
Dalam mengejar kesenangan hidup, adakalanya wanita leka dengan 3 perkara ini. Tambahan pula bila sudah mendapat gelaran dan berada di puncak kerjaya.. ada di antara kaum wanita yang mula merasa bongkak hingga timbul perasaan riak. Reaksi tersebut nyata mengundang rasa kurang senang bagi penceramah motivasi terkenal, Datuk Prof Dr Che Muhaya yang dianugerahkan Nona Motivator Award sempena Nona Superwoman Award, semalam.
Sambil menggalakkan lebih ramai wanita mencipta pelbagai kejayaan dalam apa jua bidang kelak, Datuk Prof Dr Muhaya turut berkesempatan menzahirkan maksud tersurat di sebalik istilah inspirasi. Jelasnya, “Bila kita sebut inspirasi.. in spirit – dalam roh. Bila inspirasi, kita buat sesuatu daripada jiwa kita dan menyentuh jiwa lain. Siapa yang bekerja dengan inspirasi atau menjadi sumber inspirasi akan memberi kesan yang lebih besar daripada hanya fizikal saja.”
Ditanya bagaimana untuk menghindarkan diri daripada perkara yang mendorong kepada kemurkaan Allah SWT, dalam nada tenang dan bersahaja beliau melontar bicara.
“Kita nak wanita di luar sana kejar 3 perkara. Kebanyakan wanita yg silap dia kejar 3 perkara yang luaran. Contohnya nak cantik, nak lawa, nak famous, nk kaya. Ini semua boleh menyebabkan penyakit hati sebab nak lawa ada orang lawa lagi, nak kaya ada orang kaya lagi.. jadi takkan habis.Itu dunia.. itu topeng saja.
Sebaik-baiknya, kita nak orang kejar 3 perkara ini. Apa dia? Pertama, akhlak yang baik. Kedua, silaturrahim yang baik iaitu hubungan dengan semua orang pun baik dan ketiga beri manfaat sebanyak mungkin. Itu yg hebat!”
Pastinya, setiap bait kata yang dituturkan Datuk Prof Dr Muhaya mampu menyuntik semangat, inspirasi dan aura luar biasa kepada sesiapa pun yang mendengarnya. Bagi Nona, Datuk Prof Dr Muhaya dikurniakan kelebihan dari Allah SWT yang mampu meneutralkan emosi serta semangat seseorang hanya dengan melalui kata-kata. Sesungguhnya Nona Motivator Award memang selayaknya diberikan kepada wanita hebat ini.
Bekas Anak Kapal Gigih Cari Rezeki, Kini Nazirah Miliki Pusat Kecantikan Kereta, Hotel & Grooming Kucing!

Nazirah Azenan, 34 tahun merupakan bekas pramugari dan kini menjadi seorang usahawan sukses. Mempunyai kelulusan Diploma Hotel Management UITM, dia kini rancak menguruskan perniagaan pusat kecantikan kenderaan yang bertempat di Taman Dutamas Balakong, Cheras.
“Saya dan suami bertugas sebagai pramugari dan pramugara di syarikat penerbangan tempatan selama 4 tahun. Namun kami ditamatkan kontrak semasa pandemik 2020. Bagi meneruskan kehidupan mencari rezeki, kami memulakan perniagaan makanan pada bulan Ramadan.
Sambil itu suami melatih saya tentang kecantikan kenderaan dan kami mulakan servis polish kereta dari rumah ke rumah selama lebih kurang dua bulan.
Ada juga yang pandang serong apabila kami datang membuat servis ke rumah. Sesetengahnya tinjau kami dari tingkap takut kami mencuri.
Kami pernah travel ke beberapa buah negeri seperti Perak, Melaka dan Pulau Pinang untuk buat servis ni.
Saya belajar semua dari suami saya dan kami menghabiskan masa menonton YouTube untuk mendapat lebih ilmu tentang servis yang kami tawarkan.
Setelah kewangan mengizinkan, kami membuka sebuah kedai yang menawarkan servis menyeluruh kecantikan dan perincian kenderaan.
Alhamdulillah, dengan izin Allah juga, kami telah membuka pusat untuk hotel dan grooming kucing bertempat di kawasan yang sama. Saya amat bersyukur dengan perjalanan hidup yang kami lalui, ada rahmat di sebaliknya selagi kita sentiasa ingin berusaha dan melakukan sesuatu kerja itu dengan ikhlas kerana Allah SWT,” jelas Nazirah memulakan cerita perkembangan empayar perniagaannya.
Sekarang Nazirah menumpukan sepenuh perhatiannya kepada membina strategi pemasaran dan mencari pelanggan untuk perniagaannya. “Saya masih hands-on dengan skill polish disebabkan saya tak mahu kehilangan skil yang dipelajari. Untuk perniagaan hotel dan kecantikan kucing, saya hands-on untuk kecantikan kucing disebabkan minat yang mendalam dan seorang pencinta kucing. Saya menghadiri kelas bagi mendapatkan sijil lengkap grooming kucing dan sangat aktif dalam rescuing cats.”
Antara peristiwa yang menyentuh hati dalam perniagaan? “Paling menyentuh hati saya dan suami, apabila bekas Perdana Menteri Tan Sri Muhyidin Yassin menyebut nama kami dalam perutusan MCO dan menjadikan kami contoh buat golongan yang terkesan sewaktu pandemik.
Ini membuatkan saya lebih semangat untuk mendalami bidang yang kebiasaannya diterajui lelaki. Kerja ini memerlukan tenaga yang banyak tapi alhamdulillah pada masa yang sama saya mengambil pekerjaan berat yang saya buat untuk membantu suami dan juga untuk berjaya bersama-sama,” jelas Nazirah sambil melemparkan senyuman kesyukuran.
Sebagai seorang usahawan, pastinya banyak cabaran yang terpaksa dilalui terutama dengan keadaan wabak sekarang.
“Ya! Ekonomi masih ups and downs, bisnes juga ada turun naik disebabkan kecantikan kereta bukanlah satu keperluan utama. Ada sesetangah musim seperti musim hujan, pelanggan akan berkurang kerana mereka berpendapat, tak perlu mencantikkan kereta pada musim hujan. Kebanyakan pelanggan masih lagi dalam zon untuk berjimat disebabkan ekonomi yang semakin pulih. InsyaAllah saya percaya, semua sektor akan terus rancak mewarnai ekonomi negara.”
Bagi Nazirah tiada istilah berputus asa dalam hidupnya. “Harus kita beringat juga, bila bisnes naik memuncak, pilih peluang itu untuk kaut dan simpan keuntungan untuk masa hadapan. Kita perlu sentiasa konsisten dan kreatif dalam apa sahaja perniagaan yang kita laksanakan.
Mulakan sesuatu dengan matlamat, cari matlamat. Apabila memulakan perniagaan, apa yang kita nak? Apa yang kita target? Kejar sampai dapat. InsyaAllah.”
Kata akhir Nazirah, “Harapan saya untuk melihat lebih ramai wanita berani mencuba dalam apa jua bidang dan jangan cepat mengalah walaupun kena mula dari bawah.”
Pencinta Kucing & Muzik, Tun Dr Siti Hasmah Dedah Rahsia Penyayang!

“Sehingga sekarang saya sangat bersyukur dilahirkan sebagai seorang doktor wanita Melayu Islam yang mampu memberi sumbangan besar terhadap masyarakat,” ujar penyandang Nona Superwoman Award 2020, Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali berusia 94 tahun itu.
Sepagi di kediaman rasmi Tun Hasmah di Jalan Kuda Emas, Seri Kembangan, bagai melestarikan mimpi kami. Nyaman suasana hijau di perkarangan, lengkap tugu Pak Belang menghiasi landskap dan seni bina banglo retro itu. Tun Hasmah turun dari lif dipimpin seorang pembantu, tak lekang senyumannya, ramah dan mesra berjenaka seperti selalu.
Tidak sah berbual dengan Tun Hasmah jika tidak mengimbau nostalgia lama. Rumah klasik ini sarat dengan memorabilia serta gantungan foto-foto bersejarah sejak Tun Dr Mahathir Mohamad memegang jawatan nombor satu Malaysia sebanyak dua kali.
Ada juga ruang menempatkan piano serta biola yang digeseknya setiap minggu. Ketika pandangan merayau meninjau koleksi-koleksi tersebut, perhatian penulis tertancap di sebuah ruang menonton TV.
“Inilah tempat rehat kegemaran saya. Hari-hari tengok TV dan ikut perkembangan kes COVID-19 di sini. Saya mesti akan tengok berita dan tunggu Dr Noor Hisham ke udara,” cerita Tun Hasmah sambil menunjukkan sofa tempat beliau selalu berbaring.
Sofa empuk dan seekor kucing hitam gebu bernama Blackie menjadi teman Tun Hasmah ketika suaminya keluar bertugas.
Tidak jemu dengan rutin yang sama? Soal penulis sambil mengusap leher Blackie yang manja. Tun Hasmah menggeleng. “Dah biasa,” jawab beliau perlahan sambil melemparkan senyuman.
Benarlah sifat penyayang itu miliknya. Karakter lembut Tun Hasmah sebenarnya adalah tenaga terkuat sepanjang mengenali wanita hebat berusia 94 tahun ini.
Beliau yang sudah cukup masak dengan kesibukan suami tercinta sempat berseloroh, “Tun Mahathir tu rajin bekerja… cubalah kalau boleh suruh dia (Tun) berhenti,” ujar Tun Hasmah sebelum berkongsi rahsia kuat ingatannya kepada followers Nona.
Sanjungan penulis terhadap Tun Hasmah tumbuh sejak zaman persekolahan lagi. Beliau mendukung karakter seorang isteri pemimpin yang sebenar, yang sentiasa menyokong jatuh bangun kerjaya suami tanpa jemu.
Rasa kagum terhadap doktor wanita Melayu kedua di Malaysia itu kian bertambah apabila melihatkan kesihatan Tun Hasmah yang tidak banyak terjejas kecuali penglihatan. Syukur alhamdulilah.
“Dari segi pemakanan tu, macam biasa je. Saya tak boleh makan pedas. Tapi saya suka sayur terung yang disambal, ikan kering dan lauk kuah-kuah… Selain tu saya cuba kurangkan nasi dan makan mihun sup yang menyihatkan.
Diet Tun Mahathir pun sama. Dia makan apa saja kecuali ikan. Tapi bila ke Jepun, anehnya dia suka pula makan ikan mentah macam sashimi (ketawa). Apa pun bila pasal makan, lebih elok kita bersederhana,” cerita Tun Hasmah yang merupakan nenda kepada 18 orang cucu itu.
Anak kelahiran Klang, Selangor ini menamatkan pengajian perubatan di Kolej Perubatan King Edward VII, Singapura sebelum bergelar mahasiswi perubatan dari Fakulti Perubatan Universiti Malaya, Singapura (ketika itu) pada tahun 1955.
Banyak pengalaman Tun Hasmah sewaktu berkhidmat sebagai doktor perubatan lewat tahun 1955 di Kedah dikongsi bersama penulis. “Negeri Kedah pada waktu itu masih dalam suasana luar bandar, dihuni ramai penduduk miskin dan rata-ratanya buta huruf.
Saya masih ingat, pihak hospital sering dipersalahkan apabila kami gagal untuk menyelamatkan nyawa seseorang gara-gara sikap masyarakat yang konservatif dan lambat mendapatkan rawatan.
Sehingga sekarang saya sangat bersyukur dilahirkan sebagai seorang doktor wanita Melayu Islam yang mampu memberi sumbangan besar terhadap masyarakat.
Sebagai bekas pegawai perubatan, saya amat terhutang budi kepada mantan Perdana Menteri kedua, Allahyarham Tun Abdul Razak yang sangat mengambil berat tentang kesusahan masyarakat luar bandar,” luah Tun Dr. Siti Hasmah yang turut mengagumi kepimpinan Tun Fatimah Hashim itu.
Perkahwinan Tun Hasmah dan Tun Mahathir mencecah usia 64 tahun. Rahsia perkahwinan suami isteri ini sudah tentulah bergantung pada sifat mengalah dan bersabar dengan ombak badai yang menghempas rumah tangga mereka.
Jelas ibu kepada Marina, Mirzan, Melinda, Mokhzani, Mukhriz, Maizura dan Mazhar itu lagi, sebagai isteri, kepercayaan itu amat penting.
“Orang kata behind every successful man, there is a woman. Kalau kata-kata ini dibacakan depan saya, saya akan jawab ‘No. Behind every successful man, there is a woman, not any woman but his wife’. Kadangkala saya tambah lagi, not any wife but first wife!” tutur Tun Hasmah serius.
Sekilas kata-kata itu mengingatkan penulis pada hantaran Facebook Tun Mahathir (klik sini) beberapa bulan lepas.
Perkahwinan mereka yang sudah melewati ulang tahun Jubli Intan menjadikan apa jua perkongsian cinta berkenaan keduanya begitu indah untuk dijadikan panduan.
“Sebagai isteri, kita harus percaya dan yakin suami kasih dan sayang. Setiap pasangan mesti ada keyakinan sebegitu supaya tiada kebimbangan di hati.”
Nasihat Tun Hasmah, seandainya berlaku konflik dalam rumah tangga, belajar selesaikan dengan matang pada waktu dan tempat yang sesuai.
“Ada ketikanya saya tergelincir juga dalam kata-kata hingga menyebabkan dia berdiam diri. Kadangkala dalam motokar pun dia diam. Tak boleh buat-buat cakap. Itu tandanya ada sesuatu yang tak kena. Jadi sampai rumah kami akan selesaikan,” kongsinya tentang petua kebahagiaan.
Tidak hanya terkenal sebagai isteri pemimpin negara dan doktor perubatan, bonda Tun Hasmah terus meniupkan inspirasi kepada generasi wanita moden seperti kita semua agar lebih bijak menguruskan keluarga serta memberi masa untuk menjaga diri sendiri.
Dari hobinya yang suka menulis, bermain muzik dan mengambil tahu perihal isu semasa, beliau jelas melambangkan sisi Nona Superwoman yang sebenar… She’s truly a living legend.
Penyelaras & Penulis: Norzalina Mohd Alias
Penata Gaya: Kiffy Razak
Foto: Sharinizam Othman
Solekan: Emma Mustafa
Dandanan: Dr Rajavel
Demi Negara DATUK LEONG MUN YEE Tekad Lahirkan Ramai Pelapis Dengan Akademi Terjun

Berkat dedikasi dan semangat juang tinggi, pencapaian demi pencapaian berjaya digenggaminya. Beliau antara atlet terbaik dengan prestasi mengagumkan di Malaysia. Selepas berbakti hampir 27 tahun pada negara, sudah tiba masanya Datuk Leong Mun Yee memberikan fokus pada diri dan misi peribadinya.
Mesra disapa Angela, meski namanya mungkin tidak sepopular atlet legenda yang lain, namun rentetan pembabitan aktif dan dedikasi serta minat mendalam dalam sukan akuatik dan terjun, namanya diiktiraf dalam Malaysia Book of Records apabila menjadi atlet wanita pertama melayakkan diri ke Sukan Olimpik sebanyak lima kali. Pecapaian yang bukan calang-calang.
Apatah lagi Datuk Mun Yee jarang sekali mengecewakan setiap kali beliau beraksi, dan namanya kekal sebagai salah seorang atlet yang sentiasa menyumbangkan pingat setiap kali penyertaannya.
DEDIKASI
Seawal 10 tahun dirinya dah diperkenalkan dengan sukan terjun. “Asalnya saya seorang perenang, kemudian beralih ke sukan terjun selepas terpilih menjadi sebahagian daripada pasukan terjun perintis negara untuk menyertai Sukan Komanwel 1998,” ujar Datuk Mun Yee membuka bicara.
Akui Datuk Mun Yee, ibu bapanya yang mengalakkan beliau mengambil bahagian dalam sukan ini. “Pada tahun 1995 Majlis Sukan Negara ada membuat pemilihan penerjun bagi skuad Komanwel. Saya dibawa ke sesi tryout dan saya merupakan salah seorang daripada enam yang dipilih untuk mewakili pasukan kebangsaan dan bertanding di acara penuh berprestij itu.”
Bayangkan di usia kanak-kanak lain yang gembira membesar dan bergembira di samping keluarga tersayang, beliau pula perlu berjauhan dari keluarga dan berpindah ke Kuala Lumpur untuk menjalani latihan dalam mempersiapkan dirinya demi bergelar atlet yang sewajarnya dibanggakan.
“Waktu itu, saya sering kali menangis kerana rindukan keluarga, apatah lagi dengan latihan yang intensif dan penuh disiplin, sudah pasti ada masanya saya gagal mengawal perasaan, namun saya tahu pasti akan berbaloi suatu hari nant,” ujar bekas atlet berusia 38 tahun yang berasal dari Ipoh ini.
Orang ramai ingat sukan terjun ini mudah, hanya perlu tahu lompat dan terjun. Salah tanggapan itu. Sukan terjun memerlukan penguasaan dari segi aspek emosi, fizikal dan teknikal. Terjunan memerklukan fokus, silap sikit akan mengakibatkan kesilapan entry. Malah, untuk terjunan sempurna seseorang perlu menjalani latihan yang bertahun-tahun lamanya, dan percayalah ia tidak mudah.”
Pada 2009, Datuk Mun Yee mencipta sejarah dalam arena sukan akuatik dan terjun apabila memenangi pingat terjun pertama 10m platform seirama bersama pasangannya Datuk Pandelela Rinong di Kejohanan Akuatik Dunia pada 2009. Sepanjang 27 tahun terbabit dalam sukan terjun, Datuk Mun Yee yang juga berpengalaman sebagai model sambilan itu dah menyumbangkan 17 pingat emas, lima perak dan lima gangsa di temasya dwi tahunan Sukan Sea.
Datuk Mun Yee sentiasa dilihat sentiasa tampil menawan dan kekal fit. Dah namapun atlet kan? Apa rahsia Datuk? “Sewaktu PKP, memandangkan kita semua kena duduk di rumah saya dah mula menjinakkan diri dalam aktiviti tarian. Untuk mengekalkan kecergasan, saya ada juga belajar shuffle dance tapi sekadar di peringkat asas sajalah. Tapi bila sudah tidak lagi bergelar atlet sepenuh masa, rutin harian berbeza sedikit tetapi saya tetap kekal aktif dengan latihan ringan seperti bermain bola tampar dengan atlet-atlet lain.”
Sepanjang dirinya bergelar atlet, membuktikan Datuk Mun Yee sememangnya wanita yang layak dijadikan inspirasi untuk wanita lain. Atas itu juga, beliau turut dikurniakan Pingat Mahkota Wilayah (PMW) sekaligus membawa gelaran Datuk dalam Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Wilayah Persekutuan.
PERSARAAN
Walaupun hampir 3 dekad menabur bakti mengharumkan nama Malaysia dan menyambar pelbagai kejohanan baik dalam mahupun luar negara, sekitar awal tahun lalu Datuk Mun Yee secara rasminya mengumumkan persaraannya dalam sukan berprestij itu dan temasya Sukan Olimpik Tokyo 2020 menjadi pentas terakhirnya. Mengakui sukar membuat keputusan tersebut, namun dirinya akur dengan takdir dan percaya pada perancangan Tuhan untuknya.
Menepis dakwaan dirinya bersara atas faktor kesihatan, Datuk Mun Yee sememangnya sudah lama merancang pelan persaraannya, untuk memberikan fokus kepada kehidupan peribadinya yang selama ini tertangguh kerana tanggungjawab terhadap negara.
“Saya rasa sudah sampai masanya untuk saya mengundurkan diri dalam sukan ini, dan mulai fokus pada perancangan masa hadapan,” ujar Datuk Mun Yee yang kini menggalas tanggungjawab sebagai seorang pengurus dan jurulatih untuk pasukan kebangsaan terjun negara dengan harapan walaupun dirinya sudah bersara namun kekal menyumbang bakti dalam sukan tersebut.
Baca artikel penuh penerima NONA Active Award – Datuk Leong Mun Yee di majalah NONA edisi Januari 2023 yang sudah pun berada di pasaran.
Saksikan video temubual eksklusif NONA bersama Datuk Leong Mun Yee menerusi pautan di bawah:
Konsep: AZNIZA AZIZ | Arahan Seni: KIFFY RAZAK | Teks & Penyelaras: WAN MOHD FIRDAUS | Foto: AZFARINA SULAIMAN | Solekan: ANN KARIM | Tajaan Lokasi: RITZ CARLTON KL