbuka membuat pendedahan eksklusif kepada Nona.
“Dua hari sebelum pergi haji anak saya, Zaheen Yusof tak sihat. Bawa pergi ke klinik dan check tapi tak demam pula. Malam tu lepas balik dari klinik saya jadi nervous bila tengok pampers dia ada darah. Bagi minum air atau susu, dia muntah. Call doktor tapi esok pagi baru doktor akan datang untuk periksa usus anak kami. Memang saya tak tidur langsung sampai ke pagi. Keesokan hari, doktor buat ultrasound. Setelah puas diperiksa, doktor kata semuanya ok dan tak jumpa apa-apa yang meragukan.
Kebetulan masa doktor suruh balik ke wad, Zaheen menjerit. Reaksi sama yang saya nampak bila dia rasa sakit. Terus doktor buat ultrasound dan nampak usus besar dan kecil dia tersangkut jadi kena dibedah. Memang besar dugaan Allah bagi tapi saya bersyukur sebab kebetulan waktu itu ada pakar bedah kanak-kanak yang bertugas dan boleh terus buat operation pada hari sama pukul 5 petang. Sampai Maghrib kami tunggu.. anak tak keluar lagi dari bilik pembedahan. Jujurnya, kami suami isteri dah mula tak tentu arah. Segala baju dan kelengkapan haji pun kami tak sempat buat apa-apa lagi.
Ikutkan esok dah nak pegi haji dan kumpulan kami kena berkumpul di KLIA pukul 4 pagi untuk transit di Filipina sebelum bertolak ke Mekah. Tapi sebab anak kena pembedahan kecemasan ni, kami tak jadi ikut kumpulan jemaah seramai 36 orang tu. Walaupun risau dengan keadaan anak, sedikit pun tak timbul niat untuk batalkan hasrat pergi haji. Jadi, sementara tunggu anak keluar dari operation theatre suami sempat beli tiket penerbangan ke Filipina yang dijangka bertolak waktu Subuh.”
Dugaan Hajjah Fouziah tidak hanya terhenti di situ. Meskipun pembedahan berjalan lancar namun Zaheen terpaksa diletakkan di ICU kerana keadaan dirinya yang masih kecil dan belum sedarkan diri. Waktu menatap wajah anak kecilnya itulah Hajjah Fouziah teringat perbualan mereka suami isteri yang secara tak sengaja mengkaji situasi pengorbanan Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail sehari sebelum dijadual berangkat ke Tanah Suci. Sungguh, ia seolah-olah menggambarkan perkara sama yang sedang dilalui Hajjah Fouziah dan suami saat itu.
“Seperti mana Nabi Ibrahim meletakkan Allah dahulu daripada anak kandungnya sendiri, seperti itu jugalah yang harus kami lakukan. Setelah bertanya kepada ustaz, semua ini adalah dugaan dan kena percaya kepada Allah. Sebab itu kami memutuskan untuk pergi mengerjakan haji walau apa cara sekalipun. Saya rasa Allah betul-betul bagi satu kekuatan yang luar biasa. Kami masing-masing macam tahu tanggungjawab nak pergi haji.
Walhal bila saya ada di pejabat pun, saya akan tetap bawa anak sebab tak mampu berenggang dengan mereka. Tengah malam lepas selesai packing baju semua, kami datang balik ke hospital nak tengok Zaheen tapi dia masih belum buka mata lagi. I try to be strong. Balik rumah, memang tak boleh tidur. Subuh tu, kami bersiap-siap untuk berangkat ke Filipina.
Bila kita tahu maksud reda yang sebenar, apa saja yang berlaku bukan lagi benda besar. Dah sampai Filipina kami akhirnya dapat bertemu dengan kumpulan jemaah kami. Mereka sedang tunggu di dalam bas sebab penerbangan kami ditunda. Lepas makan, kami balik semula ke airport sebab waktu penerbangan dalam pukul 12 tengah malam. Bayangkan keadaan kami suami isteri yang dua hari tak tidur. Memang lesu. Walaupun flight ditunda tapi Alhamdulilah, saya dapat facetime.. chat dengan anak. Ada hikmah tersendiri yang susah nak diungkapkan. Saya percaya Allah bagi benda yang Dia dah rancang yang terbaik untuk kita.”
Ujian datang menimpa lagi ketika mereka dijadual berlepas ke Mekah. Sebaik saja semua penumpang sudah berada di dalam pesawat, mereka kemudian diarahkan keluar atas sebab teknikal. Berbekalkan beg bimbit yang hanya membawa Al-Quran dan telekung serta persalinan yang dipakainya, Hajjah Fouziah dan kumpulan jemaahnya ditempatkan di sebuah hotel di Manila buat sementara waktu. Diam tak diam, mereka terkandas di Filipina selama tiga hari dua malam.
“Masa tu 15 haribulan Ogos.. ikutkan 17 haribulan dah tak boleh masuk Mekah sebab dah nak wukuf. Nasib baik kami naik Saudia Airlines dan diberi keistimewaan kerajaan Arab Saudi, jadi tak terlepas wukuf. Kelebihan Allah nak bagi, saya dapat tidur puas-puas. Daripada nak buat haji tamattu.. dapat pula buat haji ifrad. Walaupun makanan, hotel dan segala keperluan kami sepanjang terkandas tu sangat best dan hebat tapi selagi tak dapat pergi Mekah, rasa kosong. Kalau tengok sudut positif pula ketika terkandas ni, saya dapat communicate dengan anak-anak saya very well. Alhamdulillah.
Sampai je malam tu kami semua terus ke Arafah. Masa dekat Muzdalifah, Arafah dan Mina pun kami terkandas. Dengan pakai baju yang sama lagi.. tapi syukur, akhirnya kami dapat mengerjakan haji dengan baik walau berdepan dengan macam-macam dugaan. Bila dikenang kembali semua kenangan ini, saya dapat rasa betapa besarnya cabaran dan sukarnya to get my ‘Hajjah’,” akhiri Datin Hajjah Fouziah.
Perkongsian Datin Hajjah Fouziah ini jelas menunjukkan betapa besar ‘kuasa’ yakin terhadap Allah SWT. Andai kita reda dengan ketentuanNya, yakinlah Dia ada perancangan yang lebih hebat. Moga impian kita semua untuk menjejakkan kaki ke Tanah Suci suatu hari nanti dimakbulkan. InshaAllah.