Usai menjaga kesihatan sepanjang tempoh kehamilan, para ibu juga perlu bersiap sedia dan memberi lebih perhatian terhadap proses berpantang. Ramai yang beranggapan ia merupakan satu jangka masa yang membosankan kerana terikat dengan pelbagai amalan dan petua tradisi yang agak rumit.
Mengambil situasi masa kini, penjagaan diri di kalangan ibu bersalin seperti berurut, bertuam, bertungku, bertangas dan berbengkung semakin dipandang sepi dek kekangan masa yang dialami mereka. Jika aspek penjagaan diri ibu bersalin diabaikan, kesannya mungkin tidak berlaku serta-merta namun akan mula terasa ketika meningkat usia. Antara simptom yang bakal dihadapi termasuk lenguh sendi, sakit pinggang, kebas tangan dan daya tenaga yang semakin menurun.
Bagi masyarakat Melayu, amalan berpantang adalah tradisi ikutan turun-temurun yang mesti dilakukan. Berpantang amat penting sebagai persediaan kepada tubuh badan agar kekal sihat dan bertenaga pada kemudian hari. Berikut adalah beberapa panduan buat ibu bersalin.
- AKTIVITI SEKSUAL
Hindari aktiviti seksual dalam tempoh enam minggu selepas bersalin kerana si ibu baru sahaja melalui proses melahirkan bayi yang menyakitkan selain memerlukan masa untuk kembali sihat dan kuat. Begitu juga di bahagian intim yang memerlukan masa untuk sembuh sepenuhnya.
- BERURUT
Ambil tukang urut yang berpengalaman untuk membantu memulihkan aliran darah, mencuci dan mengeluarkan angin serta lendir kotor di samping melawaskan darah nifas daripada tersumbat. Pentingnya berurut selepas bersalin kerana ia dapat menenangkan emosi, meringankan tubuh yang lesu dan melegakan otot serta sendi ibu bersalin.
- BERBENGKUNG
Pemakaian bengkung yang sempurna adalah yang mempunyai diameter panjang menutupi paras bawah dada sehingga bawah pinggul agar dapat menyokong kukuh rahim dan mengembalikan bentuk tubuh asal. Kegunaan bengkung sesuai untuk ibu bersalin normal bagi mengelak kemasukan angin sejuk melalui liang perut. Sebaik-baiknya ia dipakai sepanjang masa dan hanya ditanggalkan ketika mandi. Bengkung boleh dipakai pada hari keempat selepas bersalin sehingga habis tempoh pantang atau seberapa lama yang anda kehendaki.
- HIDANGAN IKAN
Mengikut petua masyarakat Melayu, ikan haruan dan yu adalah sajian ikan terbaik khusus buat si ibu yang baru melahirkan. Ikan haruan dipercayai mampu memulihkan luka dalaman dan luaran. Sementara ikan yu pula dapat meningkatkan jumlah pengeluaran susu ibu. Elakkan memakan ikan masin dan ikan berbisa seperti bawal hitam, terubuk, pari dan sembilang agar luka bersalin tidak bentan.
- ULAMAN DAN SAYURAN
Serai, lengkuas, bunga kantan, kunyit hidup, daun kesum dan halia mengandungi serat dan zat mineral serta vitamin yang bersifat anti oksidan. Ibu yang sedang berpantang juga digalakkan mengambil ulam seperti daun pegaga, pucuk mengkudu dan ulam raja yang tinggi khasiat. Pun begitu, sayuran seperti timun, kangkung atau sayur-sayuran menjalar, sejuk dan berangin perlu dielakkan. Antara makanan yang dilarang ketika berpantang termasuk buah nanas, jambu, cempedak, ubi kayu, sengkuang dan minuman bergas kerana boleh mengakibatkan sakit tulang dan lemah sendi.
- MINUM AKAR KAYU DAN JAMU
Minuman akar kayu dan jamu dapat menyihatkan badan di samping mengembalikan kesegaran tubuh. Air akar kayu membantu mengecutkan rahim secara dalaman kerana khasiat campuran herba akar kayu tersebut. Jika dahulu, minuman ini dihasilkan sendiri di rumah namun kini ia turut dijual di kedai ubat tradisional.
Di samping beberapa tip di atas, ibu yang baru melahirkan bayi juga dinasihatkan agar tidak melakukan kerja-kerja berat seperti membasuh baju, mengangkat baldi berisi air dan sebagainya. Pastikan juga si ibu memakai pilis dan sarung kaki untuk mengelak kesan yang memudaratkan kesihatan kelak.