Perasaan putus cinta itu memang menyakitkan. Hati seolah rasa dihempas dan hancur berderai. Untuk mencantumkannya kembali mungkin mengambil masa yang lama.
Malah, ada juga yang bertekad untuk terus menutup pintu hati kerana tidak mampu menerima hakikatnya yang memeritkan. Sama seperti artis terkenal, Zulin Aziz yang juga pernah mengalami patah hati dalam satu episod cinta yang memeritkan sebelum dipertemukan dengan cinta sejati, Farhan Norzaini.
Menerusi satu muatnaik video di laman Instagram miliknya, Zulin pernah berkongsikan bagaimana cara yang dilakukanya untuk ‘move on’ dan meneruskan kembali kehidupan hingga pandangan berkenaan menjadi inspirasi kepada kaum hawa.
Jangan Biarkan ‘Luka’ Di Hati Tak Di Rawat!
“Assalamualaikum, ramai yang DM tanya saya macam mana cara Kak Zulin move on. Tengok saya gelak ‘hahaha’ macam tak ada masalah. Tapi hati saya Allah sahaja yang tahu.
“Apa yang boleh saya katakan adalah manusia datang dan pergi dalam hidup kita. Jadi saya selalu rasa begini. Bila dia pergi, saya percaya ada yang baik akan menggantikannya. Kalau saya tutup pintu hati saya, maksudnya saya tinggalkan kesan yang tidak baik di hati saya.
Jangan Tutup Pintu Hati, Yakin Ada Yang Lebih Baik Menanti
“Di mana perasaan akhir yang ada di hati saya adalah kekecewaan. Rugilah. Kita tak boleh tutup pintu hati kita. Kita buka pintu hati kita sebab kita kena percaya Allah akan gantikan dengan yang lebih baik.
“InsyaAllah, selepas dengan ujian Allah akan gantikan dan hadiahkan dengan kebahagiaan, InsyaAllah. Yang paling penting doa, tawakal, berserah, kuatkan iman kita pada Allah semoga kita ditemukan dengan orang yang baik.
Ternyata di balik tawa seseorang itu, siapa yang menyangka apa yang dirasai di dalam hati kan? Moga para wanita di luar sana terus diberi kekuatan oleh Tuhan. InsyaAllah, jodohmu pasti akan sampai jua.
Kini Zulin Aziz telah pun bahagia bersama suami tercinta setelah diijabqabulkan sejak lebih setahun yang lalu pada tanggal 20 Februari 2022 yang lalu. Meski masih belum dikurniakan rezeki menimang cahaya mata, Zulin tetap terihat bahagia disamping suami tercinta!
Majalah Nona ada juga di Telegram. Mudah nak akses artikel menarik dan video-video terkini. Follow kami sekarang di SINI!
kredit: instagram @zulinaziz
Gelaran Ibu, Tak Halang ERNIE ZAKRI Kekal Di Puncak Kerjaya! Makin Ligat..
Memulakan kerjaya sebagai anak seni seawal usia belasan tahun, rezeki pemilik nama penuh Nur Ernie Shahirah Zakri atau lebih selesa disapa sebagai Ernie Zakri dilihat semakin murah apabila bakat suara yang dikurniakan ilahi berjaya membawa namanya sebaris dengan penyanyi gah negara.
Malah, meskipun kini sudah dua tahun bergelar ibu kepada seorang cahaya mata, namun figura ini sentiasa tampil menawan setiap kali membuat persembahan. Memiliki tubuh badan genit, wajah yang jelita serta bersuara lunak menjadikan penyanyi ini antara barisan selebriti yang memiliki pakej yang lengkap.
Ernie Zakri Tetap Komited Urus Kerjaya! Meski Dah Bergelar Ibu
Ketika ditemui team NONA, Ernie Zakri mendedahkan bahawa peranan ibu sebagai bukanlah penghalang bagi dirinya untuk terus ligat berkarya dalam industri muzik tempatan, pelantun lagu Ku Bersuara ini komited untuk memberikan yang terbaik kepada peminat-peminatnya.
Bukan itu sahaja, penyanyi yang pernah menjuarai Bintang RTM 2019 ini juga pernah melayakkan diri ke Anugerah Juara Lagu ke-37 menerusi lagu Korban. Sudah terang lagi bersuluh, wanita ini tidak pernah lelah untuk mencapai impiannya.
Namun, statusnya yang kini bergelar ibu dan juga sebagai seorang selebriti yang sentiasa menjadi tumpuan lensa kamera serta bualan netizen, semestinya mahu tampil sebaik mungkin di laman sosial untuk tatapan peminat istimewanya.
Pun begitu, menurut ibu kepada Nur Khawla Soleha, untuk tampil sempurna di media sosial bukanlah perkara yang mudah. Sudah pasti istilah ‘kesempurnaan’ itu sukar untuk dicapai sebagai manusia biasa. Tetapi, ia bukanlah alasan untuk tidak menjadi yang lebih baik dari semalam.
“Manusia Tak Pernah Lari Dari Kesilapan..” – Ernie Zakri
Jujurnya, untuk menjadi sempurna di laman sosial bukanlah perkara yang mustahil. Apatah lagi, kita sebagai manusia tidak pernah lari dari kesilapan. Tetapi, harus diingat, kita sentiasa menjadi yang lebih baik dari semalam.
Bagi dirinya sebagai seorang selebriti, dan juga memiliki bilangan pengikut yang ramai di laman sosial, dia menggunakan sehabis baik untuk menyebarkan nilai-nilai positif.
Kongsinya lagi, untuk tampil sempurna di laman sosial pastinya menjadi impian semua orang. Namun, usahlah jadikan laman sosial sebagai platform yang menyebarkan nilai negatif.
“Kita tidak mungkin jadi sempurna, namun cubalah jadi yang lebih baik.
“Berbaiklah dengan yang lain dan berilah komen dan kata-kata yang positif. Usah terlalu mudah untuk menghukum di laman sosial sehingga memberi kesan buruk kepada orang sekeliling,” ujarnya.
Sekadar info, Ernie Zakri mendirikan rumah tangga bersama suami tercinta, Syamel atau nama sebenar Syameel Aqmal Mohd Fodzly pada Mac 2021 dan dikurniakan seorang cahaya mata, Nur Khawla Sofea.
Majalah Nona ada juga di Telegram. Mudah nak akses artikel menarik dan video-video terkini. Follow kami sekarang di SINI!
Sumber Foto: Instagram Ernie Zakri
Lepas Kejayaan Naelofar Hijab, DATIN NOOR KARTINI Terajui Young & Glow Pula!
Selepas meraih pelbagai kejayaan menerusi empayar muslimah Naelofar Hijab, kini ibu kepada Noor Neelofa Mohd Noor mencabar potensi diri dengan menceburi industri kosmetik pula. Sebagai seorang usahawan yang sering ‘dahaga’ idea dan pencapaian terbaharu di samping ingin terus membina legasi, ibu berusia 53 tahun ini pantas mencari peluang dan melibatkan diri dalam satu lagi cabang perniagaan. Kali ini sebagai usahawan kecantikan di bawah jenama miliknya, Young & Glow Cosmetic.
Sudah lebih setahun berada di pasaran, produk ini telah pun meniti di bibir peminat dunia kecantikan dek kerana kualiti dan harganya yang berpatutan. Bermula dengan hanya satu
produk iaitu bedak asas, kini Young & Glow memiliki rangkaian produk kosmetik sendiri. Antaranya termasuklah variasi jenis gincu bibir.
“Bercerita tentang idea tercetusnya Young & Glow ini adalah apabila saya terima sampel foundation ini buat kali pertama beberapa tahun lepas. Daripada sampel tersebut saya dapati teksturnya sangat ‘wow’ jika dibandingkan dengan bedak asas yang pernah saya pakai sebelum ini. Walaupun ia buatan Malaysia tapi tidak keterlaluan kalau saya katakan kualitinya mengalahkan produk jenama antarabangsa.
Alhamdulillah, dah setahun lebih Young & Glow ada di pasaran sejak ia dilancarkan pada 8 Oktober 2018. Saya juga amat berbesar hati memaklumkan yang sehingga kini, kami
sudah pun mempunyai beberapa rangkaian iaitu Young & Glow Foundation, Neelofa X Young & Glow Lip Matte, Young & Glow Lipstick, Lip Remover dan Neelofa X Young & Glow Lip Matte Letop juga.”
Walau masih bertatih mencari rentak dalam industri kosmetik namun pencapaian Young & Glow yang berusia kurang dua tahun ini cukup membanggakan. Mana tidaknya, selain berjaya menjual ratusan ribu unit produk dalam tempoh yang singkat Datin Noor Kartini juga berjaya membuka jalan kepada ramai wanita termasuk suri rumah untuk menjana pendapatan sendiri.
Apatah lagi produk yang dipasarkan memenuhi cita rasa dan mampu dimiliki. Young & Glow Foundation misalnya merupakan produk paling laris kerana bukan sekadar dilengkapi dengan formulasi bedak asas malah merangkumi manfaat pelembap, serum dan pelindung sinar UV SPF 45.
Menariknya, bedak asas 4 dalam satu ini sesuai dijadikan set lengkap rawatan kulit harian memandangkan ia jimat dan mudah dibawa ke mana-mana. Inovasi Young & Glow
sudah pasti menjadikan pengguna kelihatan cantik dan tampil awet muda tanpa perlu mengeluarkan belanja besar. Hanya dengan RM60, kulit wajah sudah dilitupi sempurna.
“Keistimewaannya Young & Glow Foundation ini ialah ia empat dalam satu. Dah ada serum, moisturiser, SPF 45 dan juga bedak foundation. Selain itu, keunikan lainnya ialah kerana ia tidak ada kod warna. Maksudnya, hanya ada satu kod warna saja dan ia boleh masuk untuk semua tona kulit. Itulah keistimewaan Young & Glow Foundation berbanding produk-produk lain. Bukan semata-mata digunakan untuk bersolek tetapi juga merawat kulit wajah.”
Tambah Datin Noor Kartini lagi, Young & Glow Foundation mudah sekata dengan apa juga tona kulit, tidak melekit, tidak berminyak dan ringan. Bahkan penggunaannya mampu bertahan sehingga dua ke tiga bulan. Sebanyak 200 ribu unit foundation berjaya dijual dan Neelofa X Young & Glow Lip Matte first edition yang dilancarkan pada November 2019 dah sold out sebanyak 100 ribu unit dalam masa setengah jam sahaja.”
Formulasi Neelofa X Young & Glow Lip Matte diperkaya dengan vitamin E, argan oil, grape seed oil dan marine collagen. Enam pilihan warna ditawarkan untuk koleksi ini yang
setiap satunya mencerminkan identiti Neelofa iaitu Aquarius, Tiga, Kelantan, MRSM, Lotus dan Nona.
Aquarius contohnya ialah zodiak kelahiran Neelofa, Tiga pula menjelaskan kedudukan beliau sebagai anak ketiga, Kelantan membawa maksud negeri kelahiran, MRSM ialah tempat Neelofa bersekolah, Lotus adalah makna namanya dan Nona merupakan permulaan kerjaya Neelofa dalam bidang pengacaraan.
Cukup kreatif Neelofa menggambarkan personalitinya kepada pengguna melalui produk gincu bibir keluaran Young & Glow.
Lebih menarik, sapuan Neelofa X Young & Glow Lip Matte di bibir menyerlahkan efek natural, berbau harum, tidak menggelapkan warna bibir, tidak melekit, tahan lama dan ringan. Satu lagi koleksi terbaru gincu bibir Neelofa adalah Lip Matte Letop yang mengetengahkan enam variasi warna iaitu Light Base, Medium Base, Dark Base, Dewi, Single dan 1989.
Seperti Neelofa X Young & Glow Lip Matte, koleksi ini turut menjelaskan refleksi diri Neelofa yang pernah menjuarai Pencarian Dewi Remaja, status diri yang masih ‘single’ dan tahun kelahirannya iaitu 1989. Tidak ketinggalan, Young & Glow Lipstick yang ditawarkan dengan harga RM48 seunit di samping memiliki lima pilihan rona menarik bertemakan Kindness, Devotion, Gracious, Patience dan Strength.
View this post on InstagramA post shared by Noor Kartini Noor Mohamed (@noorkartini) on
Ujar Neelofa, “Buat masa ini kami baru keluarkan edisi kedua untuk lip matte dan koleksi pertama gincu bibir. InshaAllah, kita akan keluarkan lebih banyak koleksi dengan variasi berlainan. Dari segi bungkusan, ia sangat berbeza dengan produk lain yang ada di pasaran.
Namun, apa yang paling penting adalah formulasi setiap lip matte dan gincu yang dikeluarkan. Untuk lip matte, formulasi yang digunakan saya boleh sifatkan sebagai terbaik. Saya sendiri suka menggunakannya. Setakat ini, ramai yang memberi respon yang
baik.
Pun begitu, target kami untuk mengembangkan jenama ini tidak terlalu drastik. Bermula dengan lip matte dan gincu, mungkin kami akan menghasilkan maskara dan pemerah pipi pula. Tapi yang lebih penting, kami perlu faham pasaran terlebih dahulu sebelum menghasilkan produk-produk berkenaan.”
Mengulas kewujudan jenama Young & Glow adalah atas kehendak dan permintaannya sendiri, selebriti cantik ini bagaimana pun tampil menjelaskan perkara sebenar. “Idea untuk
menghasilkan Young & Glow Cosmetic sebenarnya datang daripada ibu saya sendiri. Tambahan pula, ramai pengusaha yang keluar dengan kosmetik sendiri. Jadi selepas adik saya, Ameera memasarkan LMK (Little Miss Khan) Cosmetics, kini giliran ibu saya pula.”
“Perjalanan Ke Masjid Al-Aqsa Sangat Mendebarkan, Meremang Bulu Roma” DATUK SERI SITI NURHALIZA
Sesiapa pun yang berpeluang mengunjungi Masjid Al-Aqsa di Palestin buat pertama kalinya pasti akan merasa takjub dan sujud syukur, sukar diungkapkan kenikmatannya. Dapat melihat keindahan Dome of the Rock (Kubah Shakhrah) yang berkubah emas. Burung-burung yang berterbangan turut sama bertasbih memuji kebesaran Allah SWT.
Pada 17 Mei yang lalu, adik kepada Datuk Seri Siti Nurhaliza iaitu Siti Sairah Tarudin telah berkongsi satu video di Instagram yang memaparkan detik terindah kakaknya itu yang pertama kali menjejakkan kaki ke Masjid Al-Aqsa. Menurut Siti Sairah, video yang berdurasi 0.58 saat itu dirakam pada tahun 2017. (Lihat video di akhir artikel)
Nona berpeluang menemu bual Datuk Seri Siti Nurhaliza secara ekslusif bagaimana pengalamannya ketika pertama kali menjejakkan kaki ke bumi anbiya itu. Sangat tersentuh dengan apa yang dikongsi oleh artis jelita ini. Rupa-rupanya Masjid Al-Aqsa ada kisah tersendiri buat Datuk Seri Siti Nurhaliza. Sambil menulis, penulis membayangkan keindahan Masjid Al-Aqsa yang menjadi ‘harta paling berharga’ buat seluruh umat Islam. Beruntungnya Datuk Seri Siti Nurhaliza dapat jejakkan kaki ke sana, rezeki!
“Alhamdulillah saya rasa sangat bersyukur kerana pernah menjejakkan kaki sekali ke Masjid Al-Aqsa bersama suami dan juga rombongan ahli keluarga yang lain. Memang impian nak ke tanah haram (kiblat pertama umat Islam). Perjalanannya memang mendebarkan tetapi bila sampai di Masjid Al-Aqsa kita akan rasa sangat tenang.
Melihat kepada environment di sana sangat menarik dan ia membuatkan kita teruja. Perasaan berdebar-debar tu bukan apa, sebab kawasan tersebut dijaga oleh pihak Israel. So setiap border, setiap pintu masuk ke Masjid Al-Aqsa dikawal ketat oleh polis dan pihak Israel.
Pun begitu, mereka tidak mengganggu pelancong luar, sebab itu kita rasa selamat. Selama ni kita sering mendengar dan rasa ‘takut-takut’ tetapi alhamdulillah segalanya berjalan lancar tanpa sebarang gangguan mahupun perkara-perkara yang mencurigakan.
Pengalaman pertama kali ini cukup bermakna, saya sukakan persekitarannya yang sangat tenang dan indah. Sukar diungkapkan bila berada di Masjid Al-Aqsa. Perasaannya tu sama seperti saya pergi ke Mekah kerana dapat melihat 3 agama yang sangat kuat iaitu Islam, Kristian dan Yahudi.
KEISTIMEWAAN
Bagi sesiapa yang membaca kisah dan sejarahnya, Palestin ini adalah tanah anbiya di mana Nabi-Nabi dilahirkan termasuklah kisah-kisah sejarah berlaku di sana. Di situlah juga tanahnya sangat subur dan berkah. Ketika di sana saya dibawa ke tempat yang sangat bersejarah dalam Islam. Ustaz yang bawa kami tu bercerita tentang di mana Nabi Isa a.s diangkat, akan ada Imam Mahadi, dan banyak lagi. Jadi, depan mata saya dapat lihat peninggalan sejarah-sejarah Islam termasuk para Nabi syuhada membuatkan kita lebih bersemangat untuk lebih menyayangi Masjid Al-Aqsa.
Di dalam Masjid Al-Aqsa terdapat banyak mimbar. Salah satunya ialah tempat Nabi Zakaria a.s berdoa agar dikurniakan zuriat. Dekat situlah juga saya berdoa untuk ambil keberkatan, berdoa sebelum saya ambil proses IVF sebelum dapatkan Aafiya. Saya betul-betul berada di tempat Nabi Zakaria a.s berdoa. Seronok sampai meremang bulu roma.
Bila tengok dalam Masjid Al-Aqsa tu, kebanyakan orang-orang Palestin sama ada yang lelaki mahupun perempuan mereka duduk sambil membaca dan menghafaz Al-Quran. Ada bapa-bapa yang menjaga anak-anak mereka yang menghafaz Al-Quran membuatkan saya rasa sangat kagum. Sebab itulah Masjid Al-Aqsa ni sangat hebat.
Suasananya berbeza dengan masjid-masjid lain yang pernah saya jejaki contohnya Masjid Nabawi tempat kita mengerjakan umrah dan haji. Cuma sejarah awal Masjid Al-Aqsa ada keistimewaannya tersendiri. Dari segi dekorasinya pula, tidak banyak pembaharuan kerana masih mengekalkan sejarah seni bina lamanya. Cuma apa yang saya lihat, dalam Dome of the Rock tu kubahnya sangat cantik dari segi architecture serta tulisan khatnya. Ini termasuklah tempat ‘ajaib’ di mana batu tergantung itu sangat mengkagumkan.
KAGUM DENGAN WANITA & ANAK-ANAK PALESTIN
Kita dilahirkan di tempat yang berbeza dengan semangat yang berbeza, Allah Maha Besar dan Maha Mengetahui. Dia memilih mereka yang tertentu untuk berada di tempat yang tertentu. Kita seharusnya bersyukur kerana kita ditempatkan di negara yang tidak berperang dan tidak perlu berjuang dari segi mempertahankan tempat kita seperti mana di Palestin. Wanita-wanita Palestin ditakdirkan Allah SWT berada di tempat yang memerlukan mereka untuk berjihad, berjuang mempertahankan Masjid Al-Aqsa.
Selain wanita, saya juga kagum dengan anak-anak kecil Palestin. Semangat mereka tercetus apabila melihat perjuangan dan pengorbanan ibu bapa mereka. Manakala kita di Malaysia harus mendidik anak-anak agar lebih bersyukur dan menghargai keamanan. Didik mereka agar lebih banyak bersedekah serta membantu mereka yang dalam kesusahan.
Memang berbeza situasi kita dengan mereka. Maka, untuk mendidik anak-anak paling penting ialah ajar mereka tentang adab dan tahu menghargai sesuatu. Dari situ mereka akan tahu bagaimana untuk saling mengasihi sesama insan. Kalau mereka tahu orang-orang di negara luar sedang dalam kesusahan, kita didik anak-anak menjadi seorang yang bermurah hati untuk membantu.
Saya percaya, rakyat Palestin sebenarnya lebih kuat daripada apa yang kita sangka. Mereka redha dengan apa yang berlaku, kita sendiri pun tak sanggup. Kekuatan mereka sangat luar biasa! Saya kagum terutama wanita dan kanak-kanak di sana, mereka insan berani.
Kepada seluruh rakyat Malaysia, apa yang mampu kita berikan, contohnya dari segi wang ringgit untuk membantu mereka mendapatkan bantuan ubat-ubatan dan keperluan asas. Doa adalah senjata terbaik umat Islam. Marilah kita sama-sama berdoa semoga Allah SWT menurunkan keajaiban seterusnya peperangan ini dapat dihentikan. Yang penting Masjid Al-Aqsa terus dilindungi.
Semua ini sudah pun tertulis dalam Al-Quran. Sekarang ini masa untuk kita bersatu serta banyakkan berdoa agar rakyat Palestin dilindungi dan Allah SWT turunkan malapetaka ke atas Israel.
SALUR SUMBANGAN
Menerusi syarikat saya, memang ada perancangan untuk membuat kutipan bagi membantu rakyat Palestin. Bantuan secara peribadi pun ada termasuk bersama suami. Kami juga ada contact di Gaza iaitu sahabat kami sendiri untuk membantu saudara mara kita yang memerlukan di sana. Alhamdulillah kami cuba lakukan yang terbaik untuk membantu.”
Kredit: Instagram @ctdk @sitinursairahtarudin