Pelakon tampan Norman Hakim memanjatkan kesyukuran diberi kesempatan meraikan hari jadi anak keduanya yang ke-18 tahun iaitu Marissa Dania bersama dengan keluarga termasuk bersama famili bekas isterinya Abby Abadi di sebuah resort terkenal di Kuantan, Pahang.
Menerusi hantaran yang dimuat naik di Instagram milik Norman atau nama penuhnya Mohamed Nurhakim Zaidon, kelahiran Marissa mengingatkan dirinya saat kelahirannya bersama bekas isterinya Abby Abadi bersalin di dalam kereta.
“18 tahun lepas Allah pilih mama untuk lahirkan adik dalam kereta dan pilih papa untuk sambut kelahiran adik juga dalam kereta. Momen yang takkan papa lupakan seumur hidup. Hari ni walau dah 18 tahun, momen tu macam baru je semalam berlaku. Bezanya adik dah besar cantik depan mata Alhamdulillah,” tulisnya.
Selain itu, pelakon sasa berusia 47 tahun itu mengagumi sikap Marissa yang solehah, pandai berdikari dan bijak.
Dalam pada masa yang sama, Norman Hakim turut mendedahkan tidah pernah meninggalkansolat sunat dan hajat dan sentiasa mendoakan yang terbaik terutamanya berkaitan hati dan perasaan anaknya jika satu hari nanti mencintai lelaki yang salah.
“Hari-hari papa tak pernah tinggal solat hajat doakan untuk semua anak-anak papa. Khusus untuk adik, hari-hari papa doa supaya Allah tutup pintu hati adik ke atas mana-mana lelaki kecuali nawaitu lelaki itu tulus dan ikhlas nak jadi imam buat adik dan bimbing adik ke Jannatul Firdausi,” ungkapnya.
Di akhir perkongsian, Norman Hakim berharap anaknya sentiasa berada di bawah lindunganNya. Untuk rekod, Norman dan Abby pernah berkahwin pada 2002 dan berpisah pada 2009, dan memiliki tiga orang anak bersama. Kini, kedua-duanya bahagia dengan pasangan masing-masing.
***
Majalah Nona juga ada di Telegram. Mudah nak akses artikel menarik dan video-video terkini di sini. Jemput sertai sekarang –> https://t.me/majalahnona
***