Belum reda kisahnya mengharungi hari-hari mendatang tanpa lelaki tercinta, balu Allahyarham Ashraf Daniel Mohamad Sinclair ini terus melangkah lagi dengan melancarkan kutipan dana. Bukan untuk diri sendiri, tapi sebaliknya Bunga Citra Lestari tekad menyalurkan hasil kutipan itu nanti kepada wanita yang tertindas di Indonesia.
Genap seminggu selepas pelancaran single lagu terbaru berjudul ‘Selamanya Cinta’, Bunga menyambut hari lahir ke-38 pada 22 Mac lepas. Dalam hantaran terbaru beliau, Bunga dilihat meraikan hari bahagia tersebut di sisi anaknya, Noah Sinclair, serta beberapa orang kenalan serta ahli keluarga terdekat.
Berbeza daripada tahun-tahun sebelumnya, sambutan itu diraikan secara sederhana malah Bunga sendiri hanya mengenakan t-shirt Gucci ringkas berwarna putih, berseluar pendek dan wajah polos tanpa solekan.
“38 years old Me” tulis Bunga Citra Lestari ringkas.
DARI PEREMPUAN UNTUK PEREMPUAN
Biarpun sudah setahun Allahyarham Ashraf Sinclair pulang menemui Ilahi, namun kisah cintanya dengan isteri, Bunga Citra Lestari masih kuat menyentuh hati masyarakat di Indonesia dan Malaysia.
Sebagai balu, kekuatan Bunga dalam mengharungi hidup bersendirian menjadi perhatian ramai. Mujurlah wanita ini selalu mendapat sokongan yang kuat daripada ibu bapa dan ibu bapa mertua, beliau kelihatan semakin cekal memajukan kerjaya dan terkini, bergiat aktif dalam kerja amal kebajikan.
Sempena bulan Mac juga, artis jelita itu memanfaatkan konsep Hari Wanita Sedunia dengan menginfakkan harta dan giat memperkasakan kaum Hawa agar terus kuat mendepani masa depan.
Salah satu yang menarik perhatian Nona adalah aktiviti birthday fundraising. Kutipan dana yang dilancarkan sempena sambutan hari lahir Bunga Citra Lestari itu merupakan salah satu usaha beliau dalam memperkasakan kaum wanita yang tertindas di Indonesia.
“Saya Bunga Citra Lestari. Saya seorang perempuan yang ingin mensupport sesama perempuan.
Di masa pandemi ini, ada satu hal yang sangat menyentuh hati saya, yaitu kondisi kekerasan terhadap perempuan yang terus meningkat.
Bertepatan dengan ulang tahun saya yang ke-38 tahun ini, saya ingin mengajak teman-teman untuk memberikan hadiah. Bukan untuk saya, tapi untuk para perempuan yang tengah berjuang dalam kondisi yang tidak menguntungkan, mereka yang tertatih untuk melangkah lagi.
Saya mengajak teman-teman semua untuk mengembalikan senyum mereka yang hilang, karena saya nggak mau para korban kekerasan berjuang sendirian.
Saya ingin melihat sesama perempuan bangkit, kuat, dan mandiri. Mari kita bersama membantu para korban kekerasan perempuan dalam gerakan #KawanPuan”
Yakin bahawa ramai lagi wanita di luar yang masih bertatih meneruskan kehidupan, tapi malangnya mengalami nasib yang lebih menyedihkan, Bunga mengambil inisiatif mengumpulkan dana ini untuk membantu mereka.
Kutipan itu diuruskan oleh #KawanPuan iaitu sebuah gerakan solidariti untuk membantu kaum wanita yang menjadi mangsa jenayah rumah tangga. Hasil dana akan digunakan untuk membiayai kerja-kerja pemulihan atau memberi advokasi guaman bagi wanita yang teraniaya.
Semoga segala usaha Bunga Citra Lestari dibalas dengan rezeki yang lebih baik dan dirahmati-Nya. Happy belated birthday BCL!