
MashaAllah, kuatnya iman Imam Masjid As-Syuhada di Bali ini. Dalam keadaan kelam-kabut dan jemaah lari bertempiaran menyelamatkan diri saat gegaran gempa bumi melanda Lombok Ahad lalu, tindakan Imam yang teguh menunaikan solat tersebut nyata menerbitkan rasa kagum di kalangan umat Islam seluruh dunia.
Sesungguhnya beliau membuktikan rasa takut itu hanya kepada Allah dan kepada-Nya juga kita berserah nasib hidup atau mati.
Meskipun rakaman video yang berdurasi seminit dan memaparkan sebahagian detik cemas yang berlaku di Bali itu berlaku dalam tempoh singkat.. namun kesannya cukup menginsafkan!
Dari paparan itu jugalah kita sedar betapa kecilnya manusia. Ajal mungkin datang menjemput pada bila-bila masa walaupun ketika dalam keadaan beribadat. Allahu, bertuahnya mereka yang dikurniakan ‘pemergian’ sebegitu rupa.
Menurut laporan yang dikongsikan Astro Awani, gegaran kuat di Masjid As-Syuhada, Bali mencecah 7.0 skala richter yang menggoncang wilayah Lombok, Nusa Tenggara Barat, Indonesia sekaligus menyebabkan beberapa jemaah meninggalkan saf pada rakaat kedua.
Kejadian cemas yang berlaku 5 Ogos lalu itu juga adalah kali kedua Lombok dilanda bencana gempa bumi selepas gegaran pertamanya pada 29 Julai lepas mengorbankan seorang rakyat Malaysia, Siti Nur Iesmawida Ismail ketika gegaran gempa bermagnitud 6.4 skala richter.
Warisi Kecantikan & Berusia 25 Tahun, AZURA ABDUL KARIM Kongsi Keistimewaan Sarah Amanda

Ke mana tumpahnya kuah kalau tak ke nasi. Anak gadis kepada bekas penyampai berita tersohor era 90-an, Azura Abdul Karim ini cantik manis orangnya. Bijak dalam akademik menjadi pelengkap kepada Sarah Amanda Sahrudin yang merupakan anak ke-4 dalam keluarga.



Sarah Amanda atau mesra disapa sebagai Yaya, merupakan lulusan universiti luar negara.

Namanya pernah menjadi tular sehingga menjadi bualan warga maya di atas kecemerlangan yang dikecapinya dalam pengajian.
Tidak dinafikan, Yaya seorang anak muda yang pandai berdikari selain ramah dan penyayang.

Di akaun Instagram, Azura berkongsi ucapan serta keistimewaan yang dimiliki oleh anak gadis kesayangannya itu sempena ulang tahun kelahiran yang ke-25.
“Anak perempuan pertama saya berumur 25 tahun. Sekadar berkongsi beberapa fakta tentang diirinya. Dia suka seni. Dia penggemar kopi. Dia sukakan bunga segar dan sangat teruja apabila menerimanya.

“Akhir sekali, dia seorang yang berjiwa besar dan pemurah. Semoga Allah Azzawajalla mengabulkan hajat dan doa mu. Jangan pernah berputus asa walau merasakan alam semesta berpaling dari mu. Kami sentiasa berada di belakang mu. Teruskan menikmati hidup ini. Sanah helwah princess @_sarahamanda
Love
Mommy
Pernah berkongsi kepada NONA, Yaya menyifatkan ibunya telah banyak berkorban untuk mereka sekeluarga dan dialah ibu yang terbaik.
“Kalau nak disenaraikan setiap pengorbanan ibu dari segi masa, wang dan kesihatannya terhadap anak-anak memang tak ternilai. Ibu dah buat yang terbaik dan lebih dari cukup. Ibu sentiasa dahulukan anak-anak berbanding dirinya sendiri.

“Sebab itulah saya berusaha bersungguh-sungguh. Kejayaan saya tak setanding dengan pengorbanan ibu selama ini. Ibu selalu ingatkan saya sentiasa kuat walau apa jua dugaan yang datang. Saya dididik untuk berfikir di luar kotak.
Kata ibu, ‘the sky is the limit’ and not just to make my parents proud but to make myself proud too and to prove myself that I can actually do the things that I thought I couldn’t.

“Pesan ibu, jangan lupa asal usul dan jaga solat sentiasa menjadi pegangan saya. Semua rezeki datang daripada Allah SWT. Kita cuma merancang tapi Dia menentukan.
Antara superpower ibu ialah kemampuannya menguruskan kerjaya dan keluarga. Penat macam mana pun ibu tak pernah tunjuk depan anak-anak. Setiap kali balik kerja ibu sentiasa buat kami sekeluarga gembira. She is the real definition of wonder woman! Wanita inspirasi, cekal dan berdikari.
WARISI KECANTIKAN IBU
“Ramai yang kata saya beruntung kerana bergelar anak kepada selebriti popular. Sejujurnya saya tak pernah pun ‘berlagak’ dengan status ibu sebagai public figure sebaliknya bangga bergelar anak kepada seorang wanita hebat. I could never be as beautiful and as strong as my mom. She really is a superwoman!

“Sejujurnya ibu memiliki kecantikan asli dan tak suka bersolek tebal-tebal. Ibu lebih gemar berbelanja untuk produk-produk penjagaan kulit yang bagus dan berkualiti.
“Petua mudah ibu ialah sentiasa fikir hal-hal yang positif. Jangan terlalu stres nanti cepat nampak tua,” kongsi Yaya.

Selain leboh fokus kepada keluarga, Azura turut mengusahakan bisnes miliknya iaitu decoupage gifts @decopatchtiffin by Azura Abdul Karim.
ENGGAN Toleh Ke Belakang , Intan Salleh Sudah Move On dan Sedia Mencari CINTA

Tiada manusia mahu berkahwin demi penceraian. Rumah tangga yang dibina atas dasar cinta pasti ingin dipertahankan waima masalahnya setinggi gunung mencakar awan. Baik pasangan muda mahupun dewasa, perkahwinan semestinya medan menguji kesetiaan dan keutuhan kasih sayang.
Perkahwinan juga mengajar manusia untuk mengunci nafsu terhadap banyak perkara yang tidak mampu kita lakukan secara bersendiri. Bagi yang memandang ujian itu suatu tusukan positif dalam diri, pasti melihat perkahwinan sebagai platform melengkapi di antara satu sama lain. Anehnya, kepincangan tetap juga berlaku. Puluhan tahun sekalipun perkahwinan itu dibina, manusia sering tewas dengan percaturan hidup sendiri. Jika sudah tersurat olehNya perpisahan, maka yang bermula dengan keindahan, akan ternoktah jua.
Melalui detik penuh duka tatkala diceraikan, Intan Liana Saleh tidak pernah menyalahkan takdir di atas ketentuan jodoh yang tertulis untuk dirinya. Malah, ibu kepada dua cahayamata ini melihat takdir ini sebagai ketentuan Illahi dan mempunyai kenikmatan yang tersendiri tanpa disedari.
PAHIT NAMUN ADA KEMANISAN
Hampir setahun bergelar ibu tunggal, Intan tidak mengambil masa yang lama untuk bangkit dan meneruskan hidup demi dua cahayamata yang memerlukan perhatian dan kasih sayang darinya. Bagi Intan, tidak ramai yang mampu menghadapi perceraian dengan hikmah, sebaliknya dianggap azab dan musibah. Setiap perceraian pasti membuatkan seseorang itu terluka dan sedih dengan kejadian yang menimpanya.
“ Saya anggap kegagalan menghadapi perceraian dengan hikmah adalah lebih merugikan. Kebanyakan wanita takut kepada perceraian. Ada kalanya perceraian itu menjadi wajib kerana memberi maslahat dan keperluan buat pasangan terbabit bagi membina sebuah kehidupan baru atau sebagai satu proses pemulihan serta peluang untuk memperbaiki diri,” ujar Intan yang memperoleh segala kekuatan melalui dua cahayamatanya.
Walaupun terpaksa melalui pelbagai liku dan kata-kata netizen yang kadang-kala menguris hati dan perasaan, ternyata Intan sudah melupakan episod duka dan bangkit membina keyakinan diri untuk terus mengorak langkah membina kerjaya dan kehidupan yang lebih positif bersama anak-anak.
Malah rezeki Intan dalam bidang peragaan juga tidak kurang hebatnya apabila terpilih menjadi model untuk beberapa jenama fesyen sepanjang kempen Aidilfitri tahun lalu. Memiliki rupa paras yang cantik dengan figura wajah Melayu asli, menjadi salah satu kelebihan buat Intan untuk dijadikan model pilihan untuk jenama fesyen.
“Alhamdulillah ada hikmah di sebalik episod duka yang Intan lalui. Jika sebelum ini Intan hanyalah merupakan seorang suri rumahtangga yang duduk di rumah dan menjaga anak-anak, kini Intan sudah keluar dari ‘kepompong’ dan belajar hidup berdikari. Intan bukan sahaja dapat mencari sumber pendapatan untuk menyara keluarga, malah apa yang lebih penting, Intan sudah perolehi self esteem untuk berhadapan dengan pelbagai situasi.
Ia merupakan pelajaran dan pengajaran yang mematangkan Intan,” ujar Intan Liana yang sanggup melakukan apa sahaja untuk meneruskan kelangsungan hidup demi permata hatinya.
Fahami matlamat hidup itu sebagai ibadat kepada ALLAH. Jika tidak difahami, maka jiwa dan akal dibutakan nafsu serta keghairahan untuk bergembira tanpa batasan dalam dunia yang sementara ini. Kefahaman ini hanya diberi oleh ALLAH terhadap mereka yang memiliki keikhlasan dan berusaha menuju matlamat ubudiyah kepada-NYA,”sambung Intan lagi.
Tambah Intan lagi, dia melihat kehidupan kini dalam perspektif yang pelbagai ragam dan cerita yang mampu memberi kebahagiaan dan menumpahkan air mata. Saya berdoa mudah-mudahan semua pasangan yang berkahwin dijauhkan daripada cabaran berumah tangga sehingga membawa kepada penceraian. Kita masih boleh belajar dan ambil iktibar daripada berita-berita yang terpapar di akhbar mahupun di media elektronik,” ujar Intan lagi yang menjadikan kisah kegagalannya sebagai pencetus menguatkan emosi dan keyakinan diri buatnya.
Sebelum mengakhiri perbualan, wanita berusia lewat 20an ini menzahirkan hasrat untuk menstabilkan hidup dari segi kewangan demi meneruskan kelangsungan hidup bersama anak-anak.
“Insyaallah tahun ini Intan merancang untuk melibatkan diri dalam bidang perniagaan terutamanya berkaitan kecantikan. Sebagai ibu tunggal, Intan perlu mempunyai rancangan kewangan yang kukuh dan perniagaan adalah jalan terbaik untuk Intan memastikan sumber kewangan yang lebih terjamin. Namun segalanya masih dalam perancangan. Intan masih akan meneruskan kerjaya sebagai model sambilan dan ingin memajukan diri dalam pelbagai aspek. Intan yakin Allah sebaik-baik perancang dan Intan akan laksanakan untuk kebaikan anak-anak,” ujarnya seraya mengakhiri perbualan.
Berjiwa SUKARELAWAN, Gadis Ini Simpan Impian Miliki Program Sosial Sendiri Suatu Hari Nanti!

Baru berusia 20 tahun namun anak kelahiran Kedah ini sudah pun mencipta sejarah tersendiri yang boleh dibanggakan sebagai seorang generasi muda. Apa yang penting semangat serta keyakinan dirinya wajar dijadikan inspirasi oleh semua golongan belia.
Nurkamil Sophia Ali atau lebih mesra disapa sebagai Sophia bukan calang-calang gadis. Biarpun masih muda namun Sophia memiliki sifat keprihatinan yang tinggi sebagai seorang sukarelawan. Sophia merupakan duta belia Malaysia bagi Program Kapal Belia Asia Tenggara dan Jepun (SSEAYP) yang berkolaborasi dengan Kementerian Belia dan Sukan.
PERKENALKAN SERBA SEDIKIT MENGENAI DIRI ANDA ..
Saya anak bongsu dalam keluarga dan pelajar Universiti Malaysia Sabah peringkat Ijazah tahun kedua dalam jurusan sains makanan dan nutrisi. Saya seorang yang sangat aktif di universiti khususnya dalam aktiviti seni seperti kebudayaan dan pementasan teater yang merupakan hobi serta minat sejak kecil.
JELASKAN SECARA TERPERINCI TENTANG PROGRAM KAPAL BELIA ASIA TENGGARA DAN JEPUN (SSEAYP) DAN BAGAIMANA ANDA MENYERTAINYA?
Program Kapal Belia Asia Tenggara dan Jepun (SSEAYP) bermula sekitar tahun 1974 yang merupakan program tahunan dianjurkan oleh kerajaan Jepun. Ia mengumpul lebih 300 belia dari seluruh Asia Tenggara dan Jepun. Program ini menyediakan peluang buat belia untuk tinggal di atas sebuah kapal persiaran bernama Nippon Maru bagi tempoh 52 hari.
Belia yang terlibat berusia 18-35 tahun dari berbilang bangsa. Kapal mengelilingi negara ASEAN seperti Kemboja, Thailand, Laos dan Indonesia. Turut disediakan ialah homestay dan setiap negara mempunyai keluarga angkat.
Saya bermula pada Mac 2017. Sebelum menyertainya saya terlebih dahulu melalui proses penilaian termasuk interbiu. Penilaiannya dari segi public speaking, kemahiran berunding dan bakat dalam seni kebudayaan. Saya memiliki kelebihan menari tarian Melayu dan tradisional. Selain memahami budaya, kami juga berperanan untuk menyumbang kepada masyarakat.
CABARAN-CABARAN YANG DIHADAPI SEPANJANG PELAYARAN?
Memahami proses adaptasi program ini di samping cabaran dari segi hubungan sosial, komunikasi bahasa, amal ibadat, pemakanan dan penjagaan kesihatan. Bagaimana untuk adaptasi dengan gelombang ombak. Saya pernah tidak lalu makan selama tiga hari. Makan saja muntah. Namun saya bersyukur kerana segalanya dipermudahkan.
KEPUASAN DIPEROLEH DENGAN MENYERTAI PROGRAM INI?
Selain mengenali budaya negara-negara ASEAN dan Jepun, kami dapat mengeratkan hubungan dengan menambah kenalan baru. Hubungan kami tidak terhenti di situ malah masih berhubung sehingga ke hari ini.
PRINSIP YANG SENTIASA MENJADI PEGANGAN?
Sentiasa berani mencabar diri untuk mencuba sesuatu yang baru agar dapat memberi manfaat buat diri sendiri dan masyarakat. Di luar sana banyak peluang yang boleh dimanfaatkan oleh generasi muda. Sebab itulah saya gemar melakukan aktiviti sosial yang dapat mendekatkan saya dengan masyarakat.
IMPIAN MASA DEPAN?
Memandangkan minat saya cenderung kepada aktiviti sosial, saya mengimpikan untuk mencipta satu program sosial sendiri. Sasarannya khusus buat generasi muda seperti aktiviti berbasikal mengelilingi dunia. Semoga impian ini menjadi realiti.
https://www.instagram.com/p/Bejw0qyg-DH/?taken-by=ermishuzila81
SIAPA SUMBER INSPIRASI ANDA?
Saya sangat kagum dengan Dato’ Sri Siti Nurhaliza. Beliau menjadi sumber inspirasi saya untuk mencapai kejayaan. Selain menjadi seorang wanita yang tabah, saya juga suka dengan kesopanan beliau menghadapi cabaran khususnya dalam karier. Beliau seorang yang tegas dalam kelembutan.
ANTARA ISU SEMASA YANG MENJADI PERHATIAN ANDA?
Gejala obesiti di Malaysia khususnya di kalangan wanita. Jika dilihat peratusannya kian meningkat saban tahun dan ini memerlukan kesedaran yang tinggi di kalangan masyarakat khususnya berkaitan gaya hidup. Amalkan gaya hidup sihat dan pemakanan seimbang. Aktif melakukan aktiviti kecergasan. Kesihatan itu mahal harganya.
NASIHAT BUAT GENERASI MUDA YANG INGIN SUKSES?
Selain bijak mengambil peluang, generasi muda harus ada kesedaran bagaimana menguruskan kewangan. Perlu ada simpanan sendiri terutama untuk kecemasan. Hargai masa muda dengan perkara yang boleh memberi manfaat buat masyarakat. AMY MOHD
Kredit Foto: Instagram @sophiaaaali