Diberi peluang berada di atas pentas bersama wakil dari seluruh dunia membuatkan Kimi Tomas bersemangat untuk meneruskan impiannya sehingga dinobatkan ‘Mrs Global Asian 2023’ yang berlangsung di Melaka pada Mac lalu.
Memetik perkongsian di Utusan Borneo Online, wanita berusia 35 tahun ini turut memenangi ‘Best National Costume’ serta tiga tempat teratas bagi kategori ‘Darling of the Crowd’.
“Pertandingan edisi pertama ini disertai 22 delegasi dari sembilan negara sudah pasti membuatkan saya teruja, apatah lagi mewakili Sarawak, sekali gus wakil dari Borneo.
“Ini merupakan satu pencapaian terbesar dalam hidup, sudah pasti saya amat berterima kasih kepada keluarga, sahabat handai serta mereka yang menyokong dan kata-kata semangat buat saya sejak dari mula hingga akhir pertandingan,” katanya.
Kimi yang menetap dan bekerja di Kuala Lumpur turut berterima kasih kepada Tiara Management & Leading Management yang diasaskan Leo Raynold yang juga dari Sarawak dan Nickson Sim kerana memberi peluang untuknya menyerlah dalam pertandingan tersebut.
Malah, Kimi bertuah kerana berpeluang memperagakan gaun malam dan kostum tradisional yang direka khas pereka Sarawak Gilbert Headhunter.
Menerusi pencapaiannya itu, Kimi mahu semangat yang ada padanya menjadi contoh kepada golongan wanita untuk terus bersemangat dalam menggenggam kejayaan.
Malah, kejayaan yang dicapainya itu turut membanggakan dirinya bukan sahaja sebagai seorang wanita yang mempunyai kerjaya serta berumahtangga, tetapi juga sebagai rakyat Sarawak dan mewakili masyarakat Dayak di mata dunia.
Jelas Kimi, pertandingan berprestij dunia itu memberi peluang kepada kaum wanita untuk menyerlahkan diri bukan sahaja menonjolkan peranan seorang wanita bahkan menjadi landasan untuk mewakili wanita di dunia menyuarakan pendapat serta kesedaran yang diperjuangkan.
“Sekiranya anda (wanita) diberi peluang dalam apa jua bidang atau pertandingan, lakukan yang terbaik dan semampu yang boleh. Saya yakin kejayaan itu akan menjadi milik anda.
“Jangan pernah putus asa, rezeki kita memang berbeza namun pencapaian kita pastinya indah dan membuahkan hasil bila kita bersungguh-sungguh,” UNGKAPnya.
Semoga Kimi terus sukses dan menjadi inspirasi buat seluruh wanita.
Kredit Foto: Utusan Borneo Online
Majalah Nona ada juga di Telegram. Mudah nak akses artikel menarik dan video-video terkini di sini. Follow kamii sekarang di https://t.me/majalahnona
This website uses cookies.