“Jika Ini Tanda Allah Mahu Tingkatkan Darjat HambaNya, Saya Reda,” Balu Pesakit COVID-19 Disahkan POSITIF Pula

Mendengar kisah wanita ini saja sudah meruntun jiwa apatah lagi membayangkan beban yang terpikul dibahunya. Dalam usia yang masih muda, saat sedang mengecap bahagia hidup berumah tangga di samping suami tersayang tiba-tiba kemanisan itu diragut dalam sekelip mata.

Dalam keadaan yang belum bersedia, Aiza Syafinaz Haji Shahak terpaksa menerima hakikat suaminya sudah tidak ada lagi di sisinya. “Tak sangka, saya memang tak sangka suami yang diharapkan untuk menjaga saya hingga ke hari tua, akhirnya pergi selama-lamanya dalam keadaan saya tidak bersedia,” tutur isteri kepada mangsa korban ke-24 (kes ke 1056) COVID-19 ini memulakan bicara.

Hati isteri mana yang tak remuk, menerima berita kematian suami tanpa dapat mengucapkan selamat tinggal. “Saya tak dapat melihat suami buat kali terakhir apatah untuk memberikan kucupan selamat tinggal atau mengiringinya hingga ke destinasi terakhir. Hanya sebelum suami masuk ke dalam ICU, saya sempat bersalam dengannya. Itu lah pertemuan terakhir kami,” terang Aiza Syafinaz jujur.

“Suami pergi dalam usia yang sangat muda iaitu berusia 36 tahun, meninggalkan saya 35 hari sebelum menyambut ulang tahun kelahirannya. Walaupun perit menanggung perpisahan ini namun saya terima. Saya reda kerana arwah telah berkali-kali pesan, jaga diri dan kuatkan semangat,” kata wanita cekal ini.

Kenangan terakhir Syawal tahun lalu

Bergetar jantung tatkala wanita yang baru 8 hari (ketika artikel ini ditulis) ‘ditinggalkan’ suami ini tidak lepas menyebutkan kalimah Allah di setiap bait bicaranya, “Allah uji kerana Allah sayang. Jika ujian ini tanda Allah SWT ingin tingkatkan darjat kami sebagai hambaNYA, saya terima dengan reda,” ucap Aiza Syafinaz saat dihubungi.

Terasa begitu besar penderitaan yang ditanggung oleh wanita yang baru berusia 34 tahun ini. Tapi benarlah, Allah SWT tidak akan menguji kita sedemikian rupa melainkan kita mampu memikulnya.

Belum sempat merawat luka kerana pemergian suami ke negara abadi, wanita ini pula telah disahkan positif COVID-19. “Ya, saya adalah ‘Pejuang COVID-19’. 4 hari selepas suami meninggal dunia, saya pula disahkan positif COVID-19 walaupun tidak mengalami sebarang simptom. Kini sudah 4 hari saya dirawat di hospital.

Namun, saya serahkan jiwa dan raga di atas aturan dan perancangan Allah SWT. Sesungguhnya kita semua makhluk Allah yang dikasihi dan disayangi, Ya Rahman, Ya Rahim dan Yang Maha Agong.

Tiap kali bangun dari tidur saya katakan pada diri, ini semua adalah mimpi ngeri dalam hidup saya. Tapi bila matahari mula bersinar di dada langit saya tersedar ini rupanya bukan mimpi,” kata Aiza Syafinaz yang sudah seminggu tak boleh tidur malam sehingga tekanan darahnya naik 179/85.

Gambar perkahwinan

Bercerita tentang impian bersama suami yang telah dikahwini selama 10 tahun, “Impian kami yang belum tercapai adalah untuk menimang cahaya mata. Arwah juga sedang merancang untuk menyambung pengajian ke peringkat sarjana tahun depan di Universiti Kebangsaan Malayisa (UKM). Arwah mahu sambung belajar demi meningkatkan diri dan mencapai pangkat yang lebih tinggi dalam Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Mangsa korban ke-24 (kes ke 1056) COVID-19, Mohd Fairos Saberon

Apa yang saya lakukan sekarang di dalam ward? Kini saya ada ‘me time‘ dengan Allah SWT. Mungkin Allah SWT rindu mendengar bicara hati saya melalui zikir, solat tahajud, solat taubat dan solat hajat. Doa dalam setiap sujud saya agar segera lenyap virus ini. Selain itu, saya banyak menghabiskan masa dengan menulis,” kongsi isteri kepada Mohd Fairos Saberon ini.

Tidak cukup dengan dugaan yang sedia ada, wanita ini juga perlu kuat semangat dan memanjatkan doa buat ayahnya yang juga telah disahkan positif COVID-19. “Kampung saya di Simpang Renggam masih lagi total lock down

(Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan – PKPD. Ayah saya juga dikuarantin di Hospital Permai, Johor Bahru sejak 19 Mac sehingga hari ini,” katanya.

Tiada ucapan yang mampu menggambar kekuatan jiwa wanita ini. “Kekuatan dan ketabahan saya banyak dipinjam dari arwah suami. Saya perlu kuat, berfikiran positif, tak menangis dan menjaga emosi untuk meningkatkan imun badan.

Saya juga perlu suntik semangat kepada rakan-rakan dalam wad ini yang salah seorangnya adalah pembantu dapur tukang masak Istana Negara yang juga positif COVID-19,” ungkap Aiza Syafinaz.

Tambah Aiza, “Jika sebelum ini, menjelang Ramadan saya adalah orang yang paling sibuk mengambil tempahan biskut raya. Mungkin sama sibuknya dengan tukang jahit sebelum menjelang Syawal. Tapi Allah SWT tarik hand brake saya sekejap pada tahun ini. Pasti ada hikmahnya,” ujar usahawan biskut dan produk IKS ini mengakhiri bicara.

Share
Published by
Hamizatul Maizan