Semakin cantik dan bergaya. Sherry Ibrahim kini tampil penuh segar dan yakin bukan saja membawa imej seorang artis terkenal malah kini rancak mengusahakan bisnes hijab, Sher’s By Sherry Ibrahim serta salun Khatulistiwa Hair Spa.
Walaupun pernah melalu fasa jatuh bangun dalam karier seni mahupun bisnes, Sherry tetap nampak tenang dan bahagia. Apa yang penting Sherry bukan seorang yang mudah melatah jika berhadapan dengan sebarang situasi yang kurang enak. Rahsia ketenangan Sherry ialah sentiasa meletakkan keluarga sebagai rujukan utama dalam setiap perkara, barulah hidup diberkati.
TAK LUPA PENGORBANAN MAMA & PAPA
“Pendorong utama saya semestinya ibu bapa, adik beradik, saudara terdekat dan sahabat-sahabat. Walau apa pun terjadi mereka tetap akan menyokong. Kalau saya ada buat silap mereka akan tegur kerana mahukan yang terbaik untuk saya.
Buat semua followers terima kasih kerana tak pernah lupakan saya walaupun dah jarang muncul di kaca TV. They are still there. Bukan saja rajin memberi komen-komen di gambar yang saya post bahkan ada juga yang DM. Saya rasa sangat bertuah kerana memiliki keluarga yang baik, sahabat-sahabat dan followers yang hebat. Merekalah yang sering mendorong saya ke depan.
Banyak pengorbanan Mama dan Papa yang tak mungkin dapat saya balas dengan wang ringgit. Demi memudahkan kerja saya, mereka sanggup buat apa saja. Salah satu detik menyentuh hati yang tak mungkin saya lupakan sampai bila-bila ialah Mama dan Papa sanggup pindah rumah demi memudahkan saya ke tempat kerja. Ketika itu kami sekeluarga masih tinggal di rumah lama kami.
Disebabkan saya mengalami kesukaran kerana tiada transport untuk ke tempat kerja (ketika itu masih bergelar pramugari), setiap hari saya akan memandu pukul 2-3 pagi dan terpaksa menempuh perjalanan yang sangat jauh dari Bandar Baru Selayang ke Subang.
Disebabkan Mama dan Papa terlalu ambil berat tentang saya mereka sanggup pindah ke Pantai Hill Park. Mereka sangat lega kerana di Pantai Hill Park banyak transportation yang boleh pick up and drop saya ke airport. Itu merupakan pengorbanan yang sangat besar daripada Mama Papa. Saya amat bersyukur dan rasa bertuah memiliki mereka.”
NASIHAT BISNES
“Nasihat saya, dalam bisnes ni usah takut dengan pesaing selagi ia memberi kesan yang positif. Bagi saya adakalanya seorang usahawan itu memerlukan pesaing untuk tingkatkan bisnesnya. Bila ada cabaran dan pesaing barulah seseorang itu dapat meningkatkan lagi kemampuannya sekaligus dapat mencari kelebihan diri.
“Jangan letakkan diri kita terlalu atas, sombong dan selalu rasa the best. Hidup ini ibarat roller coaster. Kadang-kadang kita di atas, kadang di bawah. Ini yang selalu saya tanam dalam diri. Setiap hari adalah learning process.
Kalau kita lihat orang lain lebih baik daripada kita jangan rasa cemburu atau dengki. Belajarlah dengan kelebihan dan kebaikan bagaimana dia menjadi sangat sukses dan kaya. Itu yang kita nak bila berbisnes. Dengan izinNya kita akan berjaya, tak kira lambat atau cepat.
Kalau lambat pun ia mengajar kita untuk sentiasa bersabar. Sebab kalau suatu hari kita diduga dengan saat kejatuhan maka kita tahu bagaimana nak handle situasi. Maka, persaingan adalah pencetus kekuatan untuk kita seterusnya bisnes menjadi lebih baik.
Superpower saya ialah jujur dengan apa yang dilakukan. Begitu juga dalam bisnes, persahabatan dan perhubungan. Bagi saya seorang superwoman haruslah melindungi dan mencintai dirinya terlebih dulu kemudian barulah insan-insan tersayang di sekelilingnya.”
Kredit Foto: Sherry Ibrahim