Sabarnya Hanis Zalikha layan karenah Yusuf Iskandar waktu shooting muka depan Nona pertengahan bulan lalu. Setiap kali anak kecil ini merengek manja minta dibelai, ibu muda berusia 28 tahun ini segera mendapatkan putera kesayangan. Ada ketika, dia menurut saja kemahuan Yusuf kerana enggan mengganggu emosi anak ini memandangkan sesi fotografi masih belum selesai.
Hampir seharian bersama Hanis, tidak pernah sekali pun isteri kepada Hairul Azreen ini menunjukkan reaksi marah terhadap kelakuan lasak Yusuf. Jauh sekali mahu meninggi suara. Walau jelas kelihatan riak letih di wajah, Hanis tetap melayan anak sulungnya itu dengan matang dan diplomatik meskipun Yusuf baru mencecah usia dua tahun. Sebagai selebriti yang cukup dikenali dan memiliki jutaan pengikut di laman media sosial, apa saja yang dilakukan Hanis dan Hairul pasti menjadi ikutan. Termasuklah soal didikan anak.
Apabila diminta berkongsi nasihat yang diberikan ibu bapanya sebaik saja dia bergelar ibu kepada Yusuf, ini jawapan jujur Hanis. “Nasihat yang paling berguna sekali dari ibu bapa kepada ibu bapa yang lain adalah cara kita didik anak kita dengan terbaik yang kita rasa baik untuk mereka. Kita saja yang tahu lebih rapat (tentang anak) dan apa yang terbaik untuk mendidik anak masing-masing. Bila orang bagi input yang banyak, benda sesuai ke tak sesuai, ikut saja keselesaan kita dan suami iaitu ayah kepada anak kita sendiri. Jadi, kena tahu apa yang terbaik. Jangan pening-pening kalau orang itu cakap macam ni, orang ni cakap macam tu. Kita sendiri kena pilih yang terbaik.”
Menjadikan Victoria Beckham sebagai wanita yang dikagumi, Hanis cukup suka dengan falsafah yang dipegang oleh penyanyi popular daripada kumpulan Spice Girls itu. “Saya cukup mengagumi Victoria Beckham kerana dia tahu apa yang dilakukannya di dalam bidang perniagaan. Semua orang boleh berniaga tetapi berniaga yang paling puas adalah apabila kita tahu yang kita menawarkan barangan dan juga produk yang kekal benar dengan diri. Sebagai contoh, Victoria Beckham tidak menghasilkan baju-baju yang dia sendiri tidak pakai.
Begitu juga dengan saya, baik daripada perniagaan makanan tambahan kecantikan Tojour Advanced ke kosmetik Shade Dough sehinggalah selendang Cakenis, setiap satu jenama ini merupakan item yang saya gunakan selalu. Jadi saya sendiri berpuas hati dan tahu sesiapa sahaja yang membeli akan merasakan perkara yang sama. Selain itu, saya juga mengagumi cara Victoria membesarkan anak-anaknya dengan kehidupan yang normal.
Walaupun dia sangat busy tapi sentiasa nampak cantik dan kemas. Itu yang saya jadikan inspirasi sebab kadang-kadang bila dah jadi mak, kita mula fikir ‘Ah.. tak apalah, tak perlu pakai macam ni, keluar rumah biasa-biasa saja. Yang penting anak.’ Sebenarnya kita pun kena nampak cantik dan yakin, ” ujar wanita anggun ini yang telah dua tahun bergelar duta kepada busana lebaran Jakel bersama keluarga tercinta.
Mengakui jadual seninya agak sibuk tahun ini dengan pelantikan duta produk Anmum Essential dan program realiti My Little Heroes yang menampilkan Yusuf dan kucing peliharaannya, Bujibu, tegas Hanis walau sesibuk mana pun dia akan tetap fokus menjaga Yusuf dengan sebaik mungkin.
Melihat Hanis dan suami mendidik anaknya agar sayang dengan haiwan menjauhkan stigma bahawa kanak-kanak tidak patut didedahkan dengan kucing ketika kecil nyata mendapat perhatian ramai pihak. “Memang ramai cakap sewaktu saya mengandung dulu lagi yang kucing tidak bagus untuk bayi. Namun saya tidak mengambil pusing apa orang cakap, sebaliknya kadang-kadang Bujibu tidur sekali dengan saya yang sedang mengandungkan Yusuf ketika itu. Bagi saya kasih sayang kepada haiwan adalah satu cara terapi diri yang baik.
Kalau nak tahu sejak Yusuf dilahirkan saya sudah memperkenalkan dia kepada Bujibu. Alhamdulillah tiada masalah yang memudaratkan kesihatan Yusuf seperti asma ataupun alergik. Bujibu menjadi penghibur utama Yusuf yang senang ketawa. Bayangkan tengok Bijibu gerakkan ekor pun dia boleh ketawa.”
Ditanya apakah harapan Hanis dan suami apabila Yusuf meningkat dewasa kelak, “Saya dan Hairul selalu cakap apa-apa pun kami hendak Yusuf membesar jadi orang baik. Itu paling penting. Kalau dia bijak itu alhamdulillah, berbakat juga alhamdulillah. Semua itu pemberian Allah tapi yang utama sekali kami mahu didik dia jadi orang yang baik.”