Meskipun sudah berusia lewat 40an namun stamina Permaisuri Thailand ini kekal bertenaga. Seorang wanita yang aktif dan gemar melakukan pelbagai jenis sukan, Permaisuri Suthida Bajrasudhabimalalakshana kian mendapat perhatian masyarakat dunia selepas bergelar isteri kepada Raja Maha Vajiralongkorn kira-kira lima tahun lalu.
Siapa sangka, wanita cantik Thailand yang dulunya pernah bertugas sebagai pramugari kini wanita pertama Negara Gajah Putih berkenaan! Dari kerjaya di awan biru, Permaisuri Suthida memasuki bidang ketenteraan diraja sebelum dilamar ‘majikan’ dan kini bergelar Permaisuri Thailand.
Dilahirkan pada 3 Jun 1978 di Songkla, Thailand, portal Royal Central UK melaporkan Permaisuri Suthida ialah anak kepada Kham dan Jangheang Tidjai. Baginda memiliki Ijazah Sarjana Muda dalam Seni Komunikasi pada tahun 2000.
Selepas tamat pengajian, Permaisuri Suthida menyertai JALways Airlines selama tiga tahun sebagai pramugari. Baginda kemudian berhijrah ke Thai Airways dari tahun 2003 hingga 2008 sebelum menyertai Royal Thai Army pada tahun 2010.
Permaisuri Suthida turut pernah berkhidmat sebagai Royal Security Command. Pada 1 Disember 2016, Baginda dinaikkan pangkat sebagai Jeneral dan Komander Unit Operasi Khas King’s Guard. Tidak sampai setahun, Baginda menerima pelantikan Komander Royal Thai Aide-de-camp.
Oktober 2017, Baginda menerima First Class the Most Illustrious Order of Chula Chom Klao apabila Raja Maha Vajiralongkorn menaiki takhta.
Bagaikan sudah terbiasa dengan aktiviti lasak dan mencabar, Permaisuri Suthida pada Jun lalu memperoleh lesen motobot dan perahu layar dari Switzerland dan RYA Coastal Skipper dari Itali.
View this post on Instagram
Malah, Baginda juga aktif menyertai perlumbaan sukan pelayaran di samping Raja Thailand.
Bukan itu saja, dalam satu majlis kesukanan di daerah Phichit di Thailand, Permaisuri Suthida membuat kejutan menunggang basikal BMX!
Terbaharu, Baginda berkenan berangkat ke Majlis Makan Malam Gala di Islamic Fashion Festival atas jemputan Duli Paduka Baginda Tengku Ampuan Pahang Tunku Azizah. Berangkat sama ialah DYMM Sultanah Kelantan Sultanah Nur Diana, DYMM Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Norashikin dan DYMM Sultanah Terengganu Sultanah Nur Zahirah.
Istana Thailand mengumumkan Raja Vajiralongkorn berkahwin dengan Permaisuri Suthida pada tahun 2019. Pasangan ini berkahwin pada 1 Mei 2019 yang menyaksikan upacara perkahwinan disiarkan secara langsung di kaca televisyen.
Pada 4 Mei, Suthida secara rasmi diisytihar Her Majesty Queen Suthida (Somdet Phra Nang Chao Suthida Bajrasudhabimalalakshana Phra Borommarajini).
Dikurniakan raut wajah cantik, penampilan Permaisuri Suthida yang sopan dan bijak berfesyen juga menarik perhatian rakyat Thailand.