Salah satu aktiviti wajib menjelang cuti sekolah ini, tentu sekali pulang ke kampung halaman. Anak-anak bersorak riang, mungkin rindu sangat nak jumpa tok dan nenek tersayang. Kita pula rindukan masakan mak serta suasana kebun abah yang tengah lebat berbuah.

Tapi dalam keterujaan itu, kita tak sedar yang keluarga kita pulang ke kampung seperti Tuan atau Puan Besar. Mentang-mentanglah ibu bapa kita rindukan anak cucunya, kita pun ambil kesempatan request masak itu ini dan guna segala barangan macam hak milik sendiri.

Ads

Kerana teringinkan masakan mak, ada yang beli bahan mentah sebanyak-banyaknya dan longgokkan di dapur. Lalu demi memenuhi hajat anak, terbongkok-bongkoklah si ibu tua membuat persiapan dan memasak untuk santapan keluarga kita.

Harapkan menantu atau anak perempuan menolong, masing-masing sibuk mendukung anak kecil. Tak sampai hati nak suruh, jadi mak jugalah yang siapkan semua. Belah dan kukur kelapa, giling cili dan macam-macam seorang diri.

Lepas makan, berlonggok-longgok pinggan mangkuk di singki. Anak lelaki dah bersila kekenyangan, minta kopi pula nak minum depan TV. Yang perempuan awal-awal masuk bilik mahu tidurkan anak. Cucu-cucu yang besar dah hadap smartphone.

Mak kita faham. Maka mak jugalah yang kemas dan cuci semua pinggan mangkuk tu. Walaupun penat memasak masih berbekas, tapi tak apalah. Sesekali jumpa anak cucu… Itu kata mak sambil tersenyum.

Begitu juga halnya apabila ada tetamu. Nenek dan atuk yang tinggal sendirian dan sedang berpuasa sunat itu jugalah yang kena bangkit ke dapur menghidangkan air. Mereka jugalah yang melayani tamu.

Padahal anak cucu dan menantu ada di situ, atau memerap dalam bilik tanpa mahu ambil tahu. Alasannya mereka tidak kenal pun siapa tetamu itu.

Turut menjadi mangsa selain mak yang terpaksa memasak dan membersihkan segala kekotoran yang membebankan ialah adik-beradik kita yang menetap di kampung atau cucu-cucu lain yang ringan tulang.

Setiap kali kita dan keluarga kita balik kampung, orang-orang yang sama itulah juga yang menjadi mangsa. Si Tuan dan Puan Besar bersama anak-anaknya akan terus ber-huhu haha macam bercuti di hotel.

Bila balik kampung, cukup-cukuplah berperangai seperti ini. Dah tahu ibu bapa kita gembira, janganlah ambil kesempatan pula. Tak cukup memasak, mereka terpaksa pula jadi tukang cuci membersihkan timbunan tuala, selimut dan tilam yang hancing gara-gara anak kita yang kencing malam.

Ads

Ada seorang nenek pernah mengadu sikap cucu-cucunya yang sangat pemalas. Sepanjang 5 hari di kampung, kesemua 13 cucunya hanya memerap di bilik, terbongkang depan tv atau keluar meronda menggunakan motosikal atuknya.

Ironinya, golongan yang selalu menjadi Tuan dan Puan Besar ini bukan orang biasa-biasa. Ada yang bergaji besar, bergelar guru agama bahkan ada yang jadi guru besar pun. Sampai hati perlakukan mak macam tu!

Ya, inilah realiti dan tabiat buruk orang kita sejak zaman berzaman. Kita tak sedar perbuatan kita membebankan ibu bapa.

Ads

Pulangnya kita ke kampung untuk bercuti dan menjenguk orang tua. Mengapa sampai terpaksa mereka bayar kepulangan kita dengan tugas berat semata-mata untuk menggembirakan anak cucunya?

Beranikanlah diri menukar sesuatu yang salah tetapi telah menjadi lazim kepada sesuatu yang lebih baik. Cuba kita ubah kebiasaan lama itu. Apabila kita pulang ke kampung, kita selaku anak dan cucu pula yang berusaha menggembirakan mak atau nenek kita itu sebaik-baiknya.

Jika betul-betul berhajatkan air tangan mereka sekalipun, cuba siapkan bahan-bahannya. Biar kita yang menggaul dan memasaknya dan mak hanya sekadar melakukan sentuhan terakhir sahaja.

Jika seorang anak mungkin masih boleh tahan lagi. Tapi jika ada 10 orang anak dan masing-masing pulang bersama pasangan dan anak-anak?

Mulakan sesuatu yang betul walaupun pelik. Balik ke kampung DAN BERKHIDMATLAH UNTUK MEREKA bukan mengharap khidmat mereka pula terhadap kita. Barulah kehadiran kita sekeluarga akan benar-benar membahagiakan mereka. Norzalina Mohd Alias

Sumber: Warga Prihatin

Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI