Selaku ‘pembela nasib’ yang menentang ketidakadilan, Ahmeena turut menasihatkan masyarakat agar tidak mudah terpengaruh dan meletakkan kepercayaan kepada mana-mana individu bersandarkan percakapan semata-mata. Sebaliknya, untuk mengelakkan diri daripada ditipu.. segala apa yang dihajati, diingini atau dipersetujui oleh mana-mana pihak perlu dimeterai dalam bentuk perjanjian bertulis.
Dalam erti kata lain, jangan sesekali membuat transaksi atau perjanjian tanpa nasihat daripada peguam berpengalaman. Menjadikan Al-Quran dan sunah sebagai panduan selain naskhah berbentuk perundangan, pengurusan dan akta dijadikan sumber rujukan, ibu kepada dua orang anak lelaki kembar ini sememangnya seorang yang berpegang teguh kepada etika perguaman. Tegas Ahmeena, dia enggan terlibat dengan sebarang bentuk sogokan yang boleh mencalarkan reputasinya sebagai peguam.
“Apabila berdepan dengan pihak atau orang perseorangan yang meminta saya menyediakan atau membuat sesuatu dokumen atau melakukan transaksi yang bertentangan dengan etika, maaf… saya terpaksa menolak permintaan seperti itu walaupun mereka menawarkan bayaran yang tinggi.
Agak menakutkan sebenarnya bila lihat ramai di kalangan peguam muda hari ini yang suka mengambil jalan singkat untuk berjaya. Saya tahu tidak semua mampu menangani tekanan dalam bidang ini tapi jika anda benar-benar minat dan sabar, insyaAllah ada ganjarannya.
Untuk menjadi peguam yang baik, jangan sesekali menggadaikan etika kerjaya dan ‘gelap mata’ angkara wang. Setiap hari memang kita akan diuji dengan sejumlah wang yang besar di depan mata tapi sebagai orang perantara, sudah menjadi tanggungjawab kita untuk menjalankan amanah dengan sebaik mungkin. Justeru, sentiasalah ingat kepada Allah,” tuturnya yang berhasrat menjadi arbitrator kelak.
Dari Editor Penerbitan Kini Jutawan Pemasaran, Norzira Syarini Bantu Masyhurkan Jenama Tempatan Ke Tahap Tertinggi!
Setiap butir bicaranya memberi inspirasi kepada telinga yang mendengar dan mata yang memandang. Kisah kejayaannya juga bagaikan sebuah lembaran aspirasi untuk wanita di luar sana melangkah maju mencipta kejayaan.
Ditubuhkan pada tahun 2020, Newsfeed Media merupakan sebuah syarikat yang menawarkan perkhidmatan pemasaran dan pengiklanan secara luar talian di Malaysia.
Bagi Norzira Syarini Mohammed Pauzi, 36, yang menggalas tugas sebagai Ketua Pegawai Eksekutif, ia bagaikan seperti mimpi jadi realiti.
Hanya berbekalkan pengalaman kerjanya selama 10 tahun dan bijak merancang strategi, kini Newsfeed Media berdiri megah dengan barisan lebih 500 jenama dan produk yang menggunakan perkhidmatan syarikatnya.
BERMULA KERANA DESAKAN
Menjadi noda hitam dalam lembaran diari hidupnya, anak kelahiran Tumpat, Kelantan yang memiliki segulung liazah Sarjana (Master) dalam jurusan Komunikasi ini pernah menemui jalan buntu saat diberhentikan kerja serta-merta pada tahun 2019.
Norzira atau lebih mesra dengan panggilan Ira, yang ketika itu menggalas tugas sebagai editor di sebuah akhbar kesihatan, terpaksa akur dan redha biarpun perit menerima realiti. Namun, dari situlah bermulanya langkah kejayaannya hingga ke hari ini.
“Apabila ketua saya memaklumkan saya menjadi salah seorang pekerja yang diberhentikan serta-merta, disebabkan faktor kewangan syarikat yang tidak begitu baik, minda saya hanya memikirkan tentang hari-hari yang mendatang.
Bagaimana untuk saya membayar segala komitmen hidup saya? Apakah caranya untuk saya mendapat wang yang cepat dengan jumlahnya sama dengan gaji saya ketika itu, RM7 ribu? Semuanya menjadi celaru. Sungguh, ketika itu dunia jadi gelap. Terkejut dan tergamam.” Norzira Syarini
Biarpun airmata mengalir memikirkan nasib dirinya, namun tangisannya hanya sementara. Ternyata, wanita ini punya hati yang kental. Tidak mudah melatah, tidak pula termangu lama. Mindanya ligat mencari solusi membuatkan jiwanya bersemangat untuk bangun dan berdiri kuat.
“Jujur saya katakan, jika saya masih berterusan menangis, saya pasti tidak akan memiliki apa yang saya ada hari ini. Desakan hidup pada saat itu seolah-oleh seperti membakar diri untuk menjadi versi yang lebih kuat.
Saya fikir, inilah masanya untuk saya mengubah kehidupan saya dan keluarga. Saya tidak mahu menoleh ke belakang. Lantas, saya mengambil pen dan kertas, lalu senaraikan kekuatan yang saya ada.
Diri lebih cenderung dalam bidang perhubungan awam (PR). Lantang bersuara, bijak berkata-kata dan yakin dihadapan orang ramai menjadi bonus untuk diri sendiri.
Malah, 10 tahun pengalaman dalam bidang media kewartawanan serta penerbitan turut membuatkan saya lebih yakin dengan keputusan yang dilakukan.”
USAH GENTAR MELAWAN ARUS
Benar kata orang. Hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih. Ketika Ira memulakan misi mencari klien pertamanya, pada saat itu dunia sedang menghadapi pandemik Covid-19.
Malaysia juga memulakan fasa Perintah Kawalan Pergerakan menyebabkan ramai usahawan-usahawan baru kecundang dan mempunyai krisis dalam perniagaan mereka. Pastinya, ia bukanlah sebuah keputusan bernas untuk memulakan langkahnya memulakan misinya mencari klien, namun Ira punya ideologi sendiri.
“Untuk berjaya kita harus berani melawan arus. Melawan arus menjadikan kita luar biasa. Jika kita hanya mengikut arus, maka kita menjadi orang yang biasa-biasa. Harus bijak mencari peluang, itu yang paling penting. Alhamdulillah, klien pertama saya pada waktu itu seramai 12 orang, antaranya Crown Diamond Manager (CDM) dari Sahajidah Hai O Marketing.
Hari berganti hari, jumlah keuntungan saya mencecah lima angka. Pada masa itu, saya berpuas hati dan berfikir untuk berhenti, Tetapi, persoalan muncul di minda, mengapa harus berhenti?
Bermula dari saat itu, saya meminta restu suami untuk meneruskan apa yang sudah dimulakan dan Newsfeed Media terus berkembang maju dan semakin dikenali ramai.” Norzira Syarini
Berbicara mengenai sudut persaingan dalam dunia pengiklanan di Malaysia, Ira akui dikelilingi ole barisan syarikat yang lebih senior dan berpengaruh.
Oleh sebab itu, dia harus bijak memasang strategi untuk pergi jauh dari mereka. Bagi Ira, untuk kekal relevan dan melangkah setapak kehadapan, dia perlu laju dan pantas. Itulah kunci kejayaan yang menjadi resepi rahsianya.
“Benar, dunia hari ini semakin maju berkembang. Sudut persaingan pula semakin sengit. Sebagai orang baru, saya akan memastikan kami bergerak lebih pantas untuk mendapat lebih ramai perhatian orang di luar sana.”
Melihat dari sudut kejayaan yang sudah dikecapi, pasti ada faktor istimewa dan menarik minat klien untuk terus kekal setia bersama syarikatnya. Mengulas berkaitan hal itu, Ira menyatakan bahawa dia tidak pernah culas memberi yang terbaik kepada setiap klien.
Sentiasa menjaga kebajikan kliennya dari awal hingga ke akhir proses. Itu antara magis yang menjadi punca utama mereka kekal setia bersama dengannya.
“Kami akan sentiasa menjaga mereka (klien) sehinggalah ke lambaian terakhir mereka meninggalkan kami dengan rasa puas dan gembira.
Maksudnya, andai kata mereka mempunyai sesi temu bual dalam program televisyen, Newsfeed Media akan hadir memberi sokongan serta tunjuk ajar cara untuk bercakap di hadapan kamera, posisi badan yang tepat serta pilihan maklumat bernas yang harus dibicarakan sewaktu sesi temu bual itu berlangsung. Jadi, barangkali inilah sebab mereka masih lagi setia bersama kami sehingga ke hari ini.”
Memasang impian untuk menjadi syarikat pengiklanan nombor satu di Malaysia, Ira percaya dengan keistimewaan yang ada pada syarikatnya ini mampu untuk menembusi pasaran antarabangsa.
Baca artikel perjuangan bisnes penerima Nona Most Outstanding Advertising & Public Relation Consultant Award, Norzira Syarini Mohammed Pauzi ini dalam naskhah edisi khas Nona Superwoman 2022 di pasaran Januari 2023.
Penulis & Penyelaras: Putra Mokhter
Konsep & Penata Gaya: Azniza Aziz
Foto: Azfarina Sulaiman
Solekan: Norezz Idris
Cucu YDP Agong Ke-10, YM TENGKU ASRA JEHAN Kerabat Diraja Yang Merendah Diri & ‘Soft Spoken’!
Pesona kerabat diraja Yang Mulia (YM) Tengku Asra Jehan Juzaila tiada tandingan. Personalitinya yang mesra dan penuh kelembutan membuatkan Tengku Asra disenangi ramai. Berdarah keturunan diraja namun Tengku Asra cukup merendah diri dan enggan menggunakan status diri untuk kepentingan peribadi. Jauh sekali meraih layanan istimewa daripada masyarakat.
Sejak belasan tahun lagi Tengku Asra sudah merantau ke luar negara demi mengejar impian untuk menyambung pelajaran. Berpuluh-puluh tahun menimba ilmu di negara asing, ia sedikit pun tidak melunturkan jati dirinya sebagai wanita Melayu yang sarat dengan nilai ketimuran.
Tengku Asra yang mempunyai darah keturunan diraja Pahang dan Negeri Sembilan ini merupakan puteri sulung daripada tiga beradik. Ayahanda dan bonda Tengku Asra berkahwin pada tahun 1974.
“Ayahanda saya ialah Yang Amat Mulia Tengku Panglima Besar Pahang Tengku Azlan Ibni Almarhum Sultan Abu Bakar Ri’ayatuddin Al-Mu’azzam Shah iaitu anakanda kepada Almarhum Sultan Pahang Sultan Abu Bakar.
Manakala bonda saya Yang Amat Mulia Tunku Puteri Tunku Dato’ Seri Jawahir pula ialah anakanda kepada Almarhum Tuanku Jaafar yang merupakan Yang di-Pertuan Agong ke-10.
Hasil perkongsian hidup, ayahanda dan bonda dikurniakan tiga orang cahaya mata iaitu seorang perempuan dan dua lelaki. Saya ialah puteri sulung dan ada dua orang adik lelaki,” ulas jelitawan ini yang meniti usia 46 tahun.
Tatkala ditanya sama ada keluarganya masih berpegang kuat kepada adat dan bahasa istana, ini jawapan Tengku Asra.
“Ya, kami masih amalkan adab dan adat istana sehingga hari ini. Misalnya apabila berbual dengan ayah atau ibu saudara, saya bahasakan diri sebagai patik.
Atau saya gunakan gelaran anakanda ketika bercakap dengan ayahanda dan bonda, gelaran adinda dan kekanda pula bila bersama adik-beradik dan sanak saudara.
Kalau tulis surat atau kad hari lahir pun sama. Tetap dengan gelaran seumpama itu. Bagi saya bahasa istana ini sangat istimewa kerana ia ‘halus’ dan perlu dikekalkan.”
Sebut sahaja keluarga diraja pasti ramai yang membayangkan gaya hidup mewah. Ke mana sahaja pergi golongan ini akan ditemani pembantu dan mendapat layanan khas. Hakikatnya, Tengku Asra menjalani kehidupan sama seperti insan lain.
“Dari kecil saya dididik oleh ayahanda, bonda dan nenda supaya selalu jaga nama baik keluarga. Ayahanda dan bonda sentiasa ajar kami tentang perikemanusiaan dan sikap merendah diri. Masa belajar di luar negara, saya jalani hidup macam pelajar lain yang naik bas atau berjalan kaki ke sekolah.
Kebanyakan rakan-rakan juga tidak tahu latar belakang keluarga diraja saya. Bersandarkan status yang saya bawa ini, saya perlu bijak pilih pergaulan dan juga aktiviti sosial supaya tidak mengundang persepsi negatif.
Kami adik-beradik sudah dilatih untuk jadi teladan baik kepada masyarakat demi menjaga imej dan nama keluarga. Dalam usia yang makin meningkat kini, saya jadi seorang yang sangat private person dan selektif bukan saja dengan siapa saya berkawan tetapi juga majlis-majlis yang saya perlu hadiri.
Dalam masa sama, saya turut ajar anak-anak dengan cara didikan yang sama seperti ayahanda dan bonda saya terapkan iaitu merendah diri kerana saya percaya ia mampu membentuk peribadi seseorang menjadi lebih baik,” bicara isteri kepada Tariq Ismail Mustafa dan ibu kepada dua cahaya mata ini mengakhiri perbualan.
Atas kecintaannya terhadap dunia kraftangan dan warisan, Tengku Asra mengusahakan bisnes tekstil tenunan dikenali sebagai Royal Sembilan bersama ibunda tersayang YAM Tengku Puteri Dato’ Seri Jawahir pada tahun 2019. Sehingga kini, Royal Sembilan mempunyai rangkaian koleksi kain tenun, kaftan, selendang dan aksesori kediaman.
Berniaga Tampung Kos Belajar, Untung Sikit Kongsi Sama Mak Ayah Berkat Kejayaan DIANZ Sekarang
Kagum melihat semangat juang wanita yang sudah tujuh tahun berniqab ini. Walaupun masih muda namum kejayaan milik Nurul Diana Mohd Pudzi bukan calang-calang. Memulakan perniagaan hanya bersandarkan alasan mahu menanggung kos sara hidup semasa di kolej telah menukar persepsinya dalam bidang yang penuh cabaran ini.
Wanita yang dilahirkan 28 tahun lalu ini benar-benar bersyukur dan megah dengan kejayaan miliknya kini. Menjadi pengasas produk kecantikan dan kesihatan bukan suatu angannya ketika kecil. Namun, aturan dari Yang Maha Esa adalah yang terbaik dan sebaik-baik Perancang.
“Saya bukan orang senang dan ‘degil’ untuk meneruskan pengajian di kolej. Setiap hari makan mi segera bukan suatu yang asing bagi saya ketika itu. Demi kelangsungan hidup sebagai pelajar saya perlu buat sesuatu dan timbul idea cuba menjual produk kosmetik.
Ketika itu saya langsung tak ada modal namun kuatkan hati dengan mengambil pre-order. Saya ‘jual’ di Facebook, orang order dan terus buat bayaran. Bayaran pelanggan itu saya guna untuk beli produk kemudian baharu dipos. Tak sangka dalam masa seminggu, saya dah mula ada ‘pendapatan’,” ujar wanita berkelulusan Diploma Perbankan Islam, Politeknik Sultan Idris Shah, Selangor ini.
Walaupun ketika itu keuntungan yang dimiliki oleh wanita yang mesra di sapa Dian ini bukan besar, sekadar cukup untuk menampung kos sara hidupnya sebagai pelajar namun tak pernah lupa menghulurkan wang kepada mak ayah di kampung halaman. Mungkin ini yang dikatakan berkat ‘sedekah’ dengan mak ayah sendiri, rezeki akan mencurah-curah tanpa disangka-sangka.
“Saya meneruskan jualan ini sehingga ke semester akhir pengajian dan pendapatan tertinggi yang pernah saya terima mencecah RM20 ribu sebulan,” ujar ibu kepada dua orang anak ini yang gigih dan pantang menyerah.
Selepas menamatkan pengajiannya wanita ini nekad menghasilkan produk atas jenama sendiri. Bersandarkan pengalaman berniaga di atas talian maka lahirkan produk yang diberi nama Dianz. “Saya keluarkan produk topeng muka (mask).
Ketika itu topeng muka begitu popular sebagai produk penjagaan kulit. Saya mencipta kelainan sedikit dengan menghasilkan topeng muka berwarna ungu berbanding dengan topeng muka yang banyak di pasaran dengan warna putih dan hitam.
Rezeki tak pernah salah alamat, dalam masa lapan bulan saya memperoleh keuntungan mencapai RM1 juta. Jualan saya memang 100 peratus bergantung kepada Facebook semata-mata, tidak ada laman sesawang mahupun platform digital yang lain,” terang Dian yang bangga mampu berkongsi rezeki dengan membawa 13 orang ahli keluarga menunaikan umrah melalui hasil titik peluhnya sendiri.
Sehingga kini jenama Dianz menumpukan pengeluaran produk suplemen iaitu Dianz Vitamin Premium dan Dianz D’Honey Skin Booster. “Bagi memastikan pelanggan dapat menikmati hasil yang terbaik, setiap produk Dianz memiliki sijil Kementerian Kesihatan Malaysia (Farmasi) dan mempunyai Sijil Halal,” kata Pengasas Dianz ini.
Tahun ini sahaja jenama Dianz berdiri megah di 50 papan iklan di sepanjang Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS Highway). Di samping itu, Dianz juga boleh dilihat di 40 buah badan bas Rapid KL terpilih serta troli di 9 buah pasar raya besar Tesco dan Mydin yang terpilih.