‘Jangan Gadai Etika Kerjaya & Gelap Mata Angkara Wang,’ Pesan PEGUAM Ini Yang Pernah Disogok Bayaran Tinggi!

Selaku ‘pembela nasib’ yang menentang ketidakadilan, Ahmeena turut menasihatkan masyarakat agar tidak mudah terpengaruh dan meletakkan kepercayaan kepada mana-mana individu bersandarkan percakapan semata-mata. Sebaliknya, untuk mengelakkan diri daripada ditipu.. segala apa yang dihajati, diingini atau dipersetujui oleh mana-mana pihak perlu dimeterai dalam bentuk perjanjian bertulis.

Dalam erti kata lain, jangan sesekali membuat transaksi atau perjanjian tanpa nasihat daripada peguam berpengalaman. Menjadikan Al-Quran dan sunah sebagai panduan selain naskhah berbentuk perundangan, pengurusan dan akta dijadikan sumber rujukan, ibu kepada dua orang anak lelaki kembar ini sememangnya seorang yang berpegang teguh kepada etika perguaman. Tegas Ahmeena, dia enggan terlibat dengan sebarang bentuk sogokan yang boleh mencalarkan reputasinya sebagai peguam.

 

“Apabila berdepan dengan pihak atau orang perseorangan yang meminta saya menyediakan atau membuat sesuatu dokumen atau melakukan transaksi yang bertentangan dengan etika, maaf… saya terpaksa menolak permintaan seperti itu walaupun mereka menawarkan bayaran yang tinggi.

Agak menakutkan sebenarnya bila lihat ramai di kalangan peguam muda hari ini yang suka mengambil jalan singkat untuk berjaya. Saya tahu tidak semua mampu menangani tekanan dalam bidang ini tapi jika anda benar-benar minat dan sabar, insyaAllah ada ganjarannya.

Untuk menjadi peguam yang baik, jangan sesekali menggadaikan etika kerjaya dan ‘gelap mata’ angkara wang. Setiap hari memang kita akan diuji dengan sejumlah wang yang besar di depan mata tapi sebagai orang perantara, sudah menjadi tanggungjawab kita untuk menjalankan amanah dengan sebaik mungkin. Justeru, sentiasalah ingat kepada Allah,” tuturnya yang berhasrat menjadi arbitrator kelak.

Share
Published by
Suzi