Setiap kali menatap berita buang bayi seperti sampah, dilempar ke dalam sungai dan diratah ulat daging, hati Nona bagai dihiris-hiris. Betapa tergamaknya mereka… Ya Tuhan!
Tak dapat digambarkan betapa sakitnya hati ini apabila mendapat tahu tentang penemuan bayi yang dibuang. Bagi si pelakunya, nyawa anak seakan tidak berharga sedangkan dalam waktu yang sama, banyak pasangan lain yang mengharapkan tangisan seorang anak.
Menyedari seorang bayi diselamatkan bermakna sebuah kehidupan terjamin, Yayasan OrphanCare bangkit dengan inisiatif membantu komuniti yang terdesak mencari jalan keluar.
Penubuhan Baby Hatch, suatu masa dulu pernah diselar kerana dianggap menggalakkan maksiat. Namun lama-kelamaan, masyarakat mula membuka mata akan betapa pentingnya pusat ini untuk melindungi dan membela nasib bayi tak berdosa.
Lokasi Baru
Mengumumkan perubahan lokasi baru pusat OrphanCare dari Kampung Tunku ke Bukit Gasing, Petaling Jaya, ruang Baby Hatch di sini menjanjikan pelbagai kemudahan kondusif seperti ruang pendingin hawa, bantal dan tilam bayi, pencahayaan, kamera litar tertutup serta sensor pengesan berat bayi. Terdapat juga penggera khas untuk memaklumkan penjaga apabila seseorang bayi dimasukkan ke dalamnya.
“Kami sedar bahawa kaedah ini hanya sebahagian solusi untuk membendung gejala pembuangan bayi yang menular. Pihak OrphanCare akan terus memberi ceramah tentang kesihatan reproduktif kepada para pelajar dan ibu bapa di seluruh Malaysia serta menekankan tentang pentingnya memikul tanggungjawab terhadap salah laku mereka,” ujar Pengerusi Yayasan OrphanCare, Tan Sri Faizah Tahir.
Dengan perubahan lokasi yang lebih strategik dan selesa ini, diharapkan agar lebih banyak nyawa bayi dapat diselamatkan dan diserahkan kepada keluarga angkat yang penyayang.
Sehingga kini, sebanyak 272 bayi telah diselamatkan dengan 172 daripadanya telah diserahkan kepada ibu bapa angkat. Bakinya sebanyak 100 telah dikembalikan kepada ibu kandung masing-masing melalui sesi kaunseling, dimana pihak OrphanCare berusaha menekankan pentingnya hubungan ibu-anak.
Lokasi Yayasan OrphanCare kini terletak di 54, Jalan 5/60 Off Jalan Gasing, Petaling Jaya, Selangor. Ia juga beroperasi di dua buah lokasi lagi di Sungai Petani, Kedah dan Johor Bahru. Norzalina Mohd Alias
This website uses cookies.