Wanita memainkan peranan yang penting dalam pelbagai aspek kehidupan termasuk keluarga, pendidikan, ekonomi, sosial, politik, kesihatan, dan seni budaya. Mereka adalah tunjang keluarga, pendidik, dan penjaga nilai moral serta penyumbang besar kepada ekonomi melalui pelbagai sektor pekerjaan.
Semalam telah berlangsung Malam Gala Ibu Inspirasi Mingguan Wanita dan Majalah NONA yang bertujuan memartabatkan figura ibu hebat yang berjasa dan menjadi inspirasi kepada masyarakat itu.
Mingguan Wanita dan NONA dengan bangganya menganjurkan program “Sehebat Wanita Ini,” yang bertujuan untuk meraikan dan mengiktiraf sumbangan wanita-wanita hebat di Malaysia. Program ini merupakan inisiatif daripada team Wanita di Ideaktiv bertujuan mengetengahkan kisah-kisah inspirasi, pencapaian luar biasa, dan dedikasi wanita-wanita yang telah memberi impak besar dalam pelbagai bidang.
Program sehari yang berlangsung dari pagi hingga malam ini terbahagi kepada dua (2) aktiviti iaitu “Forum Anak Syurga” berlangsung pada sebelah siang dihoskan oleh Nani Roslan yang dibawakan oleh Al Kauthar Eduqids yang menampilkan panel-panel seperti Dr. Norzila Zakaria, selebriti Zarina Zainuddin, Datin Nor Fadilah Alias, Norhaidda Hassan, Dr Malar, Fynn Jamal dan Dr Robiah K Hamzah yang mengupas mengenai isu perkembangan, kesihatan dan kecerdasan anak-anak istimewa.
Seramai 500 orang ibu bapa yang mempunyai anak-anak istimewa yang menyertai forum ini yang menunjukkan betapa besarnya minat dan keperluan untuk membincangkan topik-topik seperti Power Up Mental & Fizikal, Kapsul Sihat & Cergas Dan Anak Istimewa Selangkah Ke Syurga. Forum ini bukan sahaja memberikan platform untuk berkongsi ilmu dan pengalaman tetapi juga bertujuan untuk membina komuniti sokongan antara ibu bapa yang mempunyai anak-anak istimewa. Melalui perkongsian ini, diharapkan para ibu bapa dapat memperoleh pengetahuan baru, sokongan moral, dan inspirasi dalam menjaga dan membesarkan anak-anak mereka.
Manakala pada sebelah malamnya berlangsung “Ibu Inspirasi Gala Night Mingguan Wanita dan NONA” yang dibawakan oleh Al Kauthar Eduqids di mana wanita-wanita hebat ini diraikan pada majlis “Ibu Inspirasi Gala Night Mingguan Wanita dan NONA” yang gilang-gemilang bertempat di Hotel Seri Pacific, Kuala Lumpur. Kebawah Duli Yang Maha Mulia (KDYMM) Sultanah Nur Zahirah, Sultanah Terengganu dan YAM Tengku Puteri Daulath Raja Tengku Fatimatuz Zahra binti Al-Wathiqu Billah Sultan Mizan Zainal Abidin mencemar duli berangkat menyerikan majlis. Yang Berhormat Datuk Seri Dr Noraini Ahamd, Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat juga turut hadir ke malam gala ini.
“Ibu Inspirasi Gala Night Mingguan Wanita dan NONA” bertujuan memartabatkan dengan memberi anugerah kepada ibu-ibu dan wanita -wanita berjaya dalam pelbagai bidang. Malam Gala ini dirancakkan lagi dengan pengacara terkenal Fiza Frizzy dan persembahan nyanyian oleh artis Atilia Haron dan ibunya Salamiah Hassan serta Mila Jirin. Ia merupakan malam yang penuh dengan kegemilangan, di mana pencapaian dan dedikasi wanita-wanita ini akan diraikan dengan penuh kemeriahan.
Wanita seringkali dikaitkan dengan mempunyai kesabaran dan kekuatan dalaman yang tinggi. Melalui program “Sehebat Wanita Ini,” Mingguan Wanita dan Nona ingin menonjolkan sifat-sifat murni ini yang telah mendorong wanita-wanita di Malaysia untuk mencapai kejayaan walaupun menghadapi pelbagai cabaran dalam kehidupan.
“Program ‘Sehebat Wanita Ini’ bukan sahaja platform untuk meraikan kejayaan tetapi juga untuk memupuk jaringan sokongan antara wanita. Ia adalah satu inisiatif daripada Mingguan Wanita dan Nona dalam menghubungkan wanita-wanita hebat ini dengan peluang-peluang baru, sumber-sumber penting, dan hubungan yang boleh membantu mereka berkembang dan berjaya dalam bidang masing-masing. program ini akan menjadi pemangkin kepada perubahan positif dan kemajuan wanita di Malaysia.”
Program ini menampilkan wanita-wanita dari pelbagai latar belakang, termasuk usahawan, selebriti, ahli profesional, serta individu-individu yang telah membawa perubahan positif dan memberi impak positif dalam masyarakat.
Dengan dua aktiviti utama ini, program “Sehebat Wanita Ini” tidak hanya meraikan kejayaan dan sumbangan wanita, tetapi juga memberi peluang untuk pendidikan dan sokongan komuniti yang sangat diperlukan. Ideaktiv berharap bahawa inisiatif ini akan menjadi satu titik permulaan kepada lebih banyak program dan aktiviti yang memberi manfaat kepada wanita-wanita di Malaysia.
Editor Pengurusan Grup Wanita, Kiffy Razak berkata, “Kami sangat bangga dapat memainkan peranan dalam penganjuran program ‘Sehebat Wanita Ini.’ Melalui inisiatif ini, kami berharap dapat memberi penghormatan kepada wanita-wanita yang telah menunjukkan dedikasi dan keberanian yang luar biasa. Kami ingin menyampaikan mesej bahawa setiap wanita memiliki potensi untuk mencapai perkara-perkara hebat dan program ini adalah platform untuk meraikan dan mengiktiraf sumbangan mereka. Diharapkan program ini dapat menginspirasikan lebih ramai untuk mengejar impian mereka dan memberi sumbangan yang bermakna kepada masyarakat.”
Pengasas Al Kauthar Eduqids, Datin Dr Nor Fadilah Alias berkata “Forum Anak Syurga Al Kauthar Eduqids ini merupakan platform yang sangat bermakna untuk berkongsi ilmu, pengalaman, dan inspirasi dalam usaha Al Kauthar Eduqids mendidik anak-anak syurga, khususnya mereka yang berkeperluan khas. Al Kauthar Eduqids komited dalam menyediakan pendidikan inklusif yang terbaik, memastikan setiap anak mendapat peluang yang sama untuk berkembang dan berjaya. Semoga dengan adanya forum ini, kita dapat memperkukuhkan lagi usaha Al Kauthar Eduqids dalam memberikan yang terbaik untuk anak-anak syurga kita”.
“Selain itu, hari ini, kita berkumpul untuk meraikan Ibu Inspirasi, wanita-wanita hebat yang telah menunjukkan ketabahan, kasih sayang, dan komitmen yang luar biasa dalam membentuk keluarga dan masyarakat. Mereka adalah contoh teladan yang bukan sahaja menginspirasi kita semua tetapi juga membuktikan bahawa peranan seorang ibu adalah sangat berharga dan tak ternilai. Semoga pengiktirafan ini menjadi sumber inspirasi kepada kita semua untuk terus menghargai dan menyayangi ibu-ibu dalam kehidupan kita. Kepada semua Ibu Inspirasi, tahniah diucapkan, dan semoga terus sukses dalam setiap langkah yang diambil” tambah Datin Dr Nor Fadilah Alias lagi.
Senarai Penerima Anugerah Ibu Inspirasi Mingguan Wanita dan NONA.
This website uses cookies.