Pilih kawan
Kata orang, kawan sekeliling kita melambangkan siapa diri kita. Jadi, pilihlah kawan yang betul-betul boleh membawa kesan positif. Beberapa tips ini boleh menjadi panduan untuk anda memilih teman.
Berwawasan tinggi
Jika anda sedang menyimpan impian u tuk lebih maju dalam hidup, tak kiralah dari segi kerjaya, perniagaan atau kehidupan, pilihlah teman yang boleh membantu anda ‘mendaki’ tangga yang ingin dituju. Anda perlukan orang yang positif dan sentiasa berfikiran terbuka.
Anda juga perlu menerima kehadiran teman baru ini dengan hati terbuka. Mungkin anda sudah biasa bersama teman yang ‘sama’ dan inilah masanya untuk anda keluar dari zon selesa.
Mempunyai nilai sama
Kata orang, jika pasangan berlainan pemikiran, dia pelengkap hidup kita. Tetapi berbeza pula jika hendak memilih kawan. Lebih baik pilih teman yang mempunyai nilai dan kepercayaan sama kerana anda boleh mendapatkan penghormatan dari segi pandangan. Malah, mereka juga lebih lantang menyuarakan pendapat.
Matlamat sama
Mungkin kita boleh gelarkan mereka ‘purpose partners’. Bila kita mempunyai teman dengan misi serupa, anda boleh bekerjasama dengan lebih baik dan mendorong di antara satu sama lain dengan lebih kuat untuk mencapai matlamat.
Teman ‘seimbang’
Kita semua ada kekuatan dan kelemahan. Itu normal kan? Memilih kawan dengan betul, anda sebenarnya berkongsi bakat, skil dan keupayaan mereka untuk menyuntik kekuatan kepada diri anda juga. Begitu juga sebaliknya.
Teman memberi motivasi dan mendorong
Tentu kita tak mahu memilih teman yang asyik murung dan berfikiran negatif setiap masa. Lebih kuat semangat seseorang, lebih tinggi harapan untuk anda juga mengecapi impian dan berfikiran lebih terbuka dan positif. Jangan kekang hidup anda dengan memilih kawan yang tak membantu kehidupan!
Teman rai kejayaan
Bukan saja anda perlukan teman yang menyokong perjalanan anda, tetapi teman yang turut meraikan kejayaan anda. Teman yang baik akan meraikan setiap pencapaian dan kejayaan yang dikecapi.
Malah, Ustaz Muhamad bin Abdullah Al-Amin atau lebih dikenali sebagai Ustaz Amin turut berkongsi di dalam sebuah video di laman Instagram.
“Delete kawan-kawan yang melalaikan kita. Di dalam hadis Nabi sebut, seorang akan terpengaruh dengan akhlak kawan-kawannya. Delete atau left group yang send benda-benda tak baik pada kita. Biar kawan tak ramai tapi berkualiti,”katanya.