Jenama pakaian tempatan popular, Elrah Exclusive mencipta sejarah tersendiri apabila iklan baju raya secara eksklusif menghiasi papan iklan elektronik gergasi di dinding menara bangunan TSLaw bersebelahan menara TRX sejak 15 Mac lalu.
Ads
Malah, jenama tempatan itu mencipta rekod dan sejarah pertama menghiasi sudut iklan lokasi berkenaan yang selama ini didominasi jenama antarabangsa dan mewah.
Projek mega iklan berkenaan yang terpampang setiap malam dari jam 8 hingga 12 tengah malam selama tempoh lebih kurang dua bulan itu dianggarkan menelan belanja jutaan ringgit.
Pengasas jenama itu, Mohd Hilmi Che Azman atau mesra dengan panggilan El Azman berkata, pihaknya optimis dengan usaha dilakukan.
“Kalau selama ini, sewaktu melintasi atau memandu kereta di jalan berdekatan menara bangunan itu, kita sering melihat jenama mewah seperti Louis Vuitton, Gucci, Mont Blanc dan sebagainya.
“Tapi kini saya bangga dan puas jenama Elrah Exclusive terpampang di papan iklan elektronik gergasi itu. Semuanya tak mustahil dan menjadi catatan manis dalam perjalanan mengukuhkan jenama ini sejak 2014.
“Idea untuk meletakkan jenama Elrah di bangunan seperti itu terdetik ketika saya melancong di luar negara. Alhamdulillah kini jenama tempatan seperti Elrah Exclusive juga mampu bersaing dan buat pemasaran setanding jenama antarabangsa,” katanya yang pernah menerima anugerah NONA BEST MEN’S FASHION BRAND AWARD sempena NONA SUPERHERO 2022 yang lalu.
Iklan raya itu turut memaparkan dirinya selain wajah wakilan artis berpengaruh dan popular seperti Meerqeen, Khai Bahar, Ben Amir serta pelakon drama Project: High Council, Amir Ahnaff, Hazeeq Deen dan Fadhli Masoot. Tak ketinggalan dua bintang TikTok popular, Aabias dan Wan Chai.
“Malah lebih mengujakan selain deretan bintang ternama dan berpengaruh itu, projek mega iklan ini juga menyatukan saya dengan pengedar yang juga pemilik dua butik Elrah Exclusive di Setapak dan Elrah Melaka iaitu Syed Ahmad Syed Salim atau SASS SYED.
“Jika diperhatikan di iklan itu memang khusus diletakkan dua nama butik kendaliannya di Platinum walk, Elrah Setapak dan di Pantai Klebang, Elrah Melaka.
Ads
“Saya puji usaha dan semangatnya. Dia juga antara anak muda yang menjana pendapatan menerusi jenama saya. Dia antara 36 pengedar atau pemilik butik Elrah yang beroperasi di seluruh Malaysia.
“Tak hanya di Malaysia, kita mempunyai 29 cawangan di Thailand, Brunei dan Indonesia. Secara keseluruhan juga kita mempunyai lebih 10,000 ejen di seluruh negara,” katanya.
Bercerita lanjut mengenai SASS, El Azman percaya di mana ada kemahuan, di situ ada jalan.
“Dia berumur 26 tahun berasal dari Serdang, Selangor. Dia mempunyai diploma perakaunan di sebuah kolej di KL. Dia asalnya berniaga Chanrakter, air cincau karamel selama dua tahun, sebelum ‘terjebak’ dengan Elrah.
Ads
“Dipendekkan cerita, kami bersua dan dia menunjukkan minat untuk sama-sama meneruskan legasi empayar jenama saya bangunkan. Siapa sangka, dia mampu hidup senang dengan rangkaian perniagaan ini.
“Kebetulan baju jenama saya bangunkan jadi tular. Dia menyatakan keinginan untuk turut serta menjadi pengedar selain menyerap ilmu niaga dengan saya. Hingga kini, sudah tujuh tahun dia menjana pendapatan lumayan dengan Elrah,” kata El Azman.
Jenama ini antara yang terus menaikkan martabat pakaian tradisional yang juga pakaian islamik seperti Baju Melayu, jubah dan kurta di persada Malaysia dan Asia khususnya.
Dijual dari serendah RM50 untuk kurta sehingga RM189 (baju Melayu), jenama berdaftar di bawah Elrah Trading Sdn Bhd ini meneruskan survival hingga kini.
“Saya sasarkan tahun ini dapat menjana keuntungan jualan sebanyak 250 juta setahun.
“Saya juga harap pengedar lain dapat mencontohi semangat SASS SYED yang berdaya saing dan berani melaburkan duit untuk menaikkan jenama ini walaupun hanya sekadar ejen” katanya mengakhiri temubual.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Wajahnya seayu namanya. Ayu Yoneda, kebelakangan ini menjadi sorotan di media sosial apabila terpilih sebagai angkasawan di Japan Aerospace Exploration Agency (JAXA) sekaligus membuktikan kemampuan wanita meneroka ruang angkasa.
Saat ditemui wartawan, Ayu Yoneda berkongsi kegembiraannya selain mengakui terkejut dengan pemilihan tersebut. Beliau mengungkap bahawa menjadi angkasawan membuatkan dirinya memiliki rasa tanggungjawab yang lebih besar.
Dua kali mendaftar di JAXA, usaha beliau akhirnya berhasil apabila mengalahkan calon peserta lain dengan rekod terbanyak tahun ini iaitu seramai 4,127 orang.
Selain Ayu Yoneda, turut terpilih adalah Makota Suwa yang bekerja di Bank Dunia lulus setiap ujian dengan cemerlang.
Berusia 28 tahun dan bekerja sebagai doktor bedah di Pusat Perubatan Palang Merah Jepun, Ayu Yoneda muncul sebagai angkasawan termuda di JAXA sekaligus memecah rekod sebagai wanita ketiga yang berjaya lulus dalam sejarah Negara Matahari Terbit itu.
Demi mengejar impiannya ke angkasa, beliau terpaksa meletakkan jawatan kerana perlu menyertai JAXA pada April 2023. Ayu Yoneda seterusnya bakal mendapat latihan di NASA sebelum diakui sebagai angkasawan rasmi sekitar Mac 2025 nanti.
Wanita hebat ini juga dikatakan bakal menyertai projek eksplorasi ke bulan bersama Makota dan tinggal di stesen angkasa lepas yang mengorbit bulan.
Satu pencapaian wanita yang patut dibanggakan. Syabas Ayu Yoneda!
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Kagum dengan pendekatan usahawan kosmetik, Ili Zawani Ismail merencana dan menguruskan empayar niaga miliknya, Farmasi Color Cosmetics (FCC). Dia bukan hanya mementingkan kualiti dan keuntungan semata-mata. Malah turut memastikan setiap pekerja mendapat ilmu agama secukupnya melalui kelas yang diadakan di pejabat FCC. Tergamam seketika mendengar pengakuan Ili. Dalam kesibukan mencari kesenangan dunia… Pengarah Urusan FCC ini tidak lupa menambah bekalan akhirat!
“My mom adalah tunggak utama yang selalu ingatkan anak-anak mengenai agama. Kita ni nakal-nakal juga, tapi bukanlah jahat sebab ada mak yang selalu ingatkan dan pantau. Sesungguhnya islam agama indah… lebih-lebih lagi bila kita dapat menjadikan ia sebagai panduan dalam hidup,” ujarnya memulakan bicara.
Mengagumi dakwah ulama terkemuka seperti Mufti Menk, Ili turut menjadikan Profesor Muhaya sebagai sumber inspirasi. “Mereka ini banyak memberi gambaran sisi menarik tentang Islam. Mereka juga buat kita mahu kejar kejayaan dunia tapi dalam masa sama ultimate purpose adalah untuk kejar akhirat.
Bagi saya sendiri… bila bisnes yang diusahakan kian berkembang, ia sekaligus membuka peluang kepada saya untuk ambil lebih ramai orang bekerja, boleh tolong orang yang susah dan sebagainya.
Kalau tak ada source of income, macam mana nak tolong. Islam tu mudah, jalan semua dah ada. Cuma macam mana kita faham dan amalkan.”
Tambah ibu tiga anak ini lagi, “Pernah dulu saya jemput seorang ustaz datang ke office. Saya peruntukkan selama sejam untuk semua team berhenti kerja sekejap dan pergi attend kelas ustaz ini.
Dalam kelas tersebut, kami buat kelas mengaji Al-Quran, tadabur, baca sejarah Rasulullah SAW dan bila dah habis baca buku tu… kami belajar tauhid pula. Setiap hari.
Kami baru stop kelas ini pada hujung tahun lepas bila ustaz beritahu dia pergi mengerjakan haji. Rasanya memang kena terus buat kelas ini balik. Bak kata my mom, kalau kita busy je dengan dunia… bila pula hendak cari akhirat.
Kalau mati tengah sibuk dunia macam mana. Dan dia juga pesan kalau susah sangat hendak pergi kelas, dia minta ustaz untuk datang ke pejabat. Jadi tak ada lagi alasan.”
Memulakan perniagaan ketika masih menyambung pengajian dengan The Association of Chartered Certified Accountants (ACCA), ayahnya iaitu Ismail Kamin memilih Ili meneruskan legasi minyak wangi yang diusahakan ketika itu.
“Pada usia 20 tahun, apalah sangat pengalaman yang ada. Waktu itu juga saya masih dalam pengajian tahun akhir di kolej. Tanpa berbekalkan ilmu perniagaan, saya sahut cabaran ayah dengan niat untuk membantunya. Di situlah segalanya bermula.
Daripada satu lawatan di sebuah ekspo kecantikan membuatkan saya tertarik untuk membawa jenama FCC ke Malaysia. Ketika itu FCC sudahpun mencipta nama di Istanbul, Turki. Di situlah juga jenama FCC dilahirkan dan mula mendapat tempat di kalangan rakyat Timur Tengah.
Setelah diteliti dari segi kualiti produk dan harganya yang berpatutan, saya semakin tertarik serta memikirkan cara untuk membawanya ke pasaran Malaysia.”
Jelas isteri Mohd Aminolrasyid Mohd Fauzi yang juga pemegang Ijazah Sarjana Muda Sains Perakaunan Universiti Oxford Brookes, “Awal-awal dulu, saya berdepan dengan cabaran komunikasi yang besar. Jurang usia menyukarkan lagi rencana perniagaan saya dengan orang yang lebih berusia. Apa yang mereka fikir tidak sama dengan apa yang saya mahukan.
Pun begitu, dorongan dan semangat yang diberikan oleh keluarga dan orang sekeliling menjadi pemangkin kepada saya agar melangkah lebih baik lagi. Saya perlu buktikan bahawa amanah yang dipikul ini mampu dipikul sebaik mungkin. Kata orang, biar kalah berusaha daripada terus mengalah.”
Ili merupakan penganjur utama dan juri tetap program realiti digital pertama pencarian makeup artist Fabulous MUA Nona x FCC.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Kalau tengok rupa paras cantik dan kulit gebunya pasti ramai yang tidak menyangka wanita cantik ini seorang anggota pasukan keselamatan yang berani menggalas senjata. Hikma Nursyafa berjaya membuktikan kecantikan yang dimiliki perlu seiring dengan keberanian untuk bertempur lawan.
Meskipun perlu mengenakan uniform yang tebal dan lengkap dengan topi serta kasut but keselamatan setiap hari namun gadis ini tetap menjaga penampilan diri. Setiap kali keluar bertugas menjaga keamanan dan keselamatan penduduk, Hikma yang berasal dari Yogjakarta akan memastikan keadaan dirinya kemas dan cantik walaupun berhijab dan berdepan situasi panas serta tidak menentu saban hari.
Tidak hairanlah nama Hikma Nursyafa menjadi viral dan bualan netizen di media sosial. Dia bukan hanya dikurniakan raut wajah menawan bahkan semangatnya menjaga ketenteraman dan memilih kerjaya mencabar yang jarang diceburi kaum wanita ini mencetuskan ‘pemandangan’ luar biasa masyarakat.
Hikma Nursyafa yang kini berusia 26 tahun merupakan anggota polis Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB). Khabarnya sudah lebih setahun gadis ini berkhidmat bersama PBB yang berpangkalan di Bangui, Afrika Selatan sejak Jun 2018.
Biarpun kebanyakan rakan seperjuangan terdiri daripada kaum lelaki namun ia bukan halangan buat Hikma. Sebaliknya gadis berkulit cerah ini tenang mengangkat senjata dan menjalani ujian ketahanan sama seperti anggota lain.
Demi memberi inspirasi dan semangat buat kaum wanita, wanita berkulit cerah ini terbuka berkongsi pengalamannya sepanjang bergelar woman peacekeeper. “Sebelum menjadi seperti sekarang ini, perjalanan untuk sampai di titik ini pun rasa cukup berat dan penuh dengan liku. Hampir rasanya ingin menyerah tapi hati tetap berkeras untuk meneruskan. Dari dulu aku memang mahu pergi mencari pengalaman hidup dan akhirnya Allah kabulkan.
Aku bergabung di kepolisian sejak tahun 2013 mungkin banyak sekali pengalaman yang boleh ku ceritakan sampai detik ini. Tapi mungkin aku akan ceritakan pengalaman yang sangat menarik pada tiga tahun terakhir ini. Bermula dari aku bergabung dalam pasukan perdamaian dunia (peacekeeper), banyak perkara yang perlu dilalui antaranya dari segi pendaftaran, ujian dan latihan dari segi akedemik serta penilaian kesihatan.
Ujarnya lagi, “Misi pertamaku adalah menjadi pasukan Formed Police Unit (FPU) dan pertama kalinya juga Indonesia mengirimkan pasukannya di Republik Afrika Tengah. Setiap hari kami dikerah menjalani pelbagai latihan. Di sini juga aku dituntut pakai dua bahasa iaitu Inggeris dan Perancis. Awalnya sangat sukar untuk belajar Bahasa Perancis kerana memang di misi ini lebih dominan Bahasa Perancis.”
Tambah Hikma, buat masa ini dia ditugaskan menjaga keamanan di ibu kota Afrika Tengah, Bangui. “Di kota inilah aku bertugas selama setahun ini. Awal mula datang ke sini betul-betul terkejut kerana persekitarannya yang sangat berbeza. Sebuah negara yang bagi ku masih memerlukan banyak bantuan untuk maju. Di Bangui, tahap keselamatan dan konflik masih sering terjadi seperti kontak tembak, perselisihan antara kelompok bersenjata dan ancaman keamanan lain.
Ini adalah cabaran terbesar untuk kami di sini tapi alhamdulillah sampai saat ini semuanya masih dapat diatasi. Ini juga adalah pengalaman hidup pertamaku untuk misi kemanusiaan.”
Mengintai media sosial Hikma, kecantikan gadis ini tidak ubah seperti pelakon sinetron popular. Selain meminati bidang lasak dan mencabar, Hikma juga memiliki naluri kewanitaan yang gemar akan kecantikan dan fesyen. Lebih menarik, dia turut mengenakan solekan nipis ketika bertugas demi memastikan penampilan diri sentiasa terjaga.
Iyalah, takkan wanita yang bekerja di pejabat saja nak nampak cantik. Yang menjaga keamanan di negara bergolak seperti ini pun hendak sentiasa nampak bersedia. Lagipun penampilan diri sangat penting tidak kiralah walau di mana berada. Apatah lagi, sesetengah wanita akan rasa lebih yakin bila sudah bermekap. Mungkin beginilah cara Hikma untuk raih keyakinan diri dan kekal bersedia menjaga keamanan penduduk tempatan.
Apa-apa pun Nona bangga dengan Hikma kerana berjaya mengangkat martabat dan kredibiliti kaum wanita ke tahap lebih tinggi. Semoga kejayaan gadis ini menjadi inspirasi kepada wanita lain untuk menjadi anggota pasukan keselamatan yang kental, berani dan dalam masa sama memiliki sifat-sifat terpuji yang boleh diteladani. Syabas buat Hikma!
Kredit foto: Instagram Hikma Nursya
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Diam tak diam, perkahwinan Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Mateen dan Yang Amat Mulia Pengiran Anak Isteri Anisha Rosnah Adam bakal menginjak usia setahun ...