Menjawat dua kerjaya berbeza di samping menguruskan hal rumahtangga pastinya menimbulkan rasa lelah kepada ibu kepada 4 cahaya mata lelaki ini. Biarpun sibuk dengan segala macam urusan, namun keluarga tetap menjadi keutamaan. Lebih-lebih lagi anak ketiganya, Muhammad Umar Hafiy yang berusia 13 tahun memerlukan perhatian khusus kerana menghidap Disleksia iaitu gangguan pembelajaran.
“Saya mendapat tahu bahawa anak saya mempunyai masalah pembelajaran semasa dia darjah 1, kira-kira 6 tahun lalu. Pada mulanya, sebagai ibu sudah tentu kita tidak boleh menerima hakikat ini. Bagaimanapun, saya fikir kembali sekiranya saya sebagai ibu tidak boleh menolong, membantu dan menyokong anak saya, siapa yang lagi yang boleh berbuat demikian? Bermula dari situ, saya tidak lagi menoleh ke belakang dan terus berfikiran positif membantu anak saya mengatasi masalahnya.
Pada masa sama, saya tekankan kepada anak-anak saya yang lain dan berbincang dengan mereka termasuk Umar Hafiy mengenai masalah yang dihadapinya. Pendek kata, kami sekeluarga sentiasa memberikan sokongan moral kepada Umar untuk cuba mengatasi masalah Disleksia. Perkataan ‘bodoh’ atau ‘stupid’ juga adalah dilarang sama sekali digunakan oleh ketiga-tiga anak-anak saya kepada Umar Hafiy,” bicara telus Datin Azreen mengenai keadaan anaknya.
Walaupun terdapat banyak buku atau program mengenai Disleksia, apa yang penting adalah sokongan keluarga terutamanya ibu bapa atau orang yang terdekat dengan mereka. “Masalah ini boleh diatasi but not cured. Kita sebagai ibu harus sentiasa berbicara dari hati ke hati dengan kanak-kanak ini dan memberi dorongan tidak berbelah bahagi. Sekiranya ibu bapa dapat mencari keistimewaan atau apa yang kanak-kanak ini gemari, sokong dan doronglah mereka kerana ini akan menolong mereka memperoleh keyakinan diri yang tinggi seterusnya dapat membantu mengatasi masalah pembelajaran tersebut.”
Mendirikan rumahtangga bersama Dato’ Mohd Firuz Jaffril yang juga seorang peguam pada tahun 1996, pasangan romantis ini dikurniakan 4 orang anak lelaki iaitu Muhammad Danial Hakimi, 19 tahun, Muhammad Airil Fazreen, 17 tahun, Muhammad Umar Hafiy, 13 tahun dan Muhammad Ammar Haarez, 11 tahun sebagai penyeri rumahtangga mereka.
Memiliki 4 orang putera nyata bukan masalah kepada Datin Azreen. Sebaliknya dia cukup bersyukur dengan anugerah terindah ini. Sudah menjadi lumrah, anak lelaki mempunyai sikap kasar dan suka bergaduh, namun ujar Datin Azreen semua itu berlaku seketika sahaja dan dia enggan mencampuri urusan anak-anak apabila mereka bergaduh kerana kebiasaanya ia kembali pulih seperti sediakala.
Lebih 20 tahun berkongsi episod suka dan duka bergelar suami isteri, Datin Azreen dan suami menerapkan konsep family comes first dalam mendidik anak-anak. Jelasnya, “Sejak masih kecil lagi, anak-anak telah diasuh untuk menunjukkan kasih sayang antara satu sama lain dengan memberi pelukan erat serta ucapan ‘I love you Mama & Daddy’ setiap masa. Anak-anak kami juga diajar agar merendah diri dan hormat orang yang lebih tua. Ilmu agama sentiasa menjadi teras dan panduan hidup yang menyinari hidup mereka.”
Walaupun usianya sudah memasuki 40an, namun Datin Azreen tetap kelihatan sihat dan cantik. Malah, pada usia seperti ini tidak semua wanita berupaya untuk melunaskan pelbagai kerja kerana keadaan kesihatan yang semakin merosot. Berbeza bagi Datin Azreen yang masih kuat untuk mengikuti sukan lasak seperti bermain golf dan senamrobik.
Selain bergerak aktif dalam sukan, Datin Azreen turut mengamalkan beberapa petua tradisional sebagai panduan penjagaan kecantikan diri. Di samping berkunjung ke pusat kecantikan 2 kali sebulan, dia juga akan memastikan mendapat waktu tidur secukupnya, minum air jus seperti beet root dan kerap melakukan urutan tradisional. Pemakanan sihat dan berkhasiat seperti ulam-ulaman serta makanan sampingan yang membekalkan vitamin penting kepada tubuh turut diamalkan Datin Azreen agar kekal cergas dan bermaya.
“Sebagai seorang wanita, sudah tentu kita akan mengharungi pahit getir kehidupan. Bagi saya, setiap kegagalan atau kesedihan adalah satu cabaran untuk lebih berusaha. Kita harus move on, melupakan perkara yang lalu dan melihat ke hadapan dengan fikiran yang positif. Jangan cepat menjadi judgemental terhadap seseorang atau sesuatu perkara tetapi harus menilai rahsia di sebalik kejadian itu. Niat untuk membuat sesuatu perkara juga amat penting. Jika kita ikhlas, inshaAllah ada jalan kebenaran. Paling utama, jangan lupa tanggungjawab sebagai isteri dan ibu,” pesan Datin Azreen. SUZIANA ABU DAUD