Wanita dan kecantikan memang tidak dapat dipisahkan. Ada yang sanggup berhabis ribuan ringgit semata-mata mahu memiliki kulit halus dan putih berseri. Malah tidak kurang juga yang sanggup melakukan pembedahan di luar negara demi memiliki apa yang dihajati.
Memiliki wajah yang flawless merupakan keinginan setiap wanita. Memang benar wanita yang berkulit putih beruntung kerana tidak perlu melakukan rawatan pemutihan tetapi, wanita berkulit putih perlu memelihara kulit agar tidak diserang dengan noda-noda hitam. Bagi wanita yang berkulit sawo matang pula tidak salah melalui proses pemutihan tetapi biar dengan teknik dan cara yang betul.
Ingin selalu membelai wajah di spa mungkin susah kerana faktor masa. Jadi bagaimana caranya untuk melakukan sendiri rawatan pemutihan kulit di rumah?
(a) Pembersih wajah
Membersihkan wajah merupakan langkah permulaan untuk menjadikan wajah yang putih berseri dan segar. Keluar bekerja atau beriadah wajah sering terkena kotoran seperti debu dan juga cahaya matahari.
Daun lidah buaya boleh digunakan untuk membersihkan wajah. Campur satu batang lidah buaya dengan dua sudu susu segar. Oles pada wajah dan biarkan seketika. Kemudian boleh dibersihkan dengan air bersih. Jika tidak mempunyai daun lidah buaya boleh digantikan dengan yogurt. Campur setengah cawan yogurt dengan madu. Sapu di bahagian wajah dan leher, biar seketika dan bilas dengan air yang bersih.
(b) Stim wajah
Stim bermakna pengewapan. Pengewapan ini penting kerana boleh membantu membersihkan kotoran yang melekat di pori-pori wajah. Kotoran yang melekat ini boleh meninggalkan kulit yang kusam dan semakin gelap. Stim wajah ini boleh dilakukan setiap hari.
Apa yang perlu dilakukan hanya meletakkan air panas di dalam sebuah mangkuk. Guna tuala dan bungkus wajah bersekali dengan mangkuk yang diisi dengan air panas tadi. Jika mahu mendapat khasiat tambahan boleh menambah rempah atau campuran teh. Campurkan empat sudu besar teh hijau ke dalam air panas.
Stim wajah paling lama 20 minit. Jika anda mempunyai kulit yang kering pastikan menyapu pelembap sebelum stim.
(c) Mengeluarkan sel kulit mati
Dalam apa juga penjagaan kecantikan, mengeluarkan sel kulit yang mati adalah penting. Ini kerana jika sel kulit mati melekat di kulit, ia menahan sebarang rawatan untuk dilakukan di bawah lapisan kulit.
Mengeluarkan sel kulit yang mati biasanya dilakukan di spa seperti mikrodermabrasi. Tetapi, membuang sel kulit mati masih boleh dilakukan sendiri di rumah. Caranya adalah dengan mencampurkan 1 sudu besar oat dengan ¼ sudu besar garam bersama 1 sudu besar air. Gaul sebati kemudian sapu di wajah, biar selama 10 minit. Bilas dengan air yang bersih.
Bagi wanita yang mempunyai kulit yang berminyak, tambah pisang untuk menghaluskan campuran tadi.
(d) Masker wajah
Secara asasnya semua buah boleh dijadikan masker wajah. Pisang, tembikai, timun atau mangga. Namun masker yang paling baik adalah madu. Ini kerana madu boleh menganjalkan kulit, mengurangi kandungan minyak, merangsang produksi kolagen dan memutihkan kulit.
caranya sangat mudah hanya menyapu madu di seluruh wajah, biarkan seketika dan bilas dengan air yang bersih. Hamizatul Maizan Mohamed
This website uses cookies.