Jatuh bangun dalam perniagaan sudah menjadi lumrah. Ramai usahawan berjaya mengakui pengalaman pahit yang diharungi ketika membina empayar perniagaan sangat berharga. Berjaya melalui onak dan duri dalam bisnes jadi pemangkin semangat untuk terus berjuang hingga ke puncak jaya.
Semangat juang yang ada dalam diri wanita yang berusia 34 tahun ini akhirnya memberi sinar bahagia buatnya. Melalui pengalaman 11 tahun dalam dunia perniagaan benar-benar mematangkan usahawan makanan, Farhah Izzati Haris ini.
Tempuh pengalaman pahit apabila kerap ditipu dan dianiaya oleh musuh dalam selimut dalam dunia perniagaan bukan alasan untuknya berundur serta menyerah sebelum kalah.
“Kalau ikutkan pengalaman, memang sejak daripada sekolah rendah lagi saya dah suka berniaga. Apa sahaja barang boleh dijual, saya akan jual. Sampai kawan-kawan sekolah ‘cop’ muka saya sebagai kedai runcit bergerak.
Masa di universiti pun saya jual pakaian seperti hijab dan baju. Saya juga ada membuat kerjasama kecil dengan rakan perniagaan di Jakarta, Indonesia menjual aiskrim yogurt bergerak,” kongsi usahawan muda ini.
CABARAN
“Pengalaman menjual sejak kecil ini sedikit sebanyak membina keyakinan kita untuk terus berdepan dengan segala cabaran dunia perniagaan. Ketika masih lagi bergelar siswi, saya nekad buka sebuah kafe menggunakan hasil wang simpanan sejak berniaga kecil-kecilan dulu.
Pada awalnya, mak dan ayah kat kampung memang tak setuju dengan keputusan saya. Sebolehnya mak dan ayah mahu saya mengikuti jejak langkah mereka bekerja di pejabat.
Tapi akhirnya mereka menyokong setelah melihat sendiri keupayaan saya untuk berjaya dalam bisnes,” ujar wanita yang memegang Ijazah Sarjana Muda Pemasaran Perniagaan dari University of Wales Cardiff ini.
Sememangnya mengusahakan perniagaan berasaskan F&B bukan semudah yang disangka. “Memang betul, orang melihat saya sebagai usahawan yang berjaya walaupun masih lagi bergelar pelajar. Kafe sentiasa penuh, orang datang berpusu-pusu dan ramai memuji menu masakan saya.
Namun, ramai yang tak tahu saya kerap ditipu dalam perniagaan. Ditipu yang bukan sedikit malah puluhan ribu. Lebih terhiris apabila kena tipu dengan orang yang paling rapat. Memang betul kata orang, biasanya musuh kita adalah orang yang paling kenal siapa diri kita ataupun ‘musuh dalam selimut’.
Sehinggakan pada ketika itu saya membuat keputusan mengajak kedua ibu bapa saya untuk bertenang dan memujuk hati dengan menunaikan umrah di tanah suci.
Akaun simpanan saya sampai negatif dan terpaksa menjual kafe. Jual kafe pun kena tipu juga sehingga saya tak tahu nak buat apa pada masa itu. Tapi saya sangat bersyukur kerana tak ambil masa yang lama untuk pulihkan semangat.
Kalau nak menangis, menangislah puas-puas tapi jangan ambil masa yang lama. Paling lama, seminggu cukup dan kita perlu bangkit untuk meneruskan usaha. Setiap yang berlaku pasti tersimpan hikmah yang kita tak nampak,” ucap wanita yang mesra disapa Izzaza juga gemar melancong ini.
DANA KERAJAAN
“PKP 1.0 lalu juga sebuah hikmah buat saya apabila berjaya mohon peruntukan Geran Khas Prihatin (GKP). Dengan duit RM3000 itu saya bangkit semula. Dalam pada itu, saya juga bersyukur kerana mewarisi resipi sajian Istana Negeri Perak.
Ini kerana arwak opah saya dulu seorang tukang masak di Istana Iskandariah Kuala Kangsar. Mujur saya masih simpan buku resipi sajian Istana arwah opah yang dibukukan oleh ibu saya.
Sedikit sebanyak dapat saya kongsi menu kegemaran Almarhum Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Idris II Al-Mutawakkil Allahahi Afifullah Shah Ibni Almarhum Sultan Iskandar Shah Kadasullah,” tutur Pengasas Bersama Kek Terbang ini.
Tambahnya lagi, “Saya bangkit dari kegagalan berbekalkan duit GKP dan resipi arwah opah jual kek mentega. Mungkin juga dah nama rezeki, waktu PKP orang tak keluar rumah, kek mentega saya laris terjual.
Sampai ada satu ketika saya bakar hampir lebih 60 buah kek sehari. Semua saya buat seorang diri tapi alhamdulillah saya berjaya. Saya tak ada masa nak meratapi nasib akibat kena tipu dan siapa yang akan tolong kita kalau bukan diri kita sendiri.
Selain itu, saya menerima tempahan katering signature dish daripada beberapa syarikat korporat dan majlis kenduri ketika saya masih buka kafe dulu, antaranya Nasi Kambing dan Laksa Kuala Kangsar. Sehingga kini saya masih menerima tempahan daripada pelanggan yang dah biasa menikmati dua hidangan ini.
Nasihat saya, dalam situasi sekarang kita tak boleh nak memilih sangat. Apa sahaja yang kita usaha pasti akan ada hasil dan percaya bahawa setiap orang ada rezeki masing-masing.
Apa yang penting kita perlu berdisiplin, sentiasa tambah ilmu dan kekalkan momentum untuk terus berjaya. Yang lain-lain kita serahkan kepada Allah SWT,” tutur Izzaza yang memiliki Ijazah Sarjana Psikologi Perniagaan dari Heriott Watt University, Scotland ini mengakhiri perbualan.
This website uses cookies.